Berita Semasa

Thursday, September 17, 2009

SIRI 5 : TAZKIRAH RAMADHAN


IDUL FITRI HARI IBADAH..

Kemunculan 1 Syawal adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa,lelaki maupun perempuan,kaya ataupun miskin,di Bandar atau di kota. Semua orang pasti bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.
Hari raya dalam Islam sebenarnya bukanlah semata-mata hari untuk bersuka ria bahkan hari raya merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut mengikut adab-adabnya.
Adab-adab berhari raya dalam Islam telahpun diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sunnah baginda. Sambutan dimulakan sebaik sahaja terbenam matahari pada akhir Ramadhan. Ketika itu disunatkan bertakbir dan bertahmid,disunatkan juga kita banyak beribadah seperti solat sunat, bersedeqah, bermaafan sesama kaum keluarga,jiran tetangga dan sahabat handai.
Pada pagi hari raya disunatkan mandi sunat hari raya.Kemudian berpakaian dengan pakaian terbaik yang kita miliki tetapi tidak semestinya baru. Makanlah terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid atau surau untuk solat sunat Idul Fitri bagi meraikan hari yang mulia ini.
Ketika balik daripada solat sunat ini, disunatkan kita melalui jalan yang lain daripada jalan yang kita pergi. Ini bertujuan supaya kita dapat bertemu atau berziarah dengan rakan taulan dan bermaaf-maafan serta menghubungkan silaturahim.
Namun begitu,jangan bersalaman dengan orang yang bukan mahram ketika saling bermaaf-maafan kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam sekalipun atas nama hari raya .Janganlah pula ketika mencari keampunan manusia,tiba-tiba mendapat murka Allah kerana telah melanggar syariat dan hukum Allah . Peliharalah aurat dan pergaulan,sambutlah hari raya dengan berhemah,jangan membazir makanan dan jangan dilalaikan dengan hiburan.
Jika pergi berziarah atau bertamu di hari raya,pilihlah waktu-waktu yang sesuai atau sebagaimana yang diundang.Elakkan duduk berlama-lama kerana ia akan mengganggu tuan rumah.Makanlah apa yang dihidangkan dan jangan membazir.
Bagi pihak tuan rumah pula,hendaklah memuliakan tetamu yang dating,hormati tetamu dan pamerkan rasa gembira dengan kedatangan tetamu itu.Segerakan menghidangkan makanan kepada tetamu.
Sewaktu hendak pulang,tetamu hendaklah meminta izin atau memberitahu tuan rumah,menunjukkan wajah ceria sebagai tanda gembira dengan layanan tuan rumah. Sebaiknya tuan rumah hendaklah keluar mengiringi tetamu sampai ke pintu rumah dengan wajah yang gembira dan kata-kata yang manis.
Demikianlah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan sempena sambutan hari raya idulfitri. Mudah-mudahan ianya akan menjadi amalan kita bersama.Sambutlah hari raya yang bakal menjelang tiba sebagai hari ibadah untuk kita semua.(Diubahsuai drp buku”Bingkisan Ramadhan”,JAPIM,KPM,2008)
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI…MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Friday, September 11, 2009

SIRI 4 : TAZKIRAH RAMADHAN


LAILATUL QADAR : TAWARAN HEBAT DARIPADA ALLAH

Bulan ramadhan adalah bulan yang tiada tolok bandingnya. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.Malam yang dinamakan “Lailatul Qadar”.Hebatnya mala mini seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah Al-Qadr,ayat 3 “Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan ”.
Ini bermakna beribadah pada malam itu dengan penuh ketaatan serta khusyuk sama seperti beribadah selama seribu bulan pada bulan –bulan yang lain. Seribu bulan adalah ganjaran yang sama dengan 83 tahun 4 bulan.
Kehebatan malam Lailatul Qadar juga digambarkan oleh Allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya,tiada keburukan sehingga menjelang fajar. Malam itu para Malaikat mengucapkan salam kepada orang –orang yang beriman.Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam tersebut. Tawaran Allah ini terlalu hebat buat kita semua.
Nabi Muhammmad s.a.w sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebaikan dan kasih sayang Allah Taala.
Hidupkanlah pada malam tersebut dengan amal ibadat ,berdoa,berzikir dan memohon keampunan dan keredhaan-Nya. Bertaubatlah sebanyak-banyaknya dengan taubat nasuha pada malam itu terhadap segala dosa-dosa yang telah dilakukan pada masa lampau.
Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walaupun bertongkat sekalipun.Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa kita sedar samada kepada Allah atau ibubapa atau orang yang sekeliling kita.
Kalaulah terasa berat dan sukar untuk bangun malam ,beritahulah pada diri bahawa peluang ini tidak datang selalu dan selamanya.Peluang ini hadir hanya setahun sekali. Betapa ruginya orang yang menolak peluang keemasan ini hanya kerana kemalasan.
Sesungguhnya Lailatul Qadar adalah sumber kekuatan dalaman yang ampuh,latihan disiplin yang berkesan,pelita suluh untuk menerangi kehidupan serta penawar untuk mengubati hati dan jiwa yang resah.
(Diubah suai daripada buku "tazkirah Ramadhan",JAPIM,KPM,tahun 2008)

Wednesday, September 9, 2009

SIRI 3 : TAZKIRAH RAMADHAN


TAJUK : SUCIKAN JIWA

Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk kita menyucikan jiwa .Inilah masanya untuk melenturkan jiwa supaya patuh dan taat kepada perintah Allah Taala. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik selain di bulan Ramadhan ini .
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.a.w bersabda “Apabila datang bulan Ramadhan ,maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan para syaitan “(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jiwa kita umpama mentol lampu yang terang. Namun apabila setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat,maka satu titik hitam akan melekat di hati kita. Lama kelamaan mentol dari yang awalnya terang akan dilitupi oleh titik hitam tersebut sehingga cahayanya menjadi malap.
Oleh itu, ianya perlu dibersihkan supaya cahayanya memancar untuk menunjuk jalan yang benar.Bertaubatlah di atas segala kesalahan terhadap Allah atau sesama makhluk.
Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu ;
- Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
- Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
- Berazam untuk tidak mengulangi lagi maksiat tersebut.
Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa .Apabila jiwa telah suci maka akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah maka inilah masanya untuk kita …
-Solat subuh tidak terlewat lagi malah saat menunggunya diisi dengan tilawah Al-quran.
-Tangan berjabat mengeratkan silaturahim.
-Hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat.
-Tiada kata nista ,umpat keji melata di bibir.
- Alunan zikir bertali arus menunjukkan rasa rindu kasih seorang hamba kepada Tuhannya.
- Jiran tetangga bertukar juadah dan mengeratkan hubungan saudara terdekat.
- Ibubapa diziarahi,hubungan silaturahim diperbaiki dan pusara dikunjungi.
- Pakaian labuh dan menutup aurat menjadi pilihan.
- Masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah .
-Doa dipanjatkan semoga kehidupan di dunia diberkati ,kehidupan di akhirat bahagia menanti.
Inilah masanya , sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru,sebagai garis permulaan kearah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.
(Diubah suai daripada buku “Bingkisan Ramadhan”,Japim,kpm,tahun 2008)

Sunday, September 6, 2009

SIRI 2 : TAZKIRAH RAMADHAN Sempena Nuzul Al-Quran


Sikap Umat Islam Terhadap Al-Quran ?

Umat Islam adalah satu-satunya umat yang paling beruntung di dunia ini,kerana memiliki wahyu Allah yang terpelihara dalam keadaan utuh dan dalam bentuknya yang asli,bebas dari kekotoran campur tangan manusia.Setiap kata-kata yang ada didalamnya masih tetap sama dengan waktu ia diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.Namun begitu umat Islam inilah juga adalah orang-orang yang paling malang di dunia ini,kerana walaupun mereka memiliki Wahyu Allah tetapi mereka tidak dapat memperolehi berkat dan manfaat tersebut yang sebenarnya terlalu banyak.
Al-Quran diturunkan Allah agar umat Islam membacanya,memahami isinya dan beramal menurut petunjuknya.Melalui kitab ini ,umat Islam disuruh menegakkan pemerintahan di muka bumi Allah ini sesuai dengan hukum Allah.Al-Quran datang untuk memberikan kepada mereka kebenaran dan kekuasaan.Ia datang untuk menjadikan mereka Khalifah Allah yang sejati di bumi ini. Sejarah telah membuktikan bila umat Islam berbuat menurut petunjuk yang terkandung dalam Kitab ini,maka Kitab suci ini akan memperlihatkan kemampuannya untuk menjadikan mereka beriman.
Tetapi sekarang,cuba kita fikir dan renungkan apakah sikap umat Islam hari ini terhadap Al-Quran ? Kegunaan Al-Quran bagi mereka hanyalah untuk disimpan di rumah sebagai perhiasan untuk mengusir jin-jin dan hantu sahaja.Mereka tidak lagi mencari petunjuk daripadanya untuk mengatur masalah-masalah kehidupan yang semakin menghampiri Qiamat ini. Ayat-ayat Al-Quran telah luput dalam hati-hati umat Islam dan semakin ramai umat Islam yang buta Al-Quran.Sekarang ini pun Allah Taala telah menghilangkan pula ayat-ayat suci-Nya sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini sebagai tanda ingatan betapa parahnya umat Islam hari ini mengabaikan Al-Quran.
Firman Allah Taala dalam Surah Shad ,ayat 29 yang bermaksud “Inilah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepada engkau,penuh keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengerti.”
Sesetengah manusia menjauhi Al-Quran dalam menentukan hukum-hukum apa yang harus mereka ikuti untuk mengikat tali persaudaraan dan menyelesaikan permusuhan.Ayat-ayat Al-Quran tidak lagi dialunkan di rumah bersama ahli keluarga dan dijadikan pegangan utama dalam hidup mereka.Ketahuilah,bahawa Al-Quran adalah bagaikan lautan,kita hanya mengambil dua titis daripadanya padahal sebenarnya ia mampu memberikan air lebih daripada lautan itu sendiri.Begitulah kalau kita hanya menjadikan Al-Quran hanya untuk dijadikan doa sahaja maka yang akan kita perolehi hanya hal-hal yang kecil itu sahaja.Tetapi kalau kita ingin mencapai puncak kebesaran rohani,Al-Quran juga boleh membawa kita ke sana.Ini bergantung kepada kemampuan kita untuk mengambil manfaat daripada Al-Quran itu sendiri.
Insaflah bahawa segala peristiwa dan kejadian yang berlaku pada hari ini adalah untuk menjadi pengajaran kepada seluruh umat manusia yang masih lagi leka dengan urusan dunia,perbuatan maksiat seperti minum arak dan berjudi,meningggalkan suruhan Allah seperti tidak solat,tidak berpuasa di bulan Ramadhan,mendedahkan aurat serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan begitu banyak berlaku di dalam masyarakat Islam hari ini.Kejadian –kejadian dahsyat seperti tragedi gempa bumi,tsunami ,ribut taufan dan sebagainya yang mengorbankan ribuan nyawa umat Islam hendaklah dijadikan pengajaran dan pedoman kepada umat Islam selama mana mereka hidup di dunia ini.
Ingatlah janji Allah adalah benar bahawa hari Qiamat akan sampai masanya melalui tanda-tanda peristiwa akhir zaman ini. Bagi kita orang yang menyakini tentang benarnya kata-kata Allah di dalam Al-Quran pasti akan mengalir air mata tanda keinsafan di atas kebesaran dan kekuasaan Allah keatas makhluk-Nya.
Kita sebagai umat Islam yang diberikan oleh Allah kemuliaan sebagai umat yang agung dan terpilih hendaklah bermula dari saat ini memperbaiki diri kita ke arah mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya serta bertaubatlah dari sekarang selagi pintu taubat masih terbuka,lebih-lebih lagi dibulan Ramadhan yang mulia ini. Apakah kita mahu melihat ‘sebutir mutiara’ ini akan hilang sirnanya atau sebaliknya ? Oleh itu kita perlu merenung kembali sikap umat Islam dan juga sikap kita sendiri terhadap Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Taala.
Sesungguhnya segala kejadian yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri….Subhanallah…

 
©  free template by Blogspot tutorial