Berita Semasa

Monday, December 9, 2013


BANJIR : SABAR DI ATAS MUSIBAH YANG MENIMPA
Oleh : Mohd Zamri Bin A.Rashid

            Sekarang ini seluruh masyarakat di Malaysia sedang berduka cita apabila mengenangkan musibah yang melanda sebahagian daripada penduduk Malaysia yang mengalami banjir. Terdapat beberapa kawasan di  negeri yang terjejas teruk seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat,Datuk Rohani Abdul Karim menyatakan bahawa setakat jam 4.00 petang 8hb.December 2013,sebanyak 65,956 mangsa banjir sudah didaftarkan daripada 217 pusat pemindahan di seluruh Negara.

Sebagai umat islam yang beriman,pastinya kita akan menganggap bahawa semua ini merupakan ujian dan musibah daripada Allah Taala kepada hamba-Nya.Sebab itulah kita disarankan dalam Islam supaya memperbanyakkan sabar dan redha diatas musibah yang menimpa kita sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ,ayat 155 dan 156 yang bermaksud ;

“Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah,mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un(sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali”.

Kalimah ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ ini dinamakan kalimat Istirja’ iaitu pernyataan kembali kepada Allah. Kalimah ini disunnahkan kita untuk  menyebutnya pada waktu ditimpa musibah samada besar atau kecil.

Ayat ini menyatakan bahawa kesabaran mestilah berdasarkan iman Tauhid yang sungguh-sungguh kepada Allah dan mengerti dengan sebenarnya bahawa segala yang terjadi pada diri kita ini berupa musibah dan sebagainya hanyalah semata-mata dari Allah yang seharusnya kita redha menerima hukum Allah.

Sesungguhnya setiap kesabaran daripada mangsa-mangsa banjir pada ketika ini pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Taala sebagaimana Firman Allah dalam Surah Azzumar, ayat 10 yang bermaksud ; “ hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.”.

Kesabaran dalam menanggung musibah yang berlaku disamping tidak melupakan amal ibadat yang wajib kepada Allah Taala merupakan jaminan yang besar untuk mencapai cita-cita dan harapan kita mendapat ganjaran dari Allah. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Dalam satu hadis menyatakan bahawa “Abi Yahya Shuaib bin Sinan r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w ; sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin,sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin yang mana jika mendapat nikmat, ia bersyukur.Maka syukur itu lebih baik baginya, dan apabila menderita kesusahan , ia sabar.Maka kesabaran itu lebih baik baginya.”(riwayat Muslim).

Dalam hadis ini menjelaskan bahawa mensyukuri suatu nikmat yang diberikan dapat menimbulkan pahala yang lebih besar dari kenikmatan yang lain. Demikian pula jika mendapat musibah dan bala bencana,lalu ia bersabar,maka pahala kesabaran itu akan merubah suasana musibah menjadi suatu kenikmatan kerana pahala yang tersedia baginya, jauh lebih besar daripada penderitaan musibah yang dialaminya.

Kesabaran dan ketabahan hati dalam menanggung musibah ini perlulah dipahat dalam hati setiap orang mukmin yang benar-benar percaya kepada Allah Taala dan iman kita belum diakui benar oleh Allah sebelum kita diuji dan didatangkan musibah. Firman Allah Taala dalam Surah Muhammad,ayat 31 yang bermaksud ; “Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu,dan akan kami uji perihal kamu.”

Didalam keadaan yang seperti ini, setiap daripada kita perlulah memperbanyakkan doa kepada Allah kerana sudah menjadi lumrah insan yang mana dalam keadaan yang kritikal,hati kecilnya akan berbisik meminta ihsan dari Allah. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah,ayat 186 yang bermaksud ; “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku,sesungguhnya Aku dekat.Aku menyahut doa orang yang berdoa, tatkala dia berdoa kepada-Ku,jesteru sahutlah seruan-Ku.”

Dalam hadis Nabi daripada Abu Hurairah r.a,sabda Baginda yang bermaksud ; “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia bagi Allah melainkan berdoa.”(riwayat al-Tirmizi)

Sesungguhnya,setiap yang berlaku kepada kita ada hikmah Allah yang tersembunyi. Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin  menyebut bahawa Allah akan menentukan kebaikan dan Dia tentukan dengan ada musababnya.Demikian juga dengan keburukan (musibah) , Allah tetapkan untuk mengangkat keburukan itu dengan sebab-sebab tertentu.

Mudah-mudahan, kita berdoa agar semua mangsa-mangsa banjir dan  kita semua dilimpahi rahmat dan diperteguhkan jiwa dan hati dalam menghadapi musibah yang melanda  ini.

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial