Berita Semasa

Saturday, August 27, 2011

Tazkirah Ramadhan (Siri 4)



TAJUK : SAMBUTLAH AIDILFITRI SEBAGAI HARI IBADAH

Kemunculan 1 Syawal adalah satu hari yang dinanti-nanti oleh semua umat Islam dan semuanya akan bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.
Hari raya Aidilfitri sebenarnya bukanlah hanya semata-mata hari untuk bersuka ria sahaja tetapi ia merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut dengan adab-adabnya.
Dalam suasana gembira ,janganlah kita melupakan adab-adab yang telah digariskan oleh Rasulullah s.a.w .Sambutan hari raya bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan dengan disusuli bertakbir dan bertahmid,disunatkan juga bersedeqah dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga,jiran tetangga dan sahabat handai.
Dalam kita menjalani kehidupan seharian,kita pasti akan melakukan kesalahan terhadap orang lain samada sengaja atau tidak.Maka,pada hari raya yang mulia ini, hulurkanlah tangan memohon kemaafan diatas segala kesilapan yang telah dilakukan selama ini.Leburkan dosa ditapak tangan pada hari yang mulia ini sebagaimana Sabda Nabi s.a.w “Mana-mana orang Islam yang apabila bertemu kedua-duanya lalu berjabat tangan ,kecuali diampunkan dosa kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah”(Riwayat Abu Daud).
Inilah saatnya untuk kita memohon maaf terutama kepada kedua ibubapa kita yang telah banyak berkorban,sejak di dalam kandungan,ketika dilahirkan sehinggalah sekarang ini.Kita tidak mungkin dapat membalas jasa mereka dengan apa jua sekalipun.
Cuba kita ingat,berapa banyak kita bersikap kasar dan menyakiti hati dan perasaan mereka?Sempena bulan yang penuh keampunan ini,apakah kita tidak mahu bersalaman dan memohon ampun dan maaf di atas segala dosa dan kesalahan kita terhadap mereka.Ingatlah bahawa Allah tidak akan meredhai kita sekiranya ibubapa kita tidak meredhai kita.Sabda Nabi s.a.w “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”.(Riwayat At-Tirmizi).
Selain ibubapa,kita juga mungkin melakukan kesalahan kepada orang lain. Apabila kita berhubung dengan mereka,mungkin ada tutur kata dan tingkahlaku yang boleh menguris perasaan mereka.Oleh itu,hulurkan tangan bersalaman dan bermaafan antara satu sama lain.
Namun harus diingat!!diharamkan bersalam antara berlainan jantina yang bukan mahram.Hari raya bukan bermakna bebas bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram..Oleh itu,awasilah tangan kita daripada menyentuh tangan orang yang haram disentuh walaupun atas nama hari raya sekalipun.
Peliharalah aurat dan batas pergaulan,sambutlah hari raya dengan berhemah dan bersederhana,janganlah membazir makanan serta dilalaikan dengan hiburan yang melampau. Janganlah pula ketika kita mencari keredhaan Allah ,tiba-tiba mendapat kemurkaan Allah kerana melanggar syariat dan hukum Allah
Marilah kita jadikan hari raya yang mulia ini untuk saling bermaafan dan ziarah-menziarahi .Mudah-mudahan iannya akan menjadi amalan kita bersama dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah.
Sambutlah hari raya Aidilfitri ini sebagai hari Ibadah yang mendatangkan kerahmatan untuk kita semua.Selamat hari raya Aidilfiti & Maaf Zahir dan Batin....

(Disunting drp buku "Bingkisan Ramadhan",BPI,KPM)

Sunday, August 21, 2011

Tazkirah Ramadhan (Siri 3)



TAJUK : MENCARI MALAM YANG LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN


Pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan,terdapat satu malam yang penuh dengan keberkatan.Malam tersebut dinamakan “LailatulQadar” iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dengan kata lain,sesiapa yang beribadat pada malam tersebut,seolah-olah telah beribadat selama 83 tahun 4 bulan !!.Betapa besar dan hebatnya nikmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.
Tempoh waktu malam yang panjang itu teramat banyak untuk disi dengan pelbagai amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah.Antaranya :

1). Melakukan Qiamullail.Gunakanlah kesempatan ketika bangun sahur untuk mengerjakan solat-solat sunat sama ada sebelum bersahur atau selepasnya.Banyak solat-solat sunat seperti solat Tahajjud,solat Hajat,solat Taubat,solat Tasbih dan seumpamanya.Nabi s.a.w bersabda “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam (Qiamullail)”(riwayat Muslim).
Qiamullail dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan menghapuskan dosa dan kesalahan kita.Selain itu,ianya boleh memberikan ketenangan jiwa .Ketika bertahajjud,kita memohon keampunan Allah Taala.

2). Kita juga disunatkan memperbanyakkan doa,istighfar dan berzikir pada malam Ramadhan. Ini kerana doa merupakan ibadat yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan mendapat keampunan-Nya. Saidatina A’isyah r.h.a berkata;”aku bertanya,Ya Rasulullah ,apa pendapatmu jika aku bertemu LailatulQadar?apa yang harus aku ucapkan?,Rasulullah menjawab “Ucapkanlah :Ya Allah,Engkau Maha Pengampun dan suka mengampun,maka ampunilah aku”.(Riwayat Tirmizi)

3). Kita juga disunatkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya.Membaca Al-Quran banyak kelebihannya sepertimana Sabda Nabi s.a.w “Bacalah Al-Quran,kerana ia datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya”.(Riwayat Muslim).

Marilah kita sama-sama mengisi malam-malam Ramadhan yang terakhir ini dengan melakukan amal soleh dan kita berdoa mudah-mudahan kita akan dipertemukan dengan LailatulQadar yang penuh kemuliaan ini.Rebutlah peluang keemasan ini untuk mencapai darjat yang tinggi disisi Allah Taala.
Kalaulah terasa berat dan sukar untuk melakukan ibadat-ibadat ini,beritahulah pada diri sendiri bahawa peluang ini tidak akan hadir sentiasa.Betapa rugi orang yang menolak peluang yang terhidang di depan mata ini demi membantu memperkuatkan keimanan kita kepada Allah.
Firman Allah Taala ,surah Al-Israk ayat 79 bermaksud “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya,sebagai solat tambahan bagimu,semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu(pada hari akhirat) di tempat yang terpuji”.

Hanya kepada Allah kita mohon kekuatan dan hanya kepada Allah kita berserah diri ,mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan malam yang hebat ini..LailaturQadar..kami mencarimu kerana Allah Taala..
(Disunting daripada buku “Bingkisan Ramadhan”keluaran BPI,KPM)

Wednesday, August 3, 2011

Tazkirah Ramadhan (Siri 2)



RAMADHAN KALI INI LEBIH BAIK DARIPADA DAHULU


Setiap tahun kita bertemu dengan bulan Ramadhan,selama mana Allah panjangkan umur kita di dunia ini,selama itulah kita akan bertemu dengan Ramadhan.
Marilah kita renungkan kembali Ramadhan yang lalu,yang telah jauh meninggalkan kita. Apakah Ramadhan pada tahun ini akan menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada tahun lalu? Apakah amal ibadat kita pada Ramadhan tersebut diterima Allah sebagai amalan yang sempurna? Marilah kita muhasabah diri dan juga amal agar Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lalu.
Menghadapi Ramadhan dalam erti kata merebut peluang dan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah perlu kepada persediaan dari segi spiritual dan fizikal.Antara persiapan yang perlu kita lakukan ialah ;
1). Persiapan Iman – Iman adalah tenaga dan kekuatan dalaman yang menjadi motivasi untuk menggerakkan ibadah di bulan Ramadhan.Oleh itu,sebelum masuk bulan Ramadhan usaha untuk meningkatkan iman perlu dilakukan seperti banyak membaca Al-quran,Qiamulail dan puasa sunat sebelum Ramadhan.
2).Persiapan Ilmu – Kita perlu mengulangkaji dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah puasa dan amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan. Melalui persiapan ilmu ini, akan menambahkan lagi kekuatan kita untuk melakukan ibadah kepada Allah.
3). Persiapan Fizikal – Jagalah kesihatan diri supaya kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan jayanya.Kawal nafsu makan kerana makan yang terlalu banyak akan melemahkan kita untuk beribadat.
4). Persiapan Rohani – Berusahalah untuk memelihara anggota badan daripada melakukan kemungkaran.Peliharalah lidah daripada mengumpat,mencela,mengeji dan lain-lain. Jagalah mata dari melihat perkara maksiat.Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja sebagaimana Sabda Nabi s.a.w ; “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji,maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya”(Riwayat al-Bukhari).
5). Persiapan Kewangan – Peruntukkanlah sebahagian harta untuk bersedeqah pada bulan ini kerana ganjaran orang yang bersedeqah amat besar.

Salman al-Farisi menceritakan bahawa pada akhir bulan Sya’ban,Rasulullah s.a.w pernah bercerita kepada para sahabat mengenai kelebihan bulan Ramadhan. Antaranya bulan yang penuh dengan keberkatan kerana ada padanya LailatulQadar,satu amalan wajib bagaikan melakukan 70 kali amalan wajib di bukan lainnya,bulan bersedeqah kerana memberi makan berbuka kepada orang lain akan mendapat pahala seperti orang berpuasa dan pelbagai kelebihan lagi.

Oleh itu,gunakanlah peluang ini untuk mengutip dan mencari pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan di hari kemudian.Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amal ibadat kerana kita tidak tahu nasib kita pada Ramadhan tahun depan sama ada masih berpeluang atau tidak.
Mudah-mudahan dengan persiapan yang baik,kita dapat melalui Ramadhan pada kali ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.
(Dipetik daripada Buku “Bingkisan Ramadhan ,BPI,KPM)
www.abialbesuti.blogspot.com

 
©  free template by Blogspot tutorial