Berita Semasa

Thursday, September 17, 2009

SIRI 5 : TAZKIRAH RAMADHAN


IDUL FITRI HARI IBADAH..

Kemunculan 1 Syawal adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa,lelaki maupun perempuan,kaya ataupun miskin,di Bandar atau di kota. Semua orang pasti bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.
Hari raya dalam Islam sebenarnya bukanlah semata-mata hari untuk bersuka ria bahkan hari raya merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut mengikut adab-adabnya.
Adab-adab berhari raya dalam Islam telahpun diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sunnah baginda. Sambutan dimulakan sebaik sahaja terbenam matahari pada akhir Ramadhan. Ketika itu disunatkan bertakbir dan bertahmid,disunatkan juga kita banyak beribadah seperti solat sunat, bersedeqah, bermaafan sesama kaum keluarga,jiran tetangga dan sahabat handai.
Pada pagi hari raya disunatkan mandi sunat hari raya.Kemudian berpakaian dengan pakaian terbaik yang kita miliki tetapi tidak semestinya baru. Makanlah terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid atau surau untuk solat sunat Idul Fitri bagi meraikan hari yang mulia ini.
Ketika balik daripada solat sunat ini, disunatkan kita melalui jalan yang lain daripada jalan yang kita pergi. Ini bertujuan supaya kita dapat bertemu atau berziarah dengan rakan taulan dan bermaaf-maafan serta menghubungkan silaturahim.
Namun begitu,jangan bersalaman dengan orang yang bukan mahram ketika saling bermaaf-maafan kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam sekalipun atas nama hari raya .Janganlah pula ketika mencari keampunan manusia,tiba-tiba mendapat murka Allah kerana telah melanggar syariat dan hukum Allah . Peliharalah aurat dan pergaulan,sambutlah hari raya dengan berhemah,jangan membazir makanan dan jangan dilalaikan dengan hiburan.
Jika pergi berziarah atau bertamu di hari raya,pilihlah waktu-waktu yang sesuai atau sebagaimana yang diundang.Elakkan duduk berlama-lama kerana ia akan mengganggu tuan rumah.Makanlah apa yang dihidangkan dan jangan membazir.
Bagi pihak tuan rumah pula,hendaklah memuliakan tetamu yang dating,hormati tetamu dan pamerkan rasa gembira dengan kedatangan tetamu itu.Segerakan menghidangkan makanan kepada tetamu.
Sewaktu hendak pulang,tetamu hendaklah meminta izin atau memberitahu tuan rumah,menunjukkan wajah ceria sebagai tanda gembira dengan layanan tuan rumah. Sebaiknya tuan rumah hendaklah keluar mengiringi tetamu sampai ke pintu rumah dengan wajah yang gembira dan kata-kata yang manis.
Demikianlah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan sempena sambutan hari raya idulfitri. Mudah-mudahan ianya akan menjadi amalan kita bersama.Sambutlah hari raya yang bakal menjelang tiba sebagai hari ibadah untuk kita semua.(Diubahsuai drp buku”Bingkisan Ramadhan”,JAPIM,KPM,2008)
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI…MAAF ZAHIR DAN BATIN.

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial