Berita Semasa

Sunday, September 6, 2009

SIRI 2 : TAZKIRAH RAMADHAN Sempena Nuzul Al-Quran


Sikap Umat Islam Terhadap Al-Quran ?

Umat Islam adalah satu-satunya umat yang paling beruntung di dunia ini,kerana memiliki wahyu Allah yang terpelihara dalam keadaan utuh dan dalam bentuknya yang asli,bebas dari kekotoran campur tangan manusia.Setiap kata-kata yang ada didalamnya masih tetap sama dengan waktu ia diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.Namun begitu umat Islam inilah juga adalah orang-orang yang paling malang di dunia ini,kerana walaupun mereka memiliki Wahyu Allah tetapi mereka tidak dapat memperolehi berkat dan manfaat tersebut yang sebenarnya terlalu banyak.
Al-Quran diturunkan Allah agar umat Islam membacanya,memahami isinya dan beramal menurut petunjuknya.Melalui kitab ini ,umat Islam disuruh menegakkan pemerintahan di muka bumi Allah ini sesuai dengan hukum Allah.Al-Quran datang untuk memberikan kepada mereka kebenaran dan kekuasaan.Ia datang untuk menjadikan mereka Khalifah Allah yang sejati di bumi ini. Sejarah telah membuktikan bila umat Islam berbuat menurut petunjuk yang terkandung dalam Kitab ini,maka Kitab suci ini akan memperlihatkan kemampuannya untuk menjadikan mereka beriman.
Tetapi sekarang,cuba kita fikir dan renungkan apakah sikap umat Islam hari ini terhadap Al-Quran ? Kegunaan Al-Quran bagi mereka hanyalah untuk disimpan di rumah sebagai perhiasan untuk mengusir jin-jin dan hantu sahaja.Mereka tidak lagi mencari petunjuk daripadanya untuk mengatur masalah-masalah kehidupan yang semakin menghampiri Qiamat ini. Ayat-ayat Al-Quran telah luput dalam hati-hati umat Islam dan semakin ramai umat Islam yang buta Al-Quran.Sekarang ini pun Allah Taala telah menghilangkan pula ayat-ayat suci-Nya sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini sebagai tanda ingatan betapa parahnya umat Islam hari ini mengabaikan Al-Quran.
Firman Allah Taala dalam Surah Shad ,ayat 29 yang bermaksud “Inilah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepada engkau,penuh keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengerti.”
Sesetengah manusia menjauhi Al-Quran dalam menentukan hukum-hukum apa yang harus mereka ikuti untuk mengikat tali persaudaraan dan menyelesaikan permusuhan.Ayat-ayat Al-Quran tidak lagi dialunkan di rumah bersama ahli keluarga dan dijadikan pegangan utama dalam hidup mereka.Ketahuilah,bahawa Al-Quran adalah bagaikan lautan,kita hanya mengambil dua titis daripadanya padahal sebenarnya ia mampu memberikan air lebih daripada lautan itu sendiri.Begitulah kalau kita hanya menjadikan Al-Quran hanya untuk dijadikan doa sahaja maka yang akan kita perolehi hanya hal-hal yang kecil itu sahaja.Tetapi kalau kita ingin mencapai puncak kebesaran rohani,Al-Quran juga boleh membawa kita ke sana.Ini bergantung kepada kemampuan kita untuk mengambil manfaat daripada Al-Quran itu sendiri.
Insaflah bahawa segala peristiwa dan kejadian yang berlaku pada hari ini adalah untuk menjadi pengajaran kepada seluruh umat manusia yang masih lagi leka dengan urusan dunia,perbuatan maksiat seperti minum arak dan berjudi,meningggalkan suruhan Allah seperti tidak solat,tidak berpuasa di bulan Ramadhan,mendedahkan aurat serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan begitu banyak berlaku di dalam masyarakat Islam hari ini.Kejadian –kejadian dahsyat seperti tragedi gempa bumi,tsunami ,ribut taufan dan sebagainya yang mengorbankan ribuan nyawa umat Islam hendaklah dijadikan pengajaran dan pedoman kepada umat Islam selama mana mereka hidup di dunia ini.
Ingatlah janji Allah adalah benar bahawa hari Qiamat akan sampai masanya melalui tanda-tanda peristiwa akhir zaman ini. Bagi kita orang yang menyakini tentang benarnya kata-kata Allah di dalam Al-Quran pasti akan mengalir air mata tanda keinsafan di atas kebesaran dan kekuasaan Allah keatas makhluk-Nya.
Kita sebagai umat Islam yang diberikan oleh Allah kemuliaan sebagai umat yang agung dan terpilih hendaklah bermula dari saat ini memperbaiki diri kita ke arah mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya serta bertaubatlah dari sekarang selagi pintu taubat masih terbuka,lebih-lebih lagi dibulan Ramadhan yang mulia ini. Apakah kita mahu melihat ‘sebutir mutiara’ ini akan hilang sirnanya atau sebaliknya ? Oleh itu kita perlu merenung kembali sikap umat Islam dan juga sikap kita sendiri terhadap Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Taala.
Sesungguhnya segala kejadian yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri….Subhanallah…

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial