Berita Semasa

Monday, March 9, 2009


Iman mutiara hidup

Pentingnya iman dalam kehidupan kita semua...
Golongan yang benar-benar beriman adalah sebagaimana maksud ayat 2-4, Surah Al-Anfal iaitu ;
1). Apabila disebut nama Allah,hati mereka gementar penuh ketakutan.
2). Apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah, keimanan mereka akan bertambah teguh dan kuat.
3). Mereka berserah kepada Tuhan dengan menyerahkan segala urusan kepada Allah semata-mata serta tidak mengharapkan kepada yang lain.
4). Mereka tetap mengerjakan solat,tepat pada waktunya,mereka menjiwai ruh solat itu dengan rasa penuh khusyuk dan tawadduk.
5). Mereka membelanjakan sebahagian rezeki dan hartan yang dikurniakan Allah kepada orang-orang yang memerlukan semata-mata kerana Allah Taala.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan tersebut dan mendapat keredhaan Allah serta Allah Taala menjadikan hidup kita aman,tenteram dan bahagia di dunia dan akhirat.
Amin Ya Rabbal Alamin...

Sunday, March 8, 2009

Sempena Maulidur Rasul 1430H


HEBATNYA RASULULLAH S.A.W …..
SIRI 1
Sempena memperingati Sambutan Maulidur Rasul tahun 1430H ini ,marilah kita sama-sama mengambil iktibar melalui beberapa fakta tentang betapa hebatnya junjungan Nabi Muhammad s.a.w ini…
1). Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk seluruh alam.
- Rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada kaum-kaum mereka sebagaimana yang difirmankan Allah Taala dalam Surah Ar-Radd ayat 7 yang bermaksud “Bagi setiap kaum ada Petunjuk jalannya”. Nabi Syuaib a.s diutuskan kepada kaum Madyan,Nabi Hud a.s kepada kaum ‘Ad,Nabi Saleh a.s kepada Kaum Thamud,Nabi Musa a.s kepada Bani Israil dan begitulah seterusnya. Sebaliknya,Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk seluruh alam.Allah Taala berfirman dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud “Tidak Kami utuskan kamu,ya Muhammad melainkan sebagai rahmat buat seluruh alam”.
2). Nama Muhammad disebut dalam kitab Bible
- Perkataan Mahamuddin ada di dalam Bible. Di dalam ‘The English Version of the Authorised Version of the Bible’ pada bab ‘Song of Solomon’ayat 16 disebutkan,
“His mouth is most sweet:
Yea,he is altogether lovely,
This is my beloved,and this is my friend,
daughters of Jerusalem”
- Terjemahan mengikut Bible Alkitab(1996)terbitan The Bible Society of Malaysia ialah ;
“Amat manis tutur katanya,
Segala yang ada padanya menawan hatiku,
Demikianlah kekasihku dan sahabatku,
Hai puteri-puteri Yerusalem”

Kalimat ‘he is altogether lovely” yang tercatat di dalam Bible sebenarnya adalah terjemahan daripada kalimat yang berbunyi ‘Mahamuddin’ dalam bahasa Ibrani,atau disebut juga bahasa Hebrew,iaitu bahasa orang Yahudi.’Mahamudd-im’ia membawa maksud ‘Mahamadd yang mulia’ atau ‘Mahamadd yang terpuji’.Maksud ini selari dengan nama Muhammad kerana kalimat Muhammad bermaksud ‘dia yang terpuji’.

3). Reverend David Benjamin Keldani(bekas paderi Roman Catholic) di dalam bukunya ‘Muhammad in the Bible’ menulis “Daripada tulisan-tulisan saya ini ,saya hendak menunjukkan bahawa ajaran Islam berkaitan dengan aspek-aspek ketuhanan dan Rasul akhir zaman adalah amat benar..Saya kasih akan Nabi Isa,Nabi Musa dan Nabi Ibrahim sebagaimana saya mengasihi Nabi Muhammad dan semua rasul-rasul yang lain”.

4). Dr.Ved Prakash Upaddhayaya(pakar bahasa sanskirt di Universiti Prayag) di dalam bukunya ‘Muhammad in the Vedas and Puranas’ berkata “ Suatu hakikat yang terbukti pada hari ini ialah sifat-sifat utusan akhir zaman seperti yang disebutkan di dalam Vedas,Bible dan kitab agama Buddha,amat menepati sifat-sifat Muhammad.Hati saya begitu terangsang untuk menceritakan kebenaran ini walaupun saya tahu ia tidak akan digemari oleh sesetengah pihak”.

5). Profesor K.S.Ramakrishna Rao(Dekan Falsafah di Universiti Mysore,India) di dalam bukunya ‘Muhammad The Prophet of Islam’ menulis “Apabila saya bercita-cita untuk menulis tentang Muhammad sebagai seorang Rasul, pada peringkat awalnya saya berada di dalam keadaan serba salah kerana saya menyedari saya sedang cuba menulis tentang suatu agama yang tidak saya anuti…Muhammad merupakan seorang personality yang bersejarah,setiap tingkah lakunya direkod secara terperinci,kehidupan dan tindak tanduknya sedikit pun tidak diselimuti misteri”.

(Artikel ini dipetik daripada buku “Bukti-bukti sains dan sejarah Kerasulan Muhammad SAW” karangan Dr.Danial Zainal Abidin,2003)

Sempena Maulidur Rasul 1430H


HEBATNYA RASULULLAH S.A.W …..
SIRI 11
Mereka yang benar-benar mengkaji secara adil dan saksama tentang Nabi Muhammad s.a.w pasti mengkagumi dan menghormati Baginda .Ikuti lagi fakta-fakta berikut ;-

6). Imam Tarmuzi meriwayatkan daripada Abdullah ibn Salam r.a. “Sewaktu Nabi tiba di Madinah pada waktu hijrah,aku datang melihatnya.Apabila aku merenungi wajahnya ketika itu,aku menyedari wajah yang sedang aku renungi ini bukannya wajah seorang pendusta.”.
Abdullah ibn Salam r.a. sebagai seorang pendeta besar Yahudi,mengetahui sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w daripada kitabnya iaitu Taurat. Beliau akhirnya memeluk Islam selepas mendapati Nabi Muhammad s.a.w ialah rasul yang sedang dinanti-nantikan oleh mereka berdasarkan kitab Taurat.
7). Michael H.Hart (pakar sejarah,pakar matematik dan pakar astronomi) menulis dalam bukunya ‘The 100’tahun 1978.Buku ini diterbitkan semula dengan tajuk ‘The 100 : A Ranking of the Most Influential Persons in History tahun 1992 yang memuatkan kajian beliau berhubung 100 orang tokoh-tokoh sejarah yang paling banyak memberi kesan dan paling banyak mempengaruhi jalan hidup manusia. Akhirnya beliau merumuskan bahawa tokoh sejarah yang paling agung ialah Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau menulis “Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain.Saya memilihnya sebab hanya beliau seorang sahaja di dalam sejarah yang begitu berjaya di dalam dua bidang iaitu keagamaan dan keduniaan.Daripada asal-usul yang agak biasa,beliau mengasaskan dan mengembangkan salah satu agama yang terhebat di dunia dan menjadi seorang pemimpin politik yang unggul.Pada hari ini,tiga belas abad selepas kewafatan beliau, pengaruhnya tetap hebat dan masih terus berkembang.”
8). George Bernard Shaw (ahli falsafah,pemikir dan tokoh intelek) menulis didalam bukunya ‘Letter to Najmi Sahib of Cyprus’ menyatakan “Orang-orang kristian dan pendakwahnya secara terancang memberikan gambaran hodoh tentang Islam dan rasulnya.Saya mengkaji bersungguh-sungguh tentang Islam dan rasulnya dan saya mendapati baginda memang seorang yang agung dan penyelamat bagi manusia yang sedang menderita sakit tenat.”.
Didalam buku yang lain bertajuk ‘The Genuine Islam’ beliau menyatakan”Saya yakin jikalau manusia sepertinya diberi peluang memerintah dunia moden ini,beliau pasti dapat menyelesaikan masalah-masalah yang ada sehingga mendatangkan kedamaian dan kebahagiaan kepada kehidupan.Saya pernah mengatakan bahawa agama ajaran Muhammad ini,suatu hari nanti,dapat diterima di Eropah.”
9). Profesor Sue Watson (seorang professor dan paderi kristian) menyatakan “Saya mendapati orang-orang Islam tidak menyembah Baginda sebagaimana orang-orang kristian menyembah Nabi Isa.Nabi Muhammad tidak pernah menjadi orang tengah di dalam penyembahan Tuhan, malah umat Islam dilarang sama sekali menyembahnya.Baginda ialah seorang nabi dan Rasul akhir zaman.Risalah yang disampaikan baginda adalah untuk seluruh alam,berbeza dengan risalah Nabi Isa dan Musa yang dikhususkan hanya untuk bangsa Bani Israil.” (Beliau akhirnya memeluk Islam dengan nama Khadijah Watson dan bertugas sebagai guru di Pusat Dakwah, Jeddah, Saudi Arabia)
10). Napoleon Bonaparte (Panglima Perang Perancis) mengatakan “Saya tabik hormat kepada manusia agung ini,saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya”.

Kesimpulannya :
Manusia yang ganas dapat Baginda lembutkan,insane yang tertindas Berjaya dimerdekakan dan manusia padang pasir yang tidak pernah dikenali akhirnya mampu meruntuhkan Empayar Rom dan Parsi.Baginda juga berjaya menggantikan cara hidup sesat yang jahiliah kepada tamadun unggul yang saintifik.
Nabi Muhammad s.a.w ialah Rasul akhir zaman dan kedatangan baginda menyempurnakan dan melengkapkan kesemua ajaran-ajaran Rasul sebelum ini.Nabi Muhammad s.a.w bersabda “Perumpamaanku dengan rasul-rasul yang lain ialah ibarat sebuah istana yang elok pembinaannya kecuali pada satu sudut yang masih kekurangan seketul bata..Akulah seketul bata itu dan akulah penutup segala nabi-nabi ”(riwayat Bukhari dan Muslim).
(Artikel ini dipetik daripada buku “Bukti-bukti sains dan sejarah Kerasulan Muhammad SAW” karangan Dr.Danial Zainal Abidin,2003)

 
©  free template by Blogspot tutorial