REBUTLAH PELUANG BERTARAWIH
Peluang untuk mengerjakan solat
Tarawih bukan hadir sepanjang tahun namun hanya ada pada bulan Ramadhan. Itupun
pada malam hari sahaja. Kadang-kadang kita
termampu untuk mengerjakannya hanya 29 malam sahaja jika kita berpuasa
hanya 29 hari sahaja. Peluang ini sekiranya tidak direbut dengan
sebaik-baiknya, kita akan keluar daripada Ramadan yang penuh berkat ini sebagai
orang yang rugi. Oleh itu sesiapa yang mahu dosa-dosanya diampunkan oleh
Allah,maka kerjakanlah solat Tarawih dengan penuh keimanan disamping
mengharapkan keampunan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat
sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan serta mengharap akan keredhaan
Allah, nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu." (HR Muslim)
Solat sunat Tarawih merupakan salah satu syiar
Ramadhan. Bahkan ia adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat. Rasulullah sendiri telah
mengejutkan kaum keluarga baginda untuk
bangun mengerjakan ibadat pada malam-malam Ramadan termasuklah solat Tarawih
dan ibadat yang lain.
Sesungguhnya banyak kelebihan solat sunat Terawih,
antaranya:
1. Para malaikat akan menyeru kepada manusia yang
sedang mengerjakan solat Tarawih itu
agar meneruskan solatnya pada setiap malam dan memohon kepada Allah s.w.t
supaya mengampunkan dosa hamba-hambaNya yang bertarawih.
2. Allah s.w.t akan mengurniakan ganjaran pahala
seumpama pahala para malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur.
3. Para malaikat akan datang menyaksikan mereka
bersolat Tarawih dan Allah s.w.t tidak akan menyesatkan mereka.
4. Para malaikat juga akan turut serta mengerjakan
solat Tarawih kerana malaikat tidak diperintahkan untuk mengerjakan solat
Tarawih di arasy disebabkan solat Tarawih hanya dilakukan di bumi sahaja.
Seorang wanita juga tidak dihalang daripada
menunaikan solat Tarawih di masjid atau di surau asalkan mereka dapat menjaga
batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. Seorang wanita ketika ke masjid atau
surau mestilah menjaga pakaiannya. Pastikan pakaian yang dipakai menutup aurat
dan tidak menampakkan perhiasan. Demikian juga disyaratkan laluan atau
perjalanan ke tempat solat itu selamat serta tidak menimbulkan fitnah kepada
wanita itu dan juga tidak mendatangkan fitnah kepada jemaah lelaki.
Beruntunglah orang yang dapat mengerjakan solat Tarawih sepanjang
Ramadan. Amat malang bagi orang yang hanya mengerjakan solat Tarawih hanya pada
malam-malam awal Ramadan sahaja, sedangkan tawaran dan ganjaran Tarawih
ditawarkan hingga ke akhir Ramadan. Rebutlah peluang bertarawih, mohonlah kekuatan
daripada Allah untuk terus istiqamah mengerjakannya hingga ke malam terakhir
Ramadan. Mudah-mudahan kita tidak dilekakan dengan godaan nafsu ataupun dengan
persediaan menyambut Aidilfitri. (Dipetik daripada buku
‘Bingkisan Ramadhan’,BPI,KPM.@abialbesuti.blogspot.com