Berita Semasa

Sunday, August 21, 2011

Tazkirah Ramadhan (Siri 3)



TAJUK : MENCARI MALAM YANG LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN


Pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan,terdapat satu malam yang penuh dengan keberkatan.Malam tersebut dinamakan “LailatulQadar” iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dengan kata lain,sesiapa yang beribadat pada malam tersebut,seolah-olah telah beribadat selama 83 tahun 4 bulan !!.Betapa besar dan hebatnya nikmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.
Tempoh waktu malam yang panjang itu teramat banyak untuk disi dengan pelbagai amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah.Antaranya :

1). Melakukan Qiamullail.Gunakanlah kesempatan ketika bangun sahur untuk mengerjakan solat-solat sunat sama ada sebelum bersahur atau selepasnya.Banyak solat-solat sunat seperti solat Tahajjud,solat Hajat,solat Taubat,solat Tasbih dan seumpamanya.Nabi s.a.w bersabda “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam (Qiamullail)”(riwayat Muslim).
Qiamullail dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan menghapuskan dosa dan kesalahan kita.Selain itu,ianya boleh memberikan ketenangan jiwa .Ketika bertahajjud,kita memohon keampunan Allah Taala.

2). Kita juga disunatkan memperbanyakkan doa,istighfar dan berzikir pada malam Ramadhan. Ini kerana doa merupakan ibadat yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan mendapat keampunan-Nya. Saidatina A’isyah r.h.a berkata;”aku bertanya,Ya Rasulullah ,apa pendapatmu jika aku bertemu LailatulQadar?apa yang harus aku ucapkan?,Rasulullah menjawab “Ucapkanlah :Ya Allah,Engkau Maha Pengampun dan suka mengampun,maka ampunilah aku”.(Riwayat Tirmizi)

3). Kita juga disunatkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya.Membaca Al-Quran banyak kelebihannya sepertimana Sabda Nabi s.a.w “Bacalah Al-Quran,kerana ia datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya”.(Riwayat Muslim).

Marilah kita sama-sama mengisi malam-malam Ramadhan yang terakhir ini dengan melakukan amal soleh dan kita berdoa mudah-mudahan kita akan dipertemukan dengan LailatulQadar yang penuh kemuliaan ini.Rebutlah peluang keemasan ini untuk mencapai darjat yang tinggi disisi Allah Taala.
Kalaulah terasa berat dan sukar untuk melakukan ibadat-ibadat ini,beritahulah pada diri sendiri bahawa peluang ini tidak akan hadir sentiasa.Betapa rugi orang yang menolak peluang yang terhidang di depan mata ini demi membantu memperkuatkan keimanan kita kepada Allah.
Firman Allah Taala ,surah Al-Israk ayat 79 bermaksud “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya,sebagai solat tambahan bagimu,semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu(pada hari akhirat) di tempat yang terpuji”.

Hanya kepada Allah kita mohon kekuatan dan hanya kepada Allah kita berserah diri ,mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan malam yang hebat ini..LailaturQadar..kami mencarimu kerana Allah Taala..
(Disunting daripada buku “Bingkisan Ramadhan”keluaran BPI,KPM)

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial