Berita Semasa

Tuesday, November 24, 2009

Salam Aidiladha 2009..
















Sifat Pengorbanan perlu dalam kehidupan..

Bulan Zulhijjah dikaitkan dengan bulan ibadah haji di Mekah. Sekarang jutaan umat islam seluruh dunia sedang berkumpul di Baitullah untuk menyempurnakan rukun islam yang ke lima. Masing-masing berazam untuk mendapatkan haji yang mabrur dan semestinya memerlukan banyak pengorbanan sama ada dari segi masa , harta, tenaga malah nyawa sendiri.
Bagi umat islam yang tidak melakukan ibadat haji , mereka akan merayakan hari raya korban atau aidiladha yang merupakan satu manifestasi daripada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya ,Nabi Ismail a.s.
Sejarah ini perlu dihayati oleh kita semua dalam mengharungi kehidupan di atas muka bumi ini yang mana pengorbanan amat perlu dilakukan untuk mendapat kebahagiaan yang hakiki.
Cuba bayangkan pengorbanan ibubapa yang membesarkan anak-anak , para guru yang mendidik pelajar dan pelbagai contoh lain lagi perlu difahami dan dicontohi terutama oleh generasi muda sekarang ini.
Jelasnya, nilai pengorbanan ini perlu dipupuk ,dibajai dan disirami agar ianya terus mekar dalam hati sanubari umat islam semoga umat islam akan menjadi umat terbaik dan umat contoh di akahir zaman ini. Renungilah …
Firman Allah Taala bermaksud “Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah,hanya yang sampai adalah taqwa(kepatuhan menjalankan kewajipan)dari kamu.Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya.Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang-orang yang berbuat kebaikan “(Surah Al-Hajj,ayat 35)

Friday, November 20, 2009

Motivasi Keluarga















Penawar hilang letih dan kesusahan hidup


Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas seharian,sama ada di rumah atau tempat kerja,terdapat petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada puteri kesayangannya, Fatimah boleh dijadikan sebagai penawarnya.
Pada satu hari Fatimah mengadu kepada suaminya Ali bin Abu Talib mengenai kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.
Ali berkata "Bapa kamu ada membawa balik tawanan perang,berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk menbantumu".
Lantas Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasratnya untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.
Bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya. Namun baginda kemudian pergi menemui puteri serta menantunya lalu berkata :"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Iaitu apabila kamu berdua berbaring untuk tidur ,maka bertasbihlah(subhanallah) 33 kali, bertahmid(Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir(Allahu Akbar) 33 kali .Ia lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."
Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w ajarkan kepada puteri dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.Lantas amalan ini terus diamalkan oleh mereka berdua.
Semoga ini dapat menjadi pedoman buat kita semua dalam mengharungi hidup yang mencabar dan bacaan ini dapat dijadikan amalan seharian kita ....

Tuesday, November 17, 2009

Salam Peperiksaan SPM 2009















Selamat menduduki peperiksaan SPM 2009
kepada semua pelajar tingkatan lima di seluruh tanah air, terutama sekali kepada anak didik di daerah Kuala Kangsar,Perak.

Semoga diberikan ketenangan hati dan kesihatan badan sepanjang musim peperiksaan ini..

Selamat menjawab dengan teliti dan mendapat kejayaan yang cemerlang nanti...amin...

Sunday, November 15, 2009

Kuliah Subuh


Hadis Peristiwa Akhir Zaman
Pada pagi ini (15hb.Nov.09) selepas solat subuh berjemaah di surau Muhibbah,saya menyampaikan kuliah subuh tentang peristiwa akhir zaman yang dipetik daripada buku " 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman " susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi.

Hadis yang ke 33 tersebut yang bermaksud ;
"Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali".
(H.R al-Baihaqi)

Keterangan hadis ;
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana.
Pada akhir zaman ,ada sebahagian umat islam kehilangan arah pedoman dan jati diri. Islam menjadi perhiasan luaran semata-mata bukan lagi satu cara hidup yang dipegang sekukuh-kukuhnya. Zahirnya Islam diterima sebagai akidah dan agama tetapi dalam masa yang sama menolaknya dari segi amalan dan praktikal.
Kebenaran agama tidak lagi diyakini atau dihayati.Al-Quran hanya menjadi hiasan dan seolah-olah tidak mengandungi makna apa-apa. Hari ini ramai yang menolak secara terang-terangan terhadap ajaran dan hukum hakam yang terdapat dalam Al-Quran.
Cuba kita lihat juga hari ini di mana-mana sahaja terdapat masjid yang tersergam indah dari segi binaan dan seni ukirnya,tetapi sunyi sepi dari jemaah yang datang dan aktiviti masjid yang kosong. Cahaya hidayah dan petunjuk tidak bisa menembusi bahan binaan kukuh yang tegak berdiri.
Dijelaskan juga dalam hadis ini tentang wujudnya ulama 'suk'(jahat)yang menjadi fitnah dalam masyarakat. Golongan ini semakin bercambah yang mana puak ini sanggup menyembunyikan hak(kebenaran) demi kepentingan duniawi. Akibatnya,muncul pelbagai fitnah yang mengelirukan ummah.
Akhirnya, agama Allah ini akan menerima kesan buruk akibat sebahagian perangai buruk umatnya lantas Islam semakin lemah lantaran kerana kelemahan penganutnya.
Mudah-mudahan hadis ini memberi iktibar dan motivasi kepada kita semua untuk giat menjalankan usaha dakwah .
Ayuh,mulakan dengan diri kita dulu,kemudian anak isteri kita..seterusnya rakan-rakan , masyarakat dan negara kita. Semoga kita dijauhkan dari bala Allah yang akan menimpa ke atas kita semua lantaran kelekaan kita dari menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini..

Tuesday, November 10, 2009

Motivasi Keluarga


20 TIP MEMBINA KELUARGA BAHAGIA

Bukan mudah ye untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Kebahagiaan antara suami dan juga isteri terbina atas dasar kasih sayang ,saling menyanyangi dan memahami antara satu dengan yang lain.
Disini marilah kita semak 20 tip membina keluarga yang bahagia untuk panduan kita semua ;

1). Sering melakukan kegiatan bersama, keluar berjalan berdua-duaan,beriadah dan mandi bersama agar diri sentiasa merasa gembira dengan perhubungan yang telah lama terjalin.
2). Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayang akan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan.
3). Jaga agar mulut dan badan tidak berbau agar suami sentiasa mahu bergembira dengan isteri. Kebersihan harus diutamakan agar kemesraan yang terjalin berpanjangan.
4). Isteri yang hangat dan harmonis sentiasa mengharapkan suaminya berada di rumah bersama-samanya.Itulah tanda kebahagiaan yang sebenar anda dan pasangan.
5). Tukar gaya penampilan setelah beberapa ketika untuk mengelakkan jemu kepada pasangan.
6). Kreatif mencipta suasana yang harmonis dan tenang dalam rumah tangga. Sebuah keluarga akan lebih bahagia sekiranya anda ‘bijak’ memainkan peranan sebagai ibubapa dan pasangan yang ideal.
7). Sekiranya ada pergaduhan atau perselisihan faham,cuba ingat kembali kenangan manis semasa bercinta dan berbulan madu.
8). Kenangkan jasa dan susah payah isteri mengandung dan melahirkan anak,betapa besarnya pengorbanan seorang ibu.
9). Sekiranya berlaku perceraian,jangan mudah menghalau isteri keluar dari rumah dan melupakan jasa isteri..
10). Suami kena lebih mesra dengan keluarga mentua kerana ibubapa mentua boleh memberi nasihat dan panduan berkeluarga.
11). Suami jangan tumpu perhatian yang berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri.
12). Isteri jangan lebih banyak masa menyibukkan diri dengan dunia luar seperti berpersatuan,berpolitik atau terlibat dengan jualan langsung.
13). Sentiasa berlembut dari segi percakapan,layanan kepada pasangan dan pergaulan sesama ahli keluarga.
14). Isteri perlu berhias lebih kepada suaminya berbanding apabila keluar rumah.
15). Bagi pasangan warga tua,jangan terlalu rapat dengan cucu-cucu dan mengabaikan pasangannya masing-masing.
16). Sekiranya ada masalah,bawalah berbincang.Jangan bertengkar dan masing-masing cuba menegakkan pendapat sendiri.
17). Fahami dan hayati sifat pasangan dan anak-anak. Suami disifatkan seperti matahari - sentiasa panas,isteri seperti bulan-cantik,lembut dan indah dipandang,manakala anak-anak pula umpama bintang iaitu sifatnya sebagai penyeri / penghibur dalam rumah tangga.
18). Suami isteri perlu mengekalkan sifat romantis dan sentiasa berhati muda walaupun masing-masing sudah berusia.
19). Keluarga Islam perlu memastikan sekurang-kurangnya satu waktu solat berjemaah bersama-sama ahli keluarga untukmendapat keberkatan dan merapatkan hubungan serta kemesraan.
20). Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya.Sama ada dari segi kewangan,pelajaran atau tempat percutian.
(Dipetik dan diubah suai dari Majalah Wanita,Julai 2009)

Monday, November 2, 2009

Terapi Solat(siri 2 ) :Rahsia ibadat solat...


Terapi solat

Oleh Ziauddin Sharuddinzia@bharian.com.my

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna? Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot. Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini.
Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM. Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun.
Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah. Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang. Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya. Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini.
Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

 
©  free template by Blogspot tutorial