Setiap kali datangnya bulan Muharram bermakna kita mengalu-alukan kedatangan tahun baru Hijrah.Ini bererti setahun lagi hidup kita berlalu pergi.Tahun hijrah yang lepas tentu banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit yang telah kita tempuhi. Mungkin dalam tahun yang lepas,kita banyak mengalami keuntungan atau kerugian samada dari segi dunia atau akhirat.
Sempena menyambut kedatangan tahun baru Islam yang berkat ini,marilah kita sama-sama memperbaharui azam dan tekad kita untuk mematuhi pesanan junjungan agong kita Nabi Muhammad s.a.w dengan melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hendaklah kita insaf bahawa masa yang berlalu pergi tidak akan kembali lagi..
Setahun yang berlalu bererti setahun juga umur kita berkurangan..Ini bermakna semakin dekat kita dengan kematian dan apabila umur kita telah habis..pada waktu itu,tiada lagi peluang untuk kita mencari amal pahala dan bekalan taqwa untuk dibawa ke Akhirat.
Jesteru itulah..gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya..mudah-mudahan tahun baru ini akan dipenuhi dengan amal kebajikan yang berguna buat kita semua..ingatlah masa yang berlalu itu akan hilang ditelan waktu.
Ingatlah dan insaflah ...sediakan bekalan yang cukup untuk kita bawa ke alam sana yang kekal abadi..Firman Allah Taala dalam surah Al-Qasas ,ayat 77 bermaksud "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat,dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu)dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) ,sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ,sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".
Salam Maal Hijrah 1433..
Berita Semasa
Friday, November 25, 2011
Salam Maal Hijrah 1433H
Posted by Abi Al-Besuti at 11/25/2011 10:21:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Saturday, July 30, 2011
Tazkirah Ramadhan (Siri 1)
Allah Taala berfirman ;”Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu,mudah-mudahan kamu termasuk golongan yang bertaqwa.”(Surah Al-Baqarah :ayat 183)
Saudaraku,telah datang kepadamu bulan yang mulia dan tamu yang agung ! Oleh itu,marilah kita contohi sirah Nabi s.a.w dan marilah kita pelajari cara kehidupan Rasulullah s.a.w menyambut bulan yang mulia ini.Ini kerana dialah insan yang maksum ,yang mana seluruh perkataan dan perbuatannya dijadikan rujukan dan pedoman.
Alangkah beruntungnya orang yang mengikuti Sunnah Nabi s.a.w dalam kehidupan. Sesungguhnya Nabi s.a.w telah menyambut bulan Ramadhan ini dengan sambutan yang cukup meriah.
Dalam sebuah hadith,ketika Nabi s.a.w melihat anak bulan,baginda mengucapkan “Ya Allah, bulan Ramadhan telah mendatangi kami,sedangkan kami dalam keadaan aman dan beriman,serta dalam keadaan selamat dan Islam.Wahai anak bulan!Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.Dan sesungguhnya engkau adalah anak bulan yang baik dan telah memberi petunjuk kepada kami.”
Ramadhan merupakan kesempatan yang sangat berharga.Ketika memasuki bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w selalu memperbanyakkan kebaikan,bersedeqah,mengerjakan amal soleh,sentiasa tersenyum ketika bertemu kaum muslimin,menyambung tali silaturrahim,mengunjungi kaum kerabatnya,bersikap lemah lembut,senang memberi dan berkorban untuk orang lain.
Baginda adalah manusia terbaik.Rasulullah s.a.w telah mengkhususkan bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran.Kerana Al-Quran itu ubat,yang diturunkan pada malam Ramadhan untuk membangunkan semula manusia yang mundur,membimbing hati manusia yang tidak dapat melihat lagi,menaikkan darjat umat manusia yang sebelumnya bergelumang dengan kehinaan.
Rasulullah s.a.w bersabda “bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih baik daripada harumnya minyak kasturi”.
Setiap amal kebajikan akan dibalas dengan pahala yang berlipat kali ganda .Allah Taala menyediakan satu pintu khas di syurga untuk orang –orang yang berpuasa. Sahal bin Sa’ad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Di Syurga ada satu pintu yang diberi nama ‘Ar-Rayyan’.Orang-orang yang berpuasa akan masuk ke syurga melalui pintu itu.Jika mereka telah masuk,pintu itu akan ditutup semula ,sehingga tidak ada orang lain selain mereka yang masuk ke syurga melalui pintu itu”.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu,pergunakanlah kesempatan yang ada dengan baik agar Allah Taala membebaskan diri kita dari api Neraka.Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan adalah kesempatan bagi seseorang untuk bertaubat dan diterima amalnya oleh Allah.Perbanyakkanlah zikir,tahlil,tasbih dan tahmid serta membaca Al-Quran.Hidupkanlah rumah-rumah kita dengan membaca ayat-ayat Allah dan tinggalkanlah nyanyian-nyanyian yang didendangkan wanita-wanita yang tidak menutup auratnya serta penyanyi yang lalai.Sebab semua itu dapat menjauhkan hati manusia dari Tuhannya.
Pergunakanlah kesempatan ini untuk membebaskan diri dari api neraka dan beruntunglah perut-perut yang merasa kelaparan kerana Allah Taala demi mendapat keredhaan-Nya.Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari tahun sebelumnya.(Dipetik dari buku “Hikmah Berpuasa Di bulan Ramadhan,Oleh :Dr.’Aid Abdullah Al-Qarni)
Posted by Abi Al-Besuti at 7/30/2011 11:13:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Wednesday, June 29, 2011
Pengajaran Israk Mikraj..
Posted by Abi Al-Besuti at 6/29/2011 08:22:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Sunday, February 13, 2011
Kuliah subuh..
Subuh tadi (13hb.Feb.) saya menyampaikan kuliah subuh di Surau Al-islamiyyah berdasarkan kitab "an-nihayah fil fitan wal malahim" karangan Ibnu Kathir . topik yang dikupas berdasarkan bab 12 bertajuk 'Pendusta Bertopengkan Dajjal".
Berikut ringkasan topik tersebut ;
1). Muslim meriwayatkan dari hadist Syu'bah dan selainnya,dari sammak dari Jabir bin Samurah,aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,"akan muncul para pendusta sebelum kiamat berlaku".Berkata Jabir,berhati-hatilah terhadap mereka.
2). Di dalam shahih Muslim dari hadist Abu Qilabah dari Abu Asma' dari Thauban,dia berkata , Rasulullah s.a.w bersabda,"Sungguh akan ada pada umatku para pendusta yang berjumlah tiga puluh orang seluruhnya mengaku bahawa dirinya adalah nabi,dan Aku adalah penutup para nabi dan tidak ada Nabi sesudahku".
3). Muslim meriwayatkan dari hadist Ubaidillah bin Nafi 'dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w menyebut dajjal ditengah manusia lalu bersabda "sesungguhnya Allah tidak buta,ingatlah bahawa Al-masih Dajjal mata kanannya buta seolah-olah anggur yang timbul".
4). Muslim berkata,telah menceritakan kepadaku Zuhair bin Harb dari Uthman dari Abdul Warith dari Said bin Al-Hijab dari Anas,dia berkata,Rasulullah s.a.w bersabda "Dajjal buta satu matanya,tertulis di antara kedua matanya itu KAFIR kemudian baginda mengejanya KAAF , FA,RAA yang dapat dibaca oleh setiap muslim.
Posted by Abi Al-Besuti at 2/13/2011 10:01:00 PM 0 comments
Labels: kuliah subuh, Tazkirah
Friday, December 10, 2010
Salam Hijrah..
MUHARAM bukan saja bulan pertama dalam kalendar Islam, malah lebih daripada itu mengandungi kelebihan tersendiri. Bagaimanapun, ada dua peristiwa penting yang berlaku dalam Muharam yang mengandungi kelebihan dan fadilat besar. Peristiwa itu adalah:
- 1 Muharam: Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
Posted by Abi Al-Besuti at 12/10/2010 12:09:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Thursday, October 28, 2010
Sebab Doa Tidak Diterima Allah

Sebab-sebab tidak terkabulnya Doa…
Pada suatu malam ,Ibrahim bin Adham melalui sebuah pasar di Bashrah.Kemudian orang-orang berkumpul kepadanya dan bertanya ;”Wahai Abu Ishaq,mengapa setiap kali kami berdoa ,doa kami tidak pernah dimakbulkan?Dia menjawab ;”kerana hati kalian sudah mati dengan sepuluh perkara iaitu ;
Pertama ; Kalian mengetahui Allah,tetapi kalian tidak memenuhi hak-Nya.
Kedua ; Kalian mengaku bahawa kalian mencintai Rasulullah s.a.w ,tetapi kalian meninggalkan sunnah-sunnahnya.
Ketiga ; Kalian membaca Al-Quran,tetapi tidak mengamalkannya.
Keempat ; kalian memakan nikmat Allah,tetapi kalian tidak mensyukuri-Nya.
Kelima ; Kalian mengatakan bahawa Syaitan adalah musuh,tetapi kalian tidak melawannya.
Keenam ; Kalian mengatakan bahawa syurga itu benar,tetapi kalian tidak berbuat untuk meraihnya.
Ketujuh ; Kalian mengatakan bahawa neraka itu benar,tetapi kalian tidak lari darinya.
Kelapan ; Kalian mengatakan bahawa maut itu benar,tetapi kalian tidak bersiap-siap untuknya.
Kesembilan ; Ketika kalian telah bangun dari tidur ,kalian hanya sibuk dengan aib-aib manusia,tetapi
Kalian melupakan aib kalian sendiri.
Kesepuluh ; Kalian telah menguburkan orang-orang yang mati di antara kalian,tetapi kalian tidak pernah mengambil pelajaran darinya.
(dipetik dalam buku :Apa ertinya Dunia Bagiku & 97 kisah Teladan ,2003,Mohd Najib Iskandar,Jasmine Enterprise)
Posted by Abi Al-Besuti at 10/28/2010 11:36:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Tuesday, August 24, 2010
Sempena Nuzul Al-Quran 2010M/1431H
Posted by Abi Al-Besuti at 8/24/2010 11:59:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Wednesday, August 11, 2010
Fadhilat Ramadhan..
Posted by Abi Al-Besuti at 8/11/2010 11:24:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Thursday, June 3, 2010
Tindakan Israel yang biadab....
TINDAKAN kejam Israel sekali lagi menerima kutukan keras masyarakat dunia apabila komandonya melakukan serangan ke atas kapal bantuan kemanusiaan - Mavi Marmara, yang mengorbankan 19 sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G), di luar perairan Gaza awal pagi kelmarin. Dunia seharusnya melabelkan perbuatan komando Israel itu sebagai tindakan pengganas seperti yang sering diberikan kepada umat Islam yang melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan cita rasa Barat, khasnya kuasa besar.
Mempertahankan perbuatan terkutuk Israel membuktikan dengan jelas sokongan kuasa besar dunia terhadap negara itu. Atas nama perikemanusiaan, tidak ada sebab komando Israel itu menyerang kapal yang membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan termasuk ubat, makanan dan pakaian untuk keperluan 100,000 penduduk Palestin di Gaza yang dikepung sejak dua tahun lalu.
Serangan itu membuktikan sikap Israel yang terus bermaharajalela tanpa mengambil kira perasaan masyarakat dunia. Israel yang dibentuk Britain pada 1947 dan mengisytiharkan kemerdekaan setahun kemudian itu, tidak pernah mematuhi mana-mana peraturan dan undang-undang dunia. Alasan Israel komandonya terpaksa menembak mangsa untuk mempertahankan diri, adalah tidak masuk akal. Masyarakat dunia mengesyaki serangan itu sememangnya dirancang berasaskan kepada sikap negara itu yang tidak menghiraukan pandangan antarabangsa untuk mewujudkan keamanan di Asia Barat. Israel sedar, walaupun dunia mengutuk tindakan mereka, tetapi selagi ada kuasa besar yang membela mereka, ia sedikit pun tidak menjejaskan kedudukan mereka. Sekiranya Israel menganggap kapal yang mereka serang itu membawa senjata, ia adalah alasan yang sengaja direka-reka. Sepatutnya, Israel melihat kesediaan sukarelawan dari seluruh dunia memberi khidmat kepada penduduk Palestin atas sifat kemanusiaan.
Posted by Abi Al-Besuti at 6/03/2010 10:33:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Sunday, March 7, 2010
kuliah subuh
HADIS : BERMEGAH-MEGAH DENGAN MASJID
“Dari Anas bin Malik r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda “tidak akan berlaku hari kiamat sehingga manusia (umat islam) bermegah-megah (dengan binaan) masjid” (Riwayat Abu daud)
Pada kuliah subuh pagi tadi (07 Mac 2010) di surau ,saya telah membacakan tentang hadis peristiwa akhir zaman iaitu hadis di atas yang mana ianya menceritakan kepada kita tentang salah satu tanda-tanda kiamat ialah bermegah-megah dengan binaan masjid.
Sebagaimana yang kita maklum,masjid merupakan institusi penting dalam sesebuah masyarakat islam. Pada zaman Rasulullah s.a.w masjid dibina sebagai tempat ibadah,tempat pertemuan umat islam ,pusat pentadbiran dan majlis-majlis ilmu.
Jesteru itu, orang-orang yang sering mendekatkan dirinya dengan masjid akan mendapat perlindungan dan rahmat Allah Taala .Masjid mempunyai peranan dan fungsi penting dalam agama islam.Ia bukan sekadar tempat kunjungan rasmi,tempat lawatan pelancong semata atau satu binaan megah yang didirikan untuk mencapai kebanggaan dan kemasyhuran.
Tetapi amat malang sekali, peristiwa yang menimpa umat islam dimana di akhir zaman ini fungsi masjid mula diabaikan. Masjid tidak lebih dari sekadar bangunan yang cantik seni binanya dan perhiasan yang berdiri megah tetapi kosong dari aspek pengisian rohaninya.
Umat islam akhir zaman seperti hadis ini hanya bermegah-megah dengan binaannya tetapi memandang remeh fungsi utamanya. Masjid yang indah kosong dan sepi dengan jemaah dan aktiviti dakwahnya.
Beginilah nasib malang yang menimpa umat islam sebelum tibanya hari kiamat nanti.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam hamba-Nya yang mentaati perintah Allah dan rasul-Nya dan memasukkan kita dalam golongan hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa …amin…
(Dipetik dari buku “Tazkirah kepada ummah tentang Peristiwa Akhir Zaman dalam hadis –hadis Rasulullah s.a.w”
Posted by Abi Al-Besuti at 3/07/2010 11:22:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Thursday, February 18, 2010
Sempena Maulidur Rasul 1431H
Tidak lama lagi kita akan menyambut Maulidur Rasul 1431H yang mana ianya merupakan satu hari yang amat penting bagi umat Islam.Ia hendaklah diperingati dan dirayakan dengan penuh bererti,dengan tujuan untuk menghidupkan sunnah ,budi pekerti dan perjuangan Baginda s.a.w dalam membela hak dan kebenaran. Kita juga perlu mencontohi amal usaha Baginda dalam membimbing umat manusia agar hidup bahagia dan aman damai.
Usaha menghidupkan sunnah Nabi dan pengajaran-pengajaran baginda hendaklah dibuktikan dengan menzahirkan kesetiaan dan kecintaan terhadap Baginda melebihi kecintaan terhadap yang lain. Menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w dan menunjukkan kecintaan kepada Baginda s.a.w tidak cukup dengan hanya mengadakan keramaian atau kenduri maulud ,atau sekadar berarak sambil berselawat tetapi sebaik sahaja majlis tersebut selesai , kesemuanya dilupakan begitu sahaja ..
Rasulullah s.a.w yang kita peringati ,yang disambut ulang tahun kelahirannya pada setiap tanggal 12 Rabi’ul Awwal merupakan Rasul junjungan agung yang telah dimuliakan oleh Allah Taala yang mana baginda bukan sahaja pandai berkata-kata tetapi Baginda lebih suka bertindak dan melaksanakan sesuatu perkara. Perbuatan dan tindakan baginda melebihi tutur katanya , jesteru itulah Allah Taala sangat murka kepada orang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya sebagaimana Firman Allah dalam Surah as-Saff ,ayat 3 ;
Maksudnya : “ Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
Rasulullah s.a.w juga diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam .jelasnya agama yang dibawa oleh junjungan kita Nabi s.a.w menganjurkan umat manusia supaya tidak melakukan perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat kerana setiap apa yang kita kerjakan pasti akan dinilai untuk diberi ganjaran dan balasan.Hanya orang-orang yang mulia di sisi Allah Taala adalah mereka yang bertaqwa .
Oleh itu, sempena memperingati tarikh kelahiran seorang utusan agong ini yang mana Baginda umpama pelita yang menerangi alam dengan pengajaran dan contoh tauladan ,marilah kita memperbanyakkan melakukan amal soleh yang mendatangkan faedah dan keuntungan untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat .
Mudah-mudahan kita mendapat berkat dengan meneladani,mencontohi dan mengamalkan Sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian kita …amin…
(Di ubahsuai daripada buku “tazkirah untuk orang mengaji :karya sonhadji,tahun 2004)
Posted by Abi Al-Besuti at 2/18/2010 04:04:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Monday, December 14, 2009
Salam Hijrah 1431H
.” Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(Surah AN-Nisa’ : 100)
Setiap kali datangnya bulan Muharram bermakna kita mengalu-alukan kedatangan tahun baru hijrah . Ini bererti setahun lagi hidup kita berlalu pergi. Tahun lepas kita meninggalkan seribu kenangan manis dan pahit sama ada dari segi dunia ataupun akhirat.
Masa depan yang akan kita lalui masih tidak pasti lagi.Adakah di hadapannya ada sinar hidayah atau bayangan maksiat yang dibayangi oleh hasutan syaitan. Namun apa yang pasti , hidup perlu diteruskan dan ditempuhi dengan perjuangan dan azam yang tinggi untuk menentukan samada ianya bercahaya atau suram.
Jesteru itu, marilah dengan kedatangan bulan yang mulia ini, kita memperbaharui azam ,cita-cita dan niat kita untuk melaksanakan segala perintah Allah Taala di tahun baru ini.
Untuk itu,kita hendaklah menginsafi diri dalam menjalani hidup ini. Masa yang berlalu tidak akan berulang lagi. Jangan sia-siakan hari yang ada dan menghilangkan peluang kita untuk mendapatkan keuntungan dunia,malah menghilangkan bekalan akhirat yang amat berharga.
Sikap membuang masa tanpa mendatangkan sesuatu yang berfaedah bererti satu penderhakaan terhadap masa. Terdapat enam hak masa yang perlu dipenuhi ,iaitu ;
1). Kerja yang hak,bukan yang batil,haram atau salah.
2). Menunaikan kewajipan,bukan lari ,melanggar atau meninggalkannya.
3). Membina kemuliaan,bukan mengkhianati atau meruntuhkannya.
4). Berbakti dengan khidmat yang terpuji.
5). Kegiatan pertubuhan yang baik ,bukan pakatan yang jahat atau berpecahbelah.
6). Menuntut ilmu yang berguna untuk keperluan hidup di dunia dan di akhirat.
Oleh itu, sedarilah tentang perkara ini,sediakan bekalan hidup di dunia sebelum belayar ke akhirat ,agar kita tidak menyesal di kemudian hari kelak.
Firman Allah Taala "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".(Surah Al-Qasas : ayat 77)
(Artikel dipetik daripada buku : Tazkirah Untuk Orang Mengaji :karya Sonhadji : 2004)
Posted by Abi Al-Besuti at 12/14/2009 02:10:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Tuesday, November 24, 2009
Salam Aidiladha 2009..
.jpg)
Sifat Pengorbanan perlu dalam kehidupan..
Bulan Zulhijjah dikaitkan dengan bulan ibadah haji di Mekah. Sekarang jutaan umat islam seluruh dunia sedang berkumpul di Baitullah untuk menyempurnakan rukun islam yang ke lima. Masing-masing berazam untuk mendapatkan haji yang mabrur dan semestinya memerlukan banyak pengorbanan sama ada dari segi masa , harta, tenaga malah nyawa sendiri.
Bagi umat islam yang tidak melakukan ibadat haji , mereka akan merayakan hari raya korban atau aidiladha yang merupakan satu manifestasi daripada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya ,Nabi Ismail a.s.
Sejarah ini perlu dihayati oleh kita semua dalam mengharungi kehidupan di atas muka bumi ini yang mana pengorbanan amat perlu dilakukan untuk mendapat kebahagiaan yang hakiki.
Cuba bayangkan pengorbanan ibubapa yang membesarkan anak-anak , para guru yang mendidik pelajar dan pelbagai contoh lain lagi perlu difahami dan dicontohi terutama oleh generasi muda sekarang ini.
Jelasnya, nilai pengorbanan ini perlu dipupuk ,dibajai dan disirami agar ianya terus mekar dalam hati sanubari umat islam semoga umat islam akan menjadi umat terbaik dan umat contoh di akahir zaman ini. Renungilah …
Firman Allah Taala bermaksud “Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah,hanya yang sampai adalah taqwa(kepatuhan menjalankan kewajipan)dari kamu.Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya.Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang-orang yang berbuat kebaikan “(Surah Al-Hajj,ayat 35)
Posted by Abi Al-Besuti at 11/24/2009 10:19:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Sunday, November 15, 2009
Kuliah Subuh
Hadis yang ke 33 tersebut yang bermaksud ;
"Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".
(H.R al-Baihaqi)
Keterangan hadis ;
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana.
Posted by Abi Al-Besuti at 11/15/2009 11:13:00 AM 1 comments
Labels: Tazkirah
Monday, November 2, 2009
Terapi Solat(siri 2 ) :Rahsia ibadat solat...
Terapi solat
Oleh Ziauddin Sharuddinzia@bharian.com.my
KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna? Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot. Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini.
Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM. Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun.
Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah. Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang. Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya. Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini.
Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
Posted by Abi Al-Besuti at 11/02/2009 12:39:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Wednesday, October 21, 2009
Terapi Solat(siri 1) :Rahsia ibadat solat...
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat.
Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.
Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
Posted by Abi Al-Besuti at 10/21/2009 02:19:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Thursday, September 17, 2009
SIRI 5 : TAZKIRAH RAMADHAN
Kemunculan 1 Syawal adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa,lelaki maupun perempuan,kaya ataupun miskin,di Bandar atau di kota. Semua orang pasti bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.
Hari raya dalam Islam sebenarnya bukanlah semata-mata hari untuk bersuka ria bahkan hari raya merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut mengikut adab-adabnya.
Adab-adab berhari raya dalam Islam telahpun diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sunnah baginda. Sambutan dimulakan sebaik sahaja terbenam matahari pada akhir Ramadhan. Ketika itu disunatkan bertakbir dan bertahmid,disunatkan juga kita banyak beribadah seperti solat sunat, bersedeqah, bermaafan sesama kaum keluarga,jiran tetangga dan sahabat handai.
Pada pagi hari raya disunatkan mandi sunat hari raya.Kemudian berpakaian dengan pakaian terbaik yang kita miliki tetapi tidak semestinya baru. Makanlah terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid atau surau untuk solat sunat Idul Fitri bagi meraikan hari yang mulia ini.
Ketika balik daripada solat sunat ini, disunatkan kita melalui jalan yang lain daripada jalan yang kita pergi. Ini bertujuan supaya kita dapat bertemu atau berziarah dengan rakan taulan dan bermaaf-maafan serta menghubungkan silaturahim.
Namun begitu,jangan bersalaman dengan orang yang bukan mahram ketika saling bermaaf-maafan kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam sekalipun atas nama hari raya .Janganlah pula ketika mencari keampunan manusia,tiba-tiba mendapat murka Allah kerana telah melanggar syariat dan hukum Allah . Peliharalah aurat dan pergaulan,sambutlah hari raya dengan berhemah,jangan membazir makanan dan jangan dilalaikan dengan hiburan.
Jika pergi berziarah atau bertamu di hari raya,pilihlah waktu-waktu yang sesuai atau sebagaimana yang diundang.Elakkan duduk berlama-lama kerana ia akan mengganggu tuan rumah.Makanlah apa yang dihidangkan dan jangan membazir.
Bagi pihak tuan rumah pula,hendaklah memuliakan tetamu yang dating,hormati tetamu dan pamerkan rasa gembira dengan kedatangan tetamu itu.Segerakan menghidangkan makanan kepada tetamu.
Sewaktu hendak pulang,tetamu hendaklah meminta izin atau memberitahu tuan rumah,menunjukkan wajah ceria sebagai tanda gembira dengan layanan tuan rumah. Sebaiknya tuan rumah hendaklah keluar mengiringi tetamu sampai ke pintu rumah dengan wajah yang gembira dan kata-kata yang manis.
Demikianlah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan sempena sambutan hari raya idulfitri. Mudah-mudahan ianya akan menjadi amalan kita bersama.Sambutlah hari raya yang bakal menjelang tiba sebagai hari ibadah untuk kita semua.(Diubahsuai drp buku”Bingkisan Ramadhan”,JAPIM,KPM,2008)
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI…MAAF ZAHIR DAN BATIN.
Posted by Abi Al-Besuti at 9/17/2009 08:31:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Friday, September 11, 2009
SIRI 4 : TAZKIRAH RAMADHAN
Bulan ramadhan adalah bulan yang tiada tolok bandingnya. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.Malam yang dinamakan “Lailatul Qadar”.Hebatnya mala mini seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah Al-Qadr,ayat 3 “Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan ”.
Ini bermakna beribadah pada malam itu dengan penuh ketaatan serta khusyuk sama seperti beribadah selama seribu bulan pada bulan –bulan yang lain. Seribu bulan adalah ganjaran yang sama dengan 83 tahun 4 bulan.
Kehebatan malam Lailatul Qadar juga digambarkan oleh Allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya,tiada keburukan sehingga menjelang fajar. Malam itu para Malaikat mengucapkan salam kepada orang –orang yang beriman.Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam tersebut. Tawaran Allah ini terlalu hebat buat kita semua.
Nabi Muhammmad s.a.w sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebaikan dan kasih sayang Allah Taala.
Hidupkanlah pada malam tersebut dengan amal ibadat ,berdoa,berzikir dan memohon keampunan dan keredhaan-Nya. Bertaubatlah sebanyak-banyaknya dengan taubat nasuha pada malam itu terhadap segala dosa-dosa yang telah dilakukan pada masa lampau.
Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walaupun bertongkat sekalipun.Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa kita sedar samada kepada Allah atau ibubapa atau orang yang sekeliling kita.
Kalaulah terasa berat dan sukar untuk bangun malam ,beritahulah pada diri bahawa peluang ini tidak datang selalu dan selamanya.Peluang ini hadir hanya setahun sekali. Betapa ruginya orang yang menolak peluang keemasan ini hanya kerana kemalasan.
Sesungguhnya Lailatul Qadar adalah sumber kekuatan dalaman yang ampuh,latihan disiplin yang berkesan,pelita suluh untuk menerangi kehidupan serta penawar untuk mengubati hati dan jiwa yang resah.
Posted by Abi Al-Besuti at 9/11/2009 08:32:00 AM 0 comments
Labels: Tazkirah
Wednesday, September 9, 2009
SIRI 3 : TAZKIRAH RAMADHAN
Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk kita menyucikan jiwa .Inilah masanya untuk melenturkan jiwa supaya patuh dan taat kepada perintah Allah Taala. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik selain di bulan Ramadhan ini .
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.a.w bersabda “Apabila datang bulan Ramadhan ,maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan para syaitan “(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jiwa kita umpama mentol lampu yang terang. Namun apabila setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat,maka satu titik hitam akan melekat di hati kita. Lama kelamaan mentol dari yang awalnya terang akan dilitupi oleh titik hitam tersebut sehingga cahayanya menjadi malap.
Oleh itu, ianya perlu dibersihkan supaya cahayanya memancar untuk menunjuk jalan yang benar.Bertaubatlah di atas segala kesalahan terhadap Allah atau sesama makhluk.
Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu ;
- Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
- Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
- Berazam untuk tidak mengulangi lagi maksiat tersebut.
Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa .Apabila jiwa telah suci maka akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah maka inilah masanya untuk kita …
-Solat subuh tidak terlewat lagi malah saat menunggunya diisi dengan tilawah Al-quran.
-Tangan berjabat mengeratkan silaturahim.
-Hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat.
-Tiada kata nista ,umpat keji melata di bibir.
- Alunan zikir bertali arus menunjukkan rasa rindu kasih seorang hamba kepada Tuhannya.
- Jiran tetangga bertukar juadah dan mengeratkan hubungan saudara terdekat.
- Ibubapa diziarahi,hubungan silaturahim diperbaiki dan pusara dikunjungi.
- Pakaian labuh dan menutup aurat menjadi pilihan.
- Masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah .
-Doa dipanjatkan semoga kehidupan di dunia diberkati ,kehidupan di akhirat bahagia menanti.
Inilah masanya , sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru,sebagai garis permulaan kearah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.
(Diubah suai daripada buku “Bingkisan Ramadhan”,Japim,kpm,tahun 2008)
Posted by Abi Al-Besuti at 9/09/2009 01:25:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah
Sunday, September 6, 2009
SIRI 2 : TAZKIRAH RAMADHAN Sempena Nuzul Al-Quran
Umat Islam adalah satu-satunya umat yang paling beruntung di dunia ini,kerana memiliki wahyu Allah yang terpelihara dalam keadaan utuh dan dalam bentuknya yang asli,bebas dari kekotoran campur tangan manusia.Setiap kata-kata yang ada didalamnya masih tetap sama dengan waktu ia diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.Namun begitu umat Islam inilah juga adalah orang-orang yang paling malang di dunia ini,kerana walaupun mereka memiliki Wahyu Allah tetapi mereka tidak dapat memperolehi berkat dan manfaat tersebut yang sebenarnya terlalu banyak.
Al-Quran diturunkan Allah agar umat Islam membacanya,memahami isinya dan beramal menurut petunjuknya.Melalui kitab ini ,umat Islam disuruh menegakkan pemerintahan di muka bumi Allah ini sesuai dengan hukum Allah.Al-Quran datang untuk memberikan kepada mereka kebenaran dan kekuasaan.Ia datang untuk menjadikan mereka Khalifah Allah yang sejati di bumi ini. Sejarah telah membuktikan bila umat Islam berbuat menurut petunjuk yang terkandung dalam Kitab ini,maka Kitab suci ini akan memperlihatkan kemampuannya untuk menjadikan mereka beriman.
Tetapi sekarang,cuba kita fikir dan renungkan apakah sikap umat Islam hari ini terhadap Al-Quran ? Kegunaan Al-Quran bagi mereka hanyalah untuk disimpan di rumah sebagai perhiasan untuk mengusir jin-jin dan hantu sahaja.Mereka tidak lagi mencari petunjuk daripadanya untuk mengatur masalah-masalah kehidupan yang semakin menghampiri Qiamat ini. Ayat-ayat Al-Quran telah luput dalam hati-hati umat Islam dan semakin ramai umat Islam yang buta Al-Quran.Sekarang ini pun Allah Taala telah menghilangkan pula ayat-ayat suci-Nya sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini sebagai tanda ingatan betapa parahnya umat Islam hari ini mengabaikan Al-Quran.
Firman Allah Taala dalam Surah Shad ,ayat 29 yang bermaksud “Inilah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepada engkau,penuh keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengerti.”
Sesetengah manusia menjauhi Al-Quran dalam menentukan hukum-hukum apa yang harus mereka ikuti untuk mengikat tali persaudaraan dan menyelesaikan permusuhan.Ayat-ayat Al-Quran tidak lagi dialunkan di rumah bersama ahli keluarga dan dijadikan pegangan utama dalam hidup mereka.Ketahuilah,bahawa Al-Quran adalah bagaikan lautan,kita hanya mengambil dua titis daripadanya padahal sebenarnya ia mampu memberikan air lebih daripada lautan itu sendiri.Begitulah kalau kita hanya menjadikan Al-Quran hanya untuk dijadikan doa sahaja maka yang akan kita perolehi hanya hal-hal yang kecil itu sahaja.Tetapi kalau kita ingin mencapai puncak kebesaran rohani,Al-Quran juga boleh membawa kita ke sana.Ini bergantung kepada kemampuan kita untuk mengambil manfaat daripada Al-Quran itu sendiri.
Insaflah bahawa segala peristiwa dan kejadian yang berlaku pada hari ini adalah untuk menjadi pengajaran kepada seluruh umat manusia yang masih lagi leka dengan urusan dunia,perbuatan maksiat seperti minum arak dan berjudi,meningggalkan suruhan Allah seperti tidak solat,tidak berpuasa di bulan Ramadhan,mendedahkan aurat serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan begitu banyak berlaku di dalam masyarakat Islam hari ini.Kejadian –kejadian dahsyat seperti tragedi gempa bumi,tsunami ,ribut taufan dan sebagainya yang mengorbankan ribuan nyawa umat Islam hendaklah dijadikan pengajaran dan pedoman kepada umat Islam selama mana mereka hidup di dunia ini.
Ingatlah janji Allah adalah benar bahawa hari Qiamat akan sampai masanya melalui tanda-tanda peristiwa akhir zaman ini. Bagi kita orang yang menyakini tentang benarnya kata-kata Allah di dalam Al-Quran pasti akan mengalir air mata tanda keinsafan di atas kebesaran dan kekuasaan Allah keatas makhluk-Nya.
Kita sebagai umat Islam yang diberikan oleh Allah kemuliaan sebagai umat yang agung dan terpilih hendaklah bermula dari saat ini memperbaiki diri kita ke arah mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya serta bertaubatlah dari sekarang selagi pintu taubat masih terbuka,lebih-lebih lagi dibulan Ramadhan yang mulia ini. Apakah kita mahu melihat ‘sebutir mutiara’ ini akan hilang sirnanya atau sebaliknya ? Oleh itu kita perlu merenung kembali sikap umat Islam dan juga sikap kita sendiri terhadap Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Taala.
Sesungguhnya segala kejadian yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri….Subhanallah…
Posted by Abi Al-Besuti at 9/06/2009 01:58:00 PM 0 comments
Labels: Tazkirah























