Berita Semasa

Tuesday, August 18, 2009

SIRI 1 : TAZKIRAH RAMADHAN



AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK..

Apa tindakan anda bagi memastikan Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun sebelumnya...

[1] Penuh Kebaikan

Rumah pada setiap keadaan khususnya di bulan Ramadhan sepatutnya dipenuhi dengan kebaikan. Semua ahli berlumba-lumba untuk melakukannya. Salafussoleh pernah berkata: “Jika kamu mampu, pastikan jangan ada yang mendahului kamu dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah.” Malah Allah sendiri berfirman di dalam al Quran yang bermaksud: “Berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan.” FirmanNya lagi: “Orang yang saling berlumba-lumba (dalam kebaikan), maka mereka itulah orang-orang yang hampir kedudukannya (di sisi Allah). Alangkah indahnya jika setiap rumah menyusun pertandingan dalam melakukan kebaikan sesama ahli keluarga; tidak kira pada aspek perilaku ataupun akhlak, sedekah, tilawah al Quran dan juga ibadat-ibadat yang lain.

[2] Al Quran Sering Berkumandang
Al Quran dan Ramadhan sentiasa berkait rapat. Malaikat Jibrail a.s. sendiri akan bertadarus dengan baginda s.a.w .setiap hari di bulan Ramadhan. Pada tahun kewafatannya, baginda s.a.w .telah bertadarus bersama Malaikat Jibrail as sebanyak dua kali sepanjang tempoh Ramadhan. Justeru alangkah baiknya kalau diadakan majlis-majlis doa dan juga tadarus al Quran. Diriwayatkan bagaimana Anas ra apabila telah khatam al Quran, maka dia akan menghimpunkan semua ahli keluarganya untuk sama-sama berdoa.

[3] Dipenuhi Unsur Kerohanian
Rumah di bulan Ramadhan seumpama bunga yang mengeluarkan bau yang cukup harum. Ia seakan cahaya yg menerangi setiap bahagiannya. Semua anggota di dalamnya akan berkumpul pada waktu sahur dan juga berbuka. Ketika itu semuanya saling menghayati erti keimanan. Ia menjadi semakin indah apabila diserikan lagi dengan majlis berbuka bersama dengan sanak saudara, rakan sekerja dan juga jiran tetangga. Perkara ini pastinya akan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang, menerbitkan keceriaan, malah menyuburkan suasana keimanan.

[4] Penuh Kesedaran
Rumah yang mempunyai sifat ini pastinya akan berhati-hati sewaktu memilih terutamanya bahan-bahan dari media-massa. Neraca ukur mereka ialah sejauh manakah sesuatu perkara itu dapat melahirkan takwa kepada anggotanya. Ini tentunya bertepatan dengan nilai takwa yang menjadi antara objektif terbesar di sebalik ibadah puasa. Mereka cukup bimbang kalau-kalau perbuatan mereka itu akan merosakkan bulan yang penuh barakah ini sebagaimana yang disebut oleh Umar ra: “Puasa itu bukan sekadar menahan dari minum dan makan semata-mata, akan tetapi ia juga adalah menahan diri dari berdusta, melakukan kebatilan dan juga perkara yang sia-sia (lagho).”

[5] Indahnya Malam
Alangkah indahnya kalau semua ahli keluarga dapat menghidupkan malam itu sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda saw, ahli keluarga dan para sahabatnya:. Mereka menghidupkan malam dengan ketaatan kepada Tuhan (juga) dengan membaca Quran, bermunajat serta berdoa dengan penuh harap .

[6] Menjelang Sepuluh Malam Terakhir
Peluang keemasan yang sepatutnya tidak dipersiakan. Daripada Aisyah ra berkata: Baginda s.a.w .telah bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan, maka baginda akan mengikat kainnya (gambaran keadaan siap-siaga), menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya.” Di dalam riwayat Muslim disebutkan bahawa: Rasulullah s.a.w .bersungguh-sungguh pada 10 hari yang terakhir melebihi dari yang dilakukan pada hari-hari yang lain.”

[7] Lailatul Qadar
Bagi orang Islam ia merupakan malam yang penuh dengan kemuliaan, kebesaran dan ganjaran yang berlipat kali ganda iaitu menyamai 1000 bulan atau 83 tahun! Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al Quran) ini pada malam Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadr? Malam Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun Malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al Qadr: 1- 5) Daripada Abu Hurairah ra meriwayatkan hadis bermaksud: “Sesiapa menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan (ganjaranNya), maka baginya keampunan dosa-dosanya yang lalu.” Baginda s.a.w .juga bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatul Qadr pada 10 hari yang terakhir (daripada bulan Ramadhan).” Aisyah berkata kepada baginda saw: “Kalaulah aku diberi peluang menemui Malam Lailatul Qadr, maka apakah yang aku perlu aku katakan? Baginda menjawab: “Katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah dosa-dosaku.”

Berikut adalah beberapa kebiasaan yang sepatutnya dikikis pada bulan yang mulia ini:

• Membuang masa
Sepatutnya tidak ada masa untuk melakukan perkara sia-sia. Baginda s.a.w .bersabda yang bermaksud: “Rugilah mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Dan rugilah orang yang bangun malam (mengerjakan solat), tetapi hanya mendapat letih dan berjaga malam sahaja.”

• Banyak Tidur
Puasa sepatutnya mengajar kita kurang tidur. Puasa bukan sahaja mengajar kita berlapar, malah mendidik kita supaya bangun malam (qiamullail), bangun sahur di waktu dinihari, menunaikan solat Subuh berjamaah, berzikir sehingga terbit matahari dan menunaikan solat Dhuha sebelum pergi ke tempat kerja.

• Kekenyangan
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu berpuasa, maka ia lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.” Imam al Ghazali pernah berkata: “Puasa itu adalah penyuci jiwa dan riadhah kepada jasad. Perut yang lapar akan membuatkan hati bersih, membakar sikap disamping menajamkan lagi penglihatan. Sementara kekenyangan itu hanya akan menyebabkan dungu serta membutakan penglihatan.”
(Dipetik daripada BAHTERA Consultant Sdn Bhd)

Wednesday, August 5, 2009

Kelebihan Syaaban

Susunan Idris Musa

SAIDATINA Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."
Bulan yang dinyatakan dalam hadis terbabit adalah antara yang disebut-sebut banyak kelebihan, sehingga hadis berkenaan menyatakan mereka yang berpuasa tidak akan lapar dan haus pada hari kiamat kelak.
Dalam memberikan penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya.Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).
Ketiga tiga bulan disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan.Sesetengah ulama menyatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa manakala bulan Syaaban untuk memperbaiki diri daripadasegala macam cela dan Ramadan adalah waktu menyucikan hati dan jiwa.
Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua.Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.Nabi s.a.w menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh.Baginda bertanya kepada sahabat, maksudnya: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebihmengetahui." Baginda menjawab: "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan."
Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain.Nabi s.a.w sendiri sering berpuasa pada bulan ini.
Daripada Saidatina Aishah, beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka yang Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka yang Rasulullah akan berbuka seterusnya."Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di bulan Syaaban." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menerangkan kepada umat Islam sekalian, Syaaban memang bulan sangat digalakkan beramal ibadat selain bulan lain, sesuai dengan statusnya sebagai gerbang Ramadan.Rasulullah s.a.w pernah mengumpamakan bulan Syaaban dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi lain. Sabda Baginda bermaksud: "Keutamaan Syaaban ke atas bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi lain sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."
Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan ibadat sunat termasuk puasa, doa, zikir, selawat dan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan.Walaupun amalan ini sukar, ganjaran yang menanti adalah berganda. Ibadat sunat pada Syaaban juga sebagai persediaan untuk lebih cergas beribadat siang dan malam pada Ramadan.
Syaaban juga adalah bulan di mana setiap doa orang beriman akan dimakbulkan Allah, sebagaimana dinyatakan Abdullah Umar dalam riwayatnya mengenai hadis Nabi iaitu Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Antara solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah sewaktu malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha."Rasulullah s.a.w bersabda: "Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam sejarah umat Islam, bulan Syaaban juga menyaksikan beberapa peristiwa penting seperti perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.Pada bulan ini juga berlaku peperangan Bani Mustaliq iaitu pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."

 
©  free template by Blogspot tutorial