BANJIR
: SABAR DI ATAS MUSIBAH YANG MENIMPA
Oleh : Mohd Zamri Bin A.Rashid
Sekarang
ini seluruh masyarakat di Malaysia sedang berduka cita apabila mengenangkan
musibah yang melanda sebahagian daripada penduduk Malaysia yang mengalami
banjir. Terdapat beberapa kawasan di negeri yang terjejas teruk seperti Pahang, Terengganu,
Kelantan dan Johor.
Menurut Menteri
Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat,Datuk Rohani Abdul Karim menyatakan
bahawa setakat jam 4.00 petang 8hb.December 2013,sebanyak 65,956 mangsa banjir
sudah didaftarkan daripada 217 pusat pemindahan di seluruh Negara.
Sebagai umat islam yang
beriman,pastinya kita akan menganggap bahawa semua ini merupakan ujian dan
musibah daripada Allah Taala kepada hamba-Nya.Sebab itulah kita disarankan
dalam Islam supaya memperbanyakkan sabar dan redha diatas musibah yang menimpa
kita sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ,ayat 155 dan 156
yang bermaksud ;
“Dan Kami (Allah) pasti
akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta,jiwa dan
buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.(iaitu)
orang-orang yang apabila ditimpa musibah,mereka berkata “Inna lillahi wa inna
ilaihi raji’un(sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali”.
Kalimah ‘Inna lillahi
wa inna ilaihi raji’un’ ini dinamakan kalimat Istirja’ iaitu pernyataan kembali
kepada Allah. Kalimah ini disunnahkan kita untuk menyebutnya pada waktu ditimpa musibah samada
besar atau kecil.
Ayat ini menyatakan
bahawa kesabaran mestilah berdasarkan iman Tauhid yang sungguh-sungguh kepada
Allah dan mengerti dengan sebenarnya bahawa segala yang terjadi pada diri kita
ini berupa musibah dan sebagainya hanyalah semata-mata dari Allah yang
seharusnya kita redha menerima hukum Allah.
Sesungguhnya setiap
kesabaran daripada mangsa-mangsa banjir pada ketika ini pasti akan mendapat
ganjaran dari Allah Taala sebagaimana Firman Allah dalam Surah Azzumar, ayat 10
yang bermaksud ; “ hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan
pahalanya tanpa batas.”.
Kesabaran dalam
menanggung musibah yang berlaku disamping tidak melupakan amal ibadat yang
wajib kepada Allah Taala merupakan jaminan yang besar untuk mencapai cita-cita
dan harapan kita mendapat ganjaran dari Allah. Firman Allah Taala dalam Surah
Al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang sabar.”
Dalam satu hadis
menyatakan bahawa “Abi Yahya Shuaib bin Sinan r.a berkata, telah bersabda
Rasulullah s.a.w ; sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin,sebab segala
keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali
bagi seorang mukmin yang mana jika mendapat nikmat, ia bersyukur.Maka syukur
itu lebih baik baginya, dan apabila menderita kesusahan , ia sabar.Maka
kesabaran itu lebih baik baginya.”(riwayat Muslim).
Dalam hadis ini
menjelaskan bahawa mensyukuri suatu nikmat yang diberikan dapat menimbulkan
pahala yang lebih besar dari kenikmatan yang lain. Demikian pula jika mendapat
musibah dan bala bencana,lalu ia bersabar,maka pahala kesabaran itu akan
merubah suasana musibah menjadi suatu kenikmatan kerana pahala yang tersedia
baginya, jauh lebih besar daripada penderitaan musibah yang dialaminya.
Kesabaran dan ketabahan
hati dalam menanggung musibah ini perlulah dipahat dalam hati setiap orang
mukmin yang benar-benar percaya kepada Allah Taala dan iman kita belum diakui
benar oleh Allah sebelum kita diuji dan didatangkan musibah. Firman Allah Taala
dalam Surah Muhammad,ayat 31 yang bermaksud ; “Dan sesungguhnya kami
benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang
benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu,dan akan kami uji perihal
kamu.”
Didalam keadaan yang
seperti ini, setiap daripada kita perlulah memperbanyakkan doa kepada Allah kerana
sudah menjadi lumrah insan yang mana dalam keadaan yang kritikal,hati kecilnya
akan berbisik meminta ihsan dari Allah. Firman Allah Taala dalam Surah
Al-Baqarah,ayat 186 yang bermaksud ; “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu tentang-Ku,sesungguhnya Aku dekat.Aku menyahut doa orang yang berdoa,
tatkala dia berdoa kepada-Ku,jesteru sahutlah seruan-Ku.”
Dalam hadis Nabi
daripada Abu Hurairah r.a,sabda Baginda yang bermaksud ; “Tidak ada sesuatu
yang lebih mulia bagi Allah melainkan berdoa.”(riwayat al-Tirmizi)
Sesungguhnya,setiap
yang berlaku kepada kita ada hikmah Allah yang tersembunyi. Hujjatul Islam Imam
Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin
menyebut bahawa Allah akan menentukan kebaikan dan Dia tentukan dengan
ada musababnya.Demikian juga dengan keburukan (musibah) , Allah tetapkan untuk
mengangkat keburukan itu dengan sebab-sebab tertentu.
Mudah-mudahan, kita
berdoa agar semua mangsa-mangsa banjir dan
kita semua dilimpahi rahmat dan diperteguhkan jiwa dan hati dalam
menghadapi musibah yang melanda ini.