Berita Semasa

Thursday, July 30, 2009

Rahsia Solat


HIKMAH SUJUD DALAM SOLAT DARI SUDUT SAINTIFIK

Menurut Dr.Mohd Osman Nasir,hikmah sujud antara lain ialah seperti berikut ;

1). Melegakan sistem pernafasan (relieved congestion for breathing).
2). Mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.
3). Bernafas ketika sujud akan :
* membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
* membetulkan pundi peranakan yang jatuh(prolapsed uterus / fallen band womb).
* melegakan sakit hernia.
* mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
* melegakan bahagian paru-paru daripada ketegangan(high parts of the lung).
* mengurangkan kesakitan pada pesakit appendiks atau spleen (limpa).
* kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbangi lingkungan bahagian belakang tubuh.
* meringankan bahagian pelvis.
* memberi dorongan untuk mudah tidur.
* menggerakkan otot bahu,dada, leher,perut dan punggung ketika mahu sujud dan bangun darinya.
Gerakan otot-otot itu menjadikannya (otot) lebih kuat dan elestik,secara automatik akan memastikan
kelicinan perjalanan darah yang baik (smooth blood circulation).
*Bagi wanita ,gerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan
bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
*mengurangkan kegemukan (obesiti).
*gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin,organ peranakan mudah kembali ke tempat asal
serta terhindar daripada sakit bergelombang perut (convulsions ).
*Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
*mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima pompa darah ke otak secara kuat dan
mengejut ,terhindarlah penyakit seperti ‘apoplexia rupture of blood vessels’ dan ‘arte ioseclerosis of cerebrum’.

4). Kesan psikologi adalah dengan merasa rendah diri di hadapan Khaliq(Maha Pencipta),sifat sombong, riyak dan takabbur dapat dikikiskan.
Kesan sujud seperti yang diakui juga oleh fahaman agama lain umpama Sikh di Punjab. Buddha juga mengamalkan Yoga yang sujudnya hampir sama dengan cara sujud Islam.
(Dipetik dari buku “Formula Solat Sempurna ,oleh Ust.Zaharuddin Abd.Rahman,Cetakan Telaga biru,2008)

Di dalam Islam ,Solat mempunyai kedudukan yang besar,tiada satu ayat pun yang menggantikan kedudukan solat dengan ibadat lainnya. Solat merupakan tiang bagi agama dan agama tidak akan tegak melainkan dengan tiang itu. Firman Allah Taala dalam surah at-Taubah ,ayat 11 bermaksud “ Jika mereka bertaubat ,mendirikan solat dan menunaikan zakat,maka mereka itu adalah saudara-saudara seagama..”
Di dalam sujud ,seseorang itu akan dekat kepada Allah Taala,kerana di dalam sujudnya memasrahkan dirinya dengan kerendahan di sisi Allah Taala dan meletakkan ketampanan wajahnya di dasar bumi.
Maka ,Allah Taala akan memuliakannya dengan rahmat-Nya . Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Huzaifah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:-
"Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di tanah ( sebagai tamsilan tunduk, pasrah dan rasa hina seorang hamba kepada Allah)". (Hadis Riwayat Imam Tabrani).

Jesteru itulah,marilah kita sama-sama bermuhasabah diri sendiri dengan menilai semula setakat mana hubungan kita selama ini dengan Allah Taala , berapa banyakkah kita menangis kerana takutkan azab Allah semasa sujud ? sempurnakah solat kita selama ini ?atau cukupkah bekalan amal ibadat kita selama ini untuk dibawa di alam Baqa’ yang kekal selamanya…
Muhasabah diri sejenak ..untuk perubahan yang membawa kepada kebahagiaan yang hakiki.

Friday, July 24, 2009

Siri 11 : Hukuman Sebat




Antara cabaran, halangan hukuman sebat kes syariah
Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar

Penolong Setiausaha,Persatuan Peguam Muslim Malaysia.


PELAKSANAAN hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik dalam masyarakat di negara kita. Polemik ini terhasil kerana tidak faham mengenai pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat mengikut undang-undang syariah. Tidak keterlaluan jika dikatakan sebat syariah ini sering kali disamakan dengan sebat undang-undang jenayah sivil. Mungkin juga kerana istilah digunakan terlalu menggerunkan, iaitu sebat.

