Berita Semasa

Friday, September 11, 2009

SIRI 4 : TAZKIRAH RAMADHAN


LAILATUL QADAR : TAWARAN HEBAT DARIPADA ALLAH

Bulan ramadhan adalah bulan yang tiada tolok bandingnya. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.Malam yang dinamakan “Lailatul Qadar”.Hebatnya mala mini seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah Al-Qadr,ayat 3 “Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan ”.
Ini bermakna beribadah pada malam itu dengan penuh ketaatan serta khusyuk sama seperti beribadah selama seribu bulan pada bulan –bulan yang lain. Seribu bulan adalah ganjaran yang sama dengan 83 tahun 4 bulan.
Kehebatan malam Lailatul Qadar juga digambarkan oleh Allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya,tiada keburukan sehingga menjelang fajar. Malam itu para Malaikat mengucapkan salam kepada orang –orang yang beriman.Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam tersebut. Tawaran Allah ini terlalu hebat buat kita semua.
Nabi Muhammmad s.a.w sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebaikan dan kasih sayang Allah Taala.
Hidupkanlah pada malam tersebut dengan amal ibadat ,berdoa,berzikir dan memohon keampunan dan keredhaan-Nya. Bertaubatlah sebanyak-banyaknya dengan taubat nasuha pada malam itu terhadap segala dosa-dosa yang telah dilakukan pada masa lampau.
Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walaupun bertongkat sekalipun.Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa kita sedar samada kepada Allah atau ibubapa atau orang yang sekeliling kita.
Kalaulah terasa berat dan sukar untuk bangun malam ,beritahulah pada diri bahawa peluang ini tidak datang selalu dan selamanya.Peluang ini hadir hanya setahun sekali. Betapa ruginya orang yang menolak peluang keemasan ini hanya kerana kemalasan.
Sesungguhnya Lailatul Qadar adalah sumber kekuatan dalaman yang ampuh,latihan disiplin yang berkesan,pelita suluh untuk menerangi kehidupan serta penawar untuk mengubati hati dan jiwa yang resah.
(Diubah suai daripada buku "tazkirah Ramadhan",JAPIM,KPM,tahun 2008)

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial