Berita Semasa

Saturday, August 27, 2011

Tazkirah Ramadhan (Siri 4)



TAJUK : SAMBUTLAH AIDILFITRI SEBAGAI HARI IBADAH

Kemunculan 1 Syawal adalah satu hari yang dinanti-nanti oleh semua umat Islam dan semuanya akan bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.
Hari raya Aidilfitri sebenarnya bukanlah hanya semata-mata hari untuk bersuka ria sahaja tetapi ia merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut dengan adab-adabnya.
Dalam suasana gembira ,janganlah kita melupakan adab-adab yang telah digariskan oleh Rasulullah s.a.w .Sambutan hari raya bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan dengan disusuli bertakbir dan bertahmid,disunatkan juga bersedeqah dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga,jiran tetangga dan sahabat handai.
Dalam kita menjalani kehidupan seharian,kita pasti akan melakukan kesalahan terhadap orang lain samada sengaja atau tidak.Maka,pada hari raya yang mulia ini, hulurkanlah tangan memohon kemaafan diatas segala kesilapan yang telah dilakukan selama ini.Leburkan dosa ditapak tangan pada hari yang mulia ini sebagaimana Sabda Nabi s.a.w “Mana-mana orang Islam yang apabila bertemu kedua-duanya lalu berjabat tangan ,kecuali diampunkan dosa kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah”(Riwayat Abu Daud).
Inilah saatnya untuk kita memohon maaf terutama kepada kedua ibubapa kita yang telah banyak berkorban,sejak di dalam kandungan,ketika dilahirkan sehinggalah sekarang ini.Kita tidak mungkin dapat membalas jasa mereka dengan apa jua sekalipun.
Cuba kita ingat,berapa banyak kita bersikap kasar dan menyakiti hati dan perasaan mereka?Sempena bulan yang penuh keampunan ini,apakah kita tidak mahu bersalaman dan memohon ampun dan maaf di atas segala dosa dan kesalahan kita terhadap mereka.Ingatlah bahawa Allah tidak akan meredhai kita sekiranya ibubapa kita tidak meredhai kita.Sabda Nabi s.a.w “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”.(Riwayat At-Tirmizi).
Selain ibubapa,kita juga mungkin melakukan kesalahan kepada orang lain. Apabila kita berhubung dengan mereka,mungkin ada tutur kata dan tingkahlaku yang boleh menguris perasaan mereka.Oleh itu,hulurkan tangan bersalaman dan bermaafan antara satu sama lain.
Namun harus diingat!!diharamkan bersalam antara berlainan jantina yang bukan mahram.Hari raya bukan bermakna bebas bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram..Oleh itu,awasilah tangan kita daripada menyentuh tangan orang yang haram disentuh walaupun atas nama hari raya sekalipun.
Peliharalah aurat dan batas pergaulan,sambutlah hari raya dengan berhemah dan bersederhana,janganlah membazir makanan serta dilalaikan dengan hiburan yang melampau. Janganlah pula ketika kita mencari keredhaan Allah ,tiba-tiba mendapat kemurkaan Allah kerana melanggar syariat dan hukum Allah
Marilah kita jadikan hari raya yang mulia ini untuk saling bermaafan dan ziarah-menziarahi .Mudah-mudahan iannya akan menjadi amalan kita bersama dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah.
Sambutlah hari raya Aidilfitri ini sebagai hari Ibadah yang mendatangkan kerahmatan untuk kita semua.Selamat hari raya Aidilfiti & Maaf Zahir dan Batin....

(Disunting drp buku "Bingkisan Ramadhan",BPI,KPM)

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial