Berita Semasa

Thursday, February 18, 2010

Sempena Maulidur Rasul 1431H


MEMPERINGATI “MAULIDUR RASUL”

Tidak lama lagi kita akan menyambut Maulidur Rasul 1431H yang mana ianya merupakan satu hari yang amat penting bagi umat Islam.Ia hendaklah diperingati dan dirayakan dengan penuh bererti,dengan tujuan untuk menghidupkan sunnah ,budi pekerti dan perjuangan Baginda s.a.w dalam membela hak dan kebenaran. Kita juga perlu mencontohi amal usaha Baginda dalam membimbing umat manusia agar hidup bahagia dan aman damai.
Usaha menghidupkan sunnah Nabi dan pengajaran-pengajaran baginda hendaklah dibuktikan dengan menzahirkan kesetiaan dan kecintaan terhadap Baginda melebihi kecintaan terhadap yang lain. Menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w dan menunjukkan kecintaan kepada Baginda s.a.w tidak cukup dengan hanya mengadakan keramaian atau kenduri maulud ,atau sekadar berarak sambil berselawat tetapi sebaik sahaja majlis tersebut selesai , kesemuanya dilupakan begitu sahaja ..
Rasulullah s.a.w yang kita peringati ,yang disambut ulang tahun kelahirannya pada setiap tanggal 12 Rabi’ul Awwal merupakan Rasul junjungan agung yang telah dimuliakan oleh Allah Taala yang mana baginda bukan sahaja pandai berkata-kata tetapi Baginda lebih suka bertindak dan melaksanakan sesuatu perkara. Perbuatan dan tindakan baginda melebihi tutur katanya , jesteru itulah Allah Taala sangat murka kepada orang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya sebagaimana Firman Allah dalam Surah as-Saff ,ayat 3 ;

Maksudnya : “ Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
Rasulullah s.a.w juga diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam .jelasnya agama yang dibawa oleh junjungan kita Nabi s.a.w menganjurkan umat manusia supaya tidak melakukan perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat kerana setiap apa yang kita kerjakan pasti akan dinilai untuk diberi ganjaran dan balasan.Hanya orang-orang yang mulia di sisi Allah Taala adalah mereka yang bertaqwa .
Oleh itu, sempena memperingati tarikh kelahiran seorang utusan agong ini yang mana Baginda umpama pelita yang menerangi alam dengan pengajaran dan contoh tauladan ,marilah kita memperbanyakkan melakukan amal soleh yang mendatangkan faedah dan keuntungan untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat .
Mudah-mudahan kita mendapat berkat dengan meneladani,mencontohi dan mengamalkan Sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian kita …amin…
(Di ubahsuai daripada buku “tazkirah untuk orang mengaji :karya sonhadji,tahun 2004)

 
©  free template by Blogspot tutorial