Berita Semasa

Sunday, December 28, 2008

Kisah Hijratul Rasul S.a.w.




Khalifah Umar tetapkan tahun baru Islam

KHALIFAH Umar Al-Khattab adalah orang bertanggungjawab menetap dan memilih sebutan atau gelaran hijrah ini. Ia dipilih selepas ditimbang dari pelbagai sudut.
Saidina Umar membuat ketetapan permulaan hijrah atas syor Saidina Ali Abi Thalib yang mencadangkan ia dimulakan daripada hijrah Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah dan tidak dari tarikh Baginda lahir atau wafat.Sesungguhnya, pilihan dan penetapan ini paling tepat dalam menjadikan peristiwa hijrah sebagai titik tolak kalendar umat Islam.

Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)Dalam makna lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad, malah dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah.Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Ankabut, ayat 26).Di samping Nabi Ibrahim, Nabi Musa diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap Baginda.Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa.Nabi Nuh juga diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun pula lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah saw dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor. Antaranya, ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam. Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah Baginda.

Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah saw mengarahkan pengikut Baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali Yathrib).Suatu hari pada 622 sebelum Masihi, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah saw diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh Baginda untuk memusnahkan Islam.Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan Baginda meninggalkan Madinah pada waktu malam.Berikutan itu, Baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani Baginda dalam perjalanan berkenaan.Rasulullah saw juga memberitahu rancangan Baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur Baginda.Pada malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah saw dengan niat mahu membunuh Baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah saw.Mereka begitu yakin bahawa Rasulullah saw tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh Baginda.Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali yang tidur di tempat berkenaan.Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah saw keluar dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh Baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu.Rasulullah saw dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian Baginda kecuali Aishah dan Asma' serta orang gaji mereka, Abdullah.Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah,

Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar."Selepas itu, Baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan Baginda ke sana pada 27 Safar.Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraisy masih mahu membunuh Baginda.Mereka menghampiri gua berkenaan, tetapi gagal menemui Rasulullah saw di situ. Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan.Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah saw dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah saw. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Baginda. Ramai yang mencuba nasib, tetapi semuanya gagal.Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah saw dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan Baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah saw dan sahabat akhirnya merasakan bakal menemui kejayaan.Ketika Rasulullah saw dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita gembira mengenai kedatangan Baginda.Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah saw.Maka, pada Jumaat, Rasulullah saw akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan Baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiulawal.

Rasulullah pilih Abu Bakar teman berhijrah

DARIPADA Aisyah, katanya: “Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi (Muhammad saw). Pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zuhur. Lalu, kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar.“
Berkata Abu Bakar: “Nabi tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting.” Ketika Nabi masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: “Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar.” Berkata Abu Bakar: “Ya Rasulullah! Hanya ada dua anakku, Aisyah dan Asma.” Sabda Nabi: “Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?” Berkata Abu Bakar: “Anda perlu teman, ya Rasulullah!” Sabda Baginda: “Ya, kawan.” Berkata Abu Bakar: “Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda.” Sabda Nabi: “Kuambil seekor dengan harganya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab ketika beliau menjadi khalifah pada tahun 17 Hijrah. Beberapa cadangan dikemukakan kepada beliau. Ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah. Ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan tidak kurang mencadangkan tahun kewafatan Baginda.Semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Umar kerana hijrah adalah peristiwa terpenting seperti katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.” Pendapat ini disokong oleh Saidina Ali.

Sebenarnya, wujud jalinan perkaitan antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut ‘peredaran’ matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi untuk menentukan musim atau kegiatan manusia.

Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai. Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasakan musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya, musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

Wednesday, December 24, 2008

Bulan Muharam,Satu Penghayatan..











Peristiwa penting pada bulan Muharam

MUHARAM bukan saja bulan pertama dalam kalendar Islam, malah lebih daripada itu yang mengandungi kelebihan tersendiri. Bagaimanapun, ada dua peristiwa penting yang berlaku dalam Muharam yang mengandungi kelebihan dan fadilat besar.


Peristiwa itu adalah:
- 1 Muharam: Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.- 10 Muharam: Dinamakan juga hari `Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga berlaku:-
Nabi Adam bertaubat kepada Allah.- Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.- Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.- Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.- Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.- Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.- Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob yang kabur.- Nabi Isa diangkat ke langit- Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulitnya- Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.- Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.- Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.- Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

Pengertian lebih meluas di sebalik peristiwa hijrah
Oleh Mohd Shukri Hanapi

HIJRAH bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Ia juga bererti berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Maka, hijrah juga boleh difahamkan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud).Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Adapun hijrah yang kita sambut pada setiap tahun itu bermaksud memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Namun begitu, hijrah tidak wajar dilihat sebagai peristiwa berpindahnya kaum Muslimin dari Makkah ke Madinah, lantas menjadi detik permulaan tarikh baru takwim Islam saja. Kefahaman sempit begini hanya akan mendorong kita menyambut kedatangan tahun baru hijrah dengan rancangan bersamaan dengan peringatan tahun baru Masihi.

Dalam pada itu, ulama juga menolak hijrah sebagai satu ‘pelarian’ dan ‘arbitrasi’ seperti yang ditafsirkan oleh sesetengah orientalis yang sengaja mahu menenggelamkan pengertian suci daripada peristiwa hijrah yang berlaku. Sesungguhnya, penghijrahan Rasulullah dan sahabat itu adalah suatu peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam. Penghijrahan itu memberi ruang yang lebih luas kepada pelaksanaan ajaran Islam. Bukan saja dari aspek akidah dan hubungan manusia dengan Allah, malah merangkumi segala aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi, siasah dan pentadbiran.Penghijrahan itu adalah tuntutan agama yang perjalanannya diatur dengan strategi dan perancangan pembangunan umat lengkap. Lantas, menjadikannya satu amalan keagamaan yang agung. Ia juga langkah penting melalui perancangan dan strategi teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan dan kemajuan sebenarnya.

Dengan hijrah, umat manusia berpindah daripada belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, hidup berpuak-puak dan bersengketa kepada persaudaraan dan kesatuan.Begitu juga dari agama yang dianuti oleh sekumpulan manusia di padang pasir kepada agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk dunia.Peristiwa hijrah meninggalkan sejarah untuk dikenang oleh umat Islam hingga hari ini dan diperingati setiap tahun. Peristiwa itu juga membawa beberapa hikmat dan pengajaran yang terkandung di sebaliknya. Dalam peristiwa hijrah, setelah tiba di Madinah, Rasulullah mula melaksanakan ajaran Islam dengan lebih menyeluruh. Setiap Muslim sentiasa dididik supaya patuh, menyerah dan menyembah Allah serta taat kepada ajaran yang didasarkan kepada ajaran al-Quran dan sunnah.Berdasarkan keimanan itulah terbinanya sebuah masyarakat Islam yang mentaati semua perkara yang difardukan oleh Allah dalam ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji.


Masyarakat Islam itu juga patuh dalam menjauhi diri daripada setiap perbuatan keji yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan masyarakat seperti minum arak, berzina, riba dan rasuah.Masyarakat Islam di Madinah disatupadukan dalam ikatan ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam) yang dibina atas semangat perpaduan berorientasikan ajaran Islam. Di samping itu, persefahaman dan kerjasama dengan golongan bukan Islam juga diwujudkan untuk membuktikan bahawa Islam sentiasa mengutamakan keselamatan, persefahaman dan persahabatan serta antipermusuhan dan peperangan. Tegasnya, peristiwa hijrah membuktikan bahawa Islam bukan saja agama dalam pengertian sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus, malah agama syumul (menyeluruh). Islam menyentuh segala perkara berkaitan kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.

Justeru, konsep hijrah bukan saja perlu difahami daripada perspektif perpindahan tempat secara lahiriah, malah dengan pendekatan lebih luas yang boleh membawa kepada memahami segala hikmat pengajaran yang wujud di sebalik peristiwa itu.Kejayaan pembangunan Islam dan umatnya selepas peristiwa hijrah menjadi dokumen sejarah merakamkan kemenangan manusia yang dibangunkan potensi kemanusiaannya melawan godaan hawa nafsu. Begitu juga kejayaan membebaskan diri masing-masing daripada segala belenggu kepentingan peribadi.

Sekiranya ingin menjadi umat cemerlang, gemilang dan terbilang, maka semua umat Islam sewajarnya menyambut kedatangan hijrah 1430 ini dengan meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah dan mematuhi dengan suruhan-Nya.

**P/S : Jangan lupa untuk membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijrah ,semoga kita mendapat kerahmatan daripada Allah Taala.

Saturday, December 13, 2008

Cuti sekolah




Sepanjang cuti persekolahan ini,saya banyak menghabiskan masa di kampung kat Terengganu.Sekarang ni musim hujan dan ada sesetengah tempat dinaiki air banjir.