Namun hakikatnya hukuman sebat syariah ini hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan. Apakah benar hukuman sebat syariah ini tidak boleh dilaksanakan di Malaysia. Kesalahan jenayah syariah yang membawa kepada hukuman sebat berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Banyak negeri tidak memakai undang-undang seragam yang diluluskan Majlis Raja-Raja berkaitan undang-undang kesalahan jenayah syariah. Namun begitu, hukuman sebat maksimum yang boleh dikenakan tidak melebihi enam kali sebat.
Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius, sebat syariah bukanlah bagi kesalahan yang serius saja. Ia termasuk kesalahan berkaitan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan lain. Alat untuk menyebat tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan diperbuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Sebelum hukuman sebat dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh Pegawai Perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman berkenaan.
Sekiranya pesalah hamil, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran. Hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat seperti diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi maksud itu. Cara sebat: l Orang yang dilantik melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang. Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.
Selepas mengenakan satu sebat, dia hendaklah mengangkat alat sebat itu ke atas dan tidak menariknya. Sebat boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit. Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk. Jika ketika hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebat, sebat itu hendaklah ditangguhkan sehingga pegawai perubatan itu memperakui bahawa pesalah sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu. Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

Masa pelaksanaan hukuman.

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada hukuman penjara, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan. Sebat itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.

Kanun Acara Jenayah 1998 (CPC)

Kanun Acara Jenayah 1998 ini terpakai kepada sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Sivil. Sebatan jenis ini agak berlainan dengan sebat syariah. Sejarah hukuman sebat di Malaysia sebenarnya tidak berakar umbi daripada Islam. Ia bermula kerana diperkenalkan oleh Britain. Apabila Negeri-Negeri Selat terbentuk, maka undang-undang jenayah Inggeris juga terpakai. Di Malaysia, ada lebih kurang 50 orang yang diberi kuasa untuk melakukan sebat. Sebelum 2005, bagi setiap sebat, tukang sebat itu menerima RM3. Selepas 2005, kadar itu dinaikkan kepada RM10 setiap sebatan. Di Penjara Kajang sebatan dilakukan setiap Rabu dan Jumaat.

Halangan dan cabaran

Sebenarnya tidak wujud halangan besar melaksanakan hukuman sebat ini. Namun begitu ada beberapa aspek yang perlu ditekankan bagi melicinkan pelaksanaan hukuman sebat. Antaranya: Tidak faham mengenai pelaksanaan hukuman sebat. Antara isu yang ditimbulkan ialah bolehkah pesalah wanita dihukum sebat seperti sekatan di dalam undang-undang sivil. Bagaimana jika wanita itu hamil? Halangan wanita dijatuhi hukuman sebat hanyalah wujud di dalam CPC yang hanya terpakai kepada prosiding jenayah di mahkamah sivil. Perkara ini dapat difahami kerana sebat di dalam undang-undang sivil membawa kepada kecederaan yang amat ketara. Oleh yang demikian ia dikhususkan kepada orang lelaki saja. Tiada peruntukan khusus yang melarang hakim syarie menjatuhkan hukuman sebat terhadap wanita. Hakim syarie pula perlu bijak dengan menangguhkan hukuman sekiranya pesalah wanita itu hamil. Hukuman sebat boleh ditangguhkan selepas dua bulan bersalin. Sekiranya dijatuhkan juga hukuman sebat, maka hakim syarie boleh mengeluarkan bon kepada pesalah sehingga wanita itu melahirkan anak.

Persediaan melaksanakan hukuman sebat.

Saya difahamkan semua pegawai penjara yang melaksanakan hukuman sebat sudah dilatih menjalankan hukuman sebat syariah. Mereka sudah bersedia melaksanakan tugas mereka, namun tiada pelaksanaan dilakukan melainkan di Kelantan. Hukuman sebat dikenakan tetapi pemenjaraan tidak dihukum. Perkara ini sebenarnya sudah pun dikanunkan. Dalam hal pesalah itu dihukum sebat saja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman sebat dilaksanakan. Hakim syariah juga boleh menggunakan ‘judicial creativity’ dengan mengeluarkan bon jaminan kepada pesalah sehingga pelaksanaan hukuman sebat itu.

Adakah hukuman sebat syariah sama dengan sebat sivil?

Ngeri melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat syariah. Ramai yang menyamakan sebat sivil ini dengan sebat syariah. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat. Undang-undang berkaitan dengan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman sebat berbeza antara negeri. Lebih banyak kesalahan sepatutnya boleh dikenakan hukuman sebat. Sebagai contohnya denda di dalam kes khalwat tidak mampu membendung gejala sosial ini yang semakin berleluasa. Walaupun memang ada peruntukan kesalahan, hukuman sebat amat jarang dijatuhkan melainkan di Kelantan dan Pahang. Oleh yang demikian pelaksanaan hukuman ini belum lagi diuji sepenuhnya. Ada banyak bantahan diutarakan daripada ahli akademik, aktivis hak asasi manusia dan peguam terhadap hukuman sebat ini. Majlis Peguam sudah meluluskan satu resolusi yang menegaskan bahawa sebat itu adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan amat menyeksakan. Majlis Peguam mendesak kerajaan menghapuskan hukuman sebat. Hukuman sebat syariah agak berbeza dengan sebat sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya. Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi yang berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya. Malah hakim-hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak.

Thursday, July 23, 2009

Isu terkini .. Siri 1 : Hukuman sebat


Masyarakat harus faham hukuman sebat
Oleh : Hasliza Hassan Hassanhasliza@bharian.com.my

Islam ambil pendekatan untuk beri pengajaran, kesedaran bahaya arak KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Singapura, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di Cherating kira-kira jam 11.40 malam pada 11 Julai 2007, mencetuskan kontroversi.
Hukuman itu mengundang maklum balas termasuk daripada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang terkejut dengan tindakan hakim menjatuhkan hukuman sebat.
Malah, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali juga melahirkan rasa terkejut bahawa hukuman sebat termasuk dalam undang-undang syariah dan menganggap ia sebagai hukuman yang sangat keras. Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa perlu disebat. Jika dikenakan sebatan sekalipun, mengapa cuma enam sebatan? Kenapa tidak 40 sebatan iaitu jumlah maksimum yang pernah dilaksanakan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar as-Siddiq kepada peminum arak? Malah, Khalifah Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan kepada pesalah yang meminum arak.
Bagaimanapun, pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata jumlah hukuman sebat dikenakan itu bukan isu utama sebaliknya masyarakat perlu faham falsafah hukuman. Katanya, tiada siapa berani mengatakan arak itu bagus kerana semua tahu kesan tidak baiknya terhadap kesihatan dan minda manusia. Malah, masyarakat Barat juga mengakui hakikat itu dengan melarang ibu yang mengandung meminum arak.
Oleh itu kata beliau, cantiknya Islam sebagai agama fitrah ialah mengambil pendekatan untuk menjaga keselamatan umat dan hukuman sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan mereka serta orang lain. "Hukuman enam sebatan itu tidak serius tetapi rasional di sebalik falsafah hukuman lebih penting kerana kita mahu orang sedar keburukan minum arak kepada fikiran dan kesihatan. Lagipun, hukuman sebat ini sudah ada sejak 1994 dan hanya sekarang hakim melaksanakannya.
"Keburukan arak sudah jelas termasuk firman Allah yang menyatakan keburukannya lebih banyak berbanding kebaikan. Jika ada yang menjadikannya isu, mereka mungkin terbawa-bawa perjuangan hak asasi yang menganggap ia sebagai isu peribadi," katanya. Beliau berkata, masyarakat perlu objektif kenapa Parlimen meluluskan peruntukan hukuman sebat dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) kerana undang-undang dibuat bukan untuk suka-suka. Sebenarnya hukuman sebat sesuatu yang biasa di kebanyakan negara Islam termasuk Bangladesh yang menjatuhkan hukuman 202 sebatan terhadap seorang janda dan 101 sebatan kepada lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti anti-sosial di sebuah kampung di utara Bangladesh. Hukuman itu mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh ketua agama.
Dr Zulfakar berkata, tidak timbul soal zalim atau hukuman yang keras kerana peraturan menetapkan orang yang akan merotan menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana serta mengangkat rotan sama paras dengan bahu tidak melebihi kepalanya. "Hukuman sebat hanya untuk menyedarkan masyarakat dan enam sebatan itu pun tak sakit, hanya untuk pengajaran. Sepatutnya isunya sekarang ialah bukan kenapa ia dilaksanakan tetapi kenapa ia tidak dilaksanakan sedangkan sudah lebih 20 tahun," katanya.
Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, tidak dinafikan hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat akibat tidak memahami perundangan itu. "Hukuman itu sering disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan pelaksanaannya. Sebab itu walaupun ada peruntukan sebat ia hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan," katanya.
Beliau berkata, kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat berbeza antara negeri tetapi hukuman dikenakan hanya pada had maksimum enam kali sebatan. Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan serius, hukuman sebat syarie tidak hanya dijatuhkan kepada kesalahan serius termasuk kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan beberapa kesalahan lain.
Negeri Selangor mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan tabii. Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat. Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor.
"Semua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar," katanya.

Monday, July 20, 2009

Penghayatan Peristiwa Israk Mikraj


ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.
Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)
Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.
Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.
Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).
Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.
Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.
Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.
Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.
Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.
(Dipetik daripada Harian Metro ,20hb.Julai 2009 oleh Idris Musa)

 
©  free template by Blogspot tutorial