Semalam (12hb.Dec) saya membantu adik perempuan mengemas rumah yang mana rumahnya dinaiki air banjir .Rumah sewanya yang terletak di Taman Pusu 3 ,Kuala Terengganu merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir .Air didalam rumah yang separas paha merosakkan semua peralatan seperti perabot,sofa,tilam dan sebagainya.


Gotong royong semalam yang juga turut disertai oleh beberapa pihak NGO seperti Haluan Siswa, Unit Amal Kuala Nerus dan agensi lain serta pihak MPKT banyak membantu meringankan beban penduduk taman tersebut.Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat....juga kepada semua penduduk Taman Pusu 3 ,harap bebanyak bersabar di atas semua ujian dan musibah yang melanda ini,semua ini untuk menguji tahap keimanan kita semua.....


Sekarang ini juga di Kuala Terengganu mula hangat dengan bahang pilihanraya kecil Parlimen P36 Kuala Terengganu ,rata-rata semua orang memperkatakan tentang cerita ini,baik di kedai kopi atau dimana saja .
Bagi saya,apa yang penting ialah kebijaksanaan para pengundi untuk memilih calon yang benar-benar mampu membawa kesejahteraan hidup samada di dunia atau akhirat. Memilih pemimpin yang betul-betul 'adil' dalam konteks kepimpinan yang diasaskan oleh Baginda Nabi s.a.w. amat penting untuk menjamin keberkatan daripada Allah Taala.

Apa-apa pun,suasana ini pasti akan merancakkan lagi kemeriahan bandaraya warisan pesisir air ini dengan kehadiran ribuan 'pelawat' yang akan menghangatkan kempen pilihanraya kecil ini. Kepada anak Kuala Terengganu yang berada di perantauan yang layak mengundi,jangan lupa untuk ramai-ramai pakat balik ke Kuala Terengganu menunaikan tanggungjawab kita pada 17hb.Jan 2009 ini. Pangkah calon pilihan hati...fikirkan masa depan...

Oleh itu,tepuk dada tanya 'iman' bukannya tanya'selera' yang selalu berselera untuk makan apa sahaja lebih-lebih lagi musim hujan ini....ubi kayu rebus gaul nyiur + air kopi ..ummph...

jumpa lagi....

Tuesday, December 9, 2008

Penghayatan Korban




Minda Pengarang: Aidiladha tuntut ketabahan ummah hadapi bencana

Artikel drp Berita Harian(09hb.Dec.2008)


SEMALAM, umat Islam di seluruh negara menyambut Aidiladha dengan penuh semangat pengorbanan dan keinsafan ketika menghadapi pelbagai dugaan dan bencana. Aidiladha adalah satu hari kebesaran yang diraikan oleh umat Islam. Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan juga kesabaran anaknya, Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi. Bagi masyarakat Arab, Aidilfitri adalah hari raya kecil, manakala Hari Raya Korban menjadi hari raya yang besar. Oleh itu, penghayatan Hari Raya Korban itu perlu dilihat dalam sudut yang penuh keinsafan.


Amat malang sekali ketika umat Islam bersiap sedia menyambut perayaan itu, bencana seperti banglo tertimbus di Bukit Antarabangsa berlaku yang menurut pakar akibat kelalaian manusia dan kelemahan teknologi. Ini juga adalah satu ujian Allah kepada umat-Nya supaya insaf dan mengambil iktibar kejadian yang berlaku, meskipun ia bukan tragedi pertama seumpamanya dan kita percaya ia mungkin bukan kali terakhir jika kita tidak insaf untuk mengambil iktibar daripada tragedi lalu.


Di Pantai Timur, umat Islam menyambut Aidiladha dalam keadaan rumah digenangi air, sekali lagi ujian Allah yang menuntut pengorbanan mereka yang terbabit dan masyarakat umum untuk menghulur bantuan. Namun, banjir adalah fenomena biasa yang berlaku pada akhir tahun seperti ini dan semestinya persediaan rapi sudah dilakukan lebih awal untuk memindahkan penduduk di kawasan berisiko tinggi.

Namun, kejadian bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah ujian Allah kepada kelalaian manusia. Nescaya, suasana Aidiladha di sekitar Bukit Antarabangsa semalam, tidaklah semeriah tahun sebelumnya, tetapi bagi kira-kira 500 penduduk di situ yang terkandas kerana tanah runtuh Sabtu lalu, tetap meraikannya dengan penuh keinsafan. Jemaah bergotong-royong membersihkan masjid yang 90 peratus siap pembinaannya itu dengan membersihkan debu dan pasir untuk membentangkan tikar bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.


Mereka menyambutnya dalam keadaan cukup sederhana sambil menanti perkembangan terbaru bagi membolehkan penduduk keluar dari kawasan itu yang masih berisiko. Situasi itu juga menuntut penduduk di situ untuk bersabar kerana berada dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air. Kelmarin, jemaah haji Malaysia yang berada di Arafah untuk ibadat wukuf menunaikan solat hajat memohon tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa tidak akan berulang di situ atau lokasi lain seluruh negara.


Kita juga berharap seluruh umat Islam di negara kita juga memohon semoga negara selamat daripada sebarang bencana alam. Dalam keadaan begini, kita juga berdoa supaya dijauhkan sikap tamak, rakus dan apa saja yang boleh mendatangkan bencana. Nescaya, ibadat korban bertindak sebagai wahana pembersihan harta dan juga jiwa sanubari diri individu Muslim. Mudah-mudahan ibadat korban yang dilakukan oleh setiap Muslim kali ini diterima Allah.

Thursday, December 4, 2008

Cerita Tauladan



Kisah 1
Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan. Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pe nah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara, "Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang pekerja dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya. Pengajaran: Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi 'cantik'. Jangan lupa bahawa cubaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat). WAllahu a'lam

Kisah 2
kisah ini sangat menarik utk diceritakan, terutamanya ketika dalam tazkirah ringkas. perumpamaan yg baik dan dapat diterima akal akan lebih diingati dan dimanfaatkan oleh para pendengar.wAllahua'lam...Seorang guru sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam.Si guru berkata, "Saya punya permainan...Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka berserulah "Pemadam!"Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Si guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian sang guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka berserulah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti. Si guru tersenyum kepada murid-muridnya."Anak-anak, begitulah kita ummat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membedakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita lewat berbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya."" Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi karena terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kalian terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kalian tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan etika.""Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, sex sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend,materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain.""Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu...""Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?"Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain. Akhirnya si Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet."Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya...Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar.""Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat."" Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan...""Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda.""Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan.""Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (perang pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita.."Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya mereka"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain.

Tapi sekarang tidak lagi..apa lagi yg tercengang2 tu??
ayuh kita kejutkan umat Islam lain yg masih tertidur!!!

Tuesday, November 11, 2008

Sekadar renungan...


Keajaiban Air Bernyawa

Bukti penemuan hasil kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto seorang “pakar air” dari Jepun.
Penemuan oleh Dr Masaru Emoto ini sungguh menakjubkan. Beliau membuktikan bahawa susunan molekul-molekul air boleh berubah mengikut apa yang diucapkan ke atas air tersebut.
Ustaz Abdullah Mahmud yang pernah berceramah di Surau Wisma Telekom Semarak, pada tahun lepas pernah menceritakan penemuan ini. Beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengikuti satu seminar yang disampaikan oleh seorang pakar air dari Jepun di Hotel Istana. Dalam seminar itu, mereka telah ditunjukkan melalui slaid, contoh-contoh air yang dilihat daripada mikroskop khas. Sumber air ini diambil daripada laut, sungai, empangan, perigi dan sebagainya. Ada pelbagai bentuk, daripada rupa cantik bercahaya seolah-olah seperti berlian hinggalah ke ‘hodoh dan mengerunkan” seperti rupa jin bertelinga besar, bertanduk dan sebagainya.
Suatu ketika, apabila ditunjukkan “rupa air yang cantik bercahaya,” molekulnya tersusun cantik, seperti berlian bersegi-segi, bersinar-sinar, berwarna-warni melebihi 12 warna, para hadirin telah disoal pakar air tersebut tentang asal usul sampel air itu. Salah seorang hadirin meneka, itu mungkin air Zam-Zam. Dan sememangnya telah disahkan benar oleh pakar air tersebut. Kemudian beberapa hadirin dipilih untuk membuat kajian. Di atas pentas, mereka dikehendaki membacakan sesuatu ke atas air mineral masing-masing. Lalu salah seorang hadirin dikehendaki menunjukkan hasil kajiannya. Apabila ditunjukkan di skrin kelihatan molekul air itu membentuk seolah-olah seperti tokong cina ( dengan janggut yang panjang dan perut buncit ).
Apabila tiba giliran Ustaz Abdullah, air tersebut dibacakan surah Al-Fatihah, Selawat dan ayat Kursi, maka apabila dipaparkan di skrin kelihatan molekulnya seperti berlian yang berkilau-kilau, cantik bercahaya. Kemudiannya beliau disuruh membaca sebarang ayat atau kata-kata yang tidak elok, maka ternampaklah di skrin molekul air itu berubah menjadi seperti sel-sel barah.
Banyak hadis dan ayat-ayat Quran, yang menceritakan fenomena ini. Air juga merupakan makhluk Allah yang bernyawa. Dengan keizinan daripada-Nya, ia mampu menyembuh dan memudaratkan seseorang, kerana dalam Islam ada kaedah-kaedah tertentu yang menggunakan air, untuk berikhtiar mengubati penyakit. Salah satu daripadanya mengunakan air penawar, atau dalam bahasa mudahnya air jampi. Seperti mana yang pernah diamalkan Rasulullah, dan diikuti oleh ulama-ulama Islam, para ustaz, para imam.

Friday, October 31, 2008

Untuk Anak didikku...

Selamat Menduduki peperiksaan SPM 2008 untuk anak didikku di
SMK. Methodist,Sg.siput(U) yang bakal menjelang tiba -bermula 11hb.Nov.2008 hingga 3hb.Dec.2008.
Semoga kalian tenang menghadapinya dan beroleh kejayaan yang cemerlang demi membahagiakan ibubapa dan mengharumkan nama sekolah...jangan dilupakan jasa guru...

SELAMAT MENDUDUKI SPM 2008 BUAT SEMUA PELAJAR DI SELURUH TANAH AIR...SEMOGA BERJAYA...AMIN.

Tuesday, October 14, 2008


Zikir Munajat

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لله وَلاَإلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah serta tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allahlah Yang Maha Besar
الله ، الله ، الله ، ياالله
Allah , Allah , Allah , Allah
حَسْبِيْ رَبِّيْ جَلَّ اللهُ مَا فِيْ قَلْبِيْ غَيْرُ اللهِ نَبِيْ مُحَمَّدٌ صَلّّى اللهُ
Cukuplah Allah Yang Maha Agung sebagai Tuhanku , Tiada di dalam hatiku melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w.
تُبْنَا إِلَى اللهِ ، وَرَجَعْنَا إِلَى اللهِ ، وَنَدِمْنَا عَلَى مَافَعَلْنَا
Kami bertaubat kepada Allah dan kami kembali kepada Allah , dan kami menyesal di atas apa yang telah kami lakukan
فَسُبْحَانَ مَنْ لاَيَقْدِرُ الْخَلْقُ قَدْرَهُ
Maha Suci Allah Yang mana tiada kekuasaan makhluk yang boleh mengatasi kekuasaan-Nya
وَمَنْ هُوَ فَوْقَ اْلعَرْشِ فَرْدٌ مُوَحَّدٌ
(Iaitu) Dialah satu-satunya yang bersemayam di atas ‘arasy yang di esakan
مَلِيْكٌ عَلَى عَرْشِ السَّمَاءِ مُهَيْمِنُ
Raja Maha Gagah Yang Menguasai kerajaan langit
ِلعِزَّتِهِ تَعْنُوْ الوُجُوْهُ وَتَسْجُدُ
Kerana kebesaran-Nya itu (maka) tunduk dan sujudlah segala makhluk(wajah-wajah)
حَسْبِيْ رَبِّيْ جَلَّ اللهُ مَا فِيْ قَلْبِيْ غَيْرُ اللهِ نَبِيْ مُحَمَّدٌ صَلّّى اللهُ
Cukuplah Allah Yang Maha Agung sebagai Tuhanku , Tiada di dalam hatiku melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w
لَيْسَ لَهَا مِنْ دُوْنِ اللهِ كَاشِفَةٌ
Tidak ada yang lain (dihatiku) melainkan Allah sebagai tempat pemberi hidayah
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْمَلِكِ الْحَقِّ الْمُبِيْنَ
Tiada Tuhan melainkan Allah Raja Yang Maha Besar
مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ صَادِقُ الوَعْدِ الأَمِيْنَ
Nabi Muhammad itu Rasul Allah yang benar segala janji-janjinya lagi dipercayai
أَسْتَغْفِرُ اللهَ إنَّ اللهَ كَانَ تَوَّاباً
Aku memohon ampun daripada Allah sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat

Friday, October 10, 2008

Tazkirah 1




TAZKIRAH : 10 AMALAN YANG TERBALIK

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri aruah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

 
©  free template by Blogspot tutorial