Berita Semasa

Tuesday, December 9, 2008

Penghayatan Korban




Minda Pengarang: Aidiladha tuntut ketabahan ummah hadapi bencana

Artikel drp Berita Harian(09hb.Dec.2008)


SEMALAM, umat Islam di seluruh negara menyambut Aidiladha dengan penuh semangat pengorbanan dan keinsafan ketika menghadapi pelbagai dugaan dan bencana. Aidiladha adalah satu hari kebesaran yang diraikan oleh umat Islam. Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana ia adalah hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan juga kesabaran anaknya, Nabi Ismail memenuhi perintah Ilahi. Bagi masyarakat Arab, Aidilfitri adalah hari raya kecil, manakala Hari Raya Korban menjadi hari raya yang besar. Oleh itu, penghayatan Hari Raya Korban itu perlu dilihat dalam sudut yang penuh keinsafan.


Amat malang sekali ketika umat Islam bersiap sedia menyambut perayaan itu, bencana seperti banglo tertimbus di Bukit Antarabangsa berlaku yang menurut pakar akibat kelalaian manusia dan kelemahan teknologi. Ini juga adalah satu ujian Allah kepada umat-Nya supaya insaf dan mengambil iktibar kejadian yang berlaku, meskipun ia bukan tragedi pertama seumpamanya dan kita percaya ia mungkin bukan kali terakhir jika kita tidak insaf untuk mengambil iktibar daripada tragedi lalu.


Di Pantai Timur, umat Islam menyambut Aidiladha dalam keadaan rumah digenangi air, sekali lagi ujian Allah yang menuntut pengorbanan mereka yang terbabit dan masyarakat umum untuk menghulur bantuan. Namun, banjir adalah fenomena biasa yang berlaku pada akhir tahun seperti ini dan semestinya persediaan rapi sudah dilakukan lebih awal untuk memindahkan penduduk di kawasan berisiko tinggi.

Namun, kejadian bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah ujian Allah kepada kelalaian manusia. Nescaya, suasana Aidiladha di sekitar Bukit Antarabangsa semalam, tidaklah semeriah tahun sebelumnya, tetapi bagi kira-kira 500 penduduk di situ yang terkandas kerana tanah runtuh Sabtu lalu, tetap meraikannya dengan penuh keinsafan. Jemaah bergotong-royong membersihkan masjid yang 90 peratus siap pembinaannya itu dengan membersihkan debu dan pasir untuk membentangkan tikar bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.


Mereka menyambutnya dalam keadaan cukup sederhana sambil menanti perkembangan terbaru bagi membolehkan penduduk keluar dari kawasan itu yang masih berisiko. Situasi itu juga menuntut penduduk di situ untuk bersabar kerana berada dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air. Kelmarin, jemaah haji Malaysia yang berada di Arafah untuk ibadat wukuf menunaikan solat hajat memohon tanah runtuh seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa tidak akan berulang di situ atau lokasi lain seluruh negara.


Kita juga berharap seluruh umat Islam di negara kita juga memohon semoga negara selamat daripada sebarang bencana alam. Dalam keadaan begini, kita juga berdoa supaya dijauhkan sikap tamak, rakus dan apa saja yang boleh mendatangkan bencana. Nescaya, ibadat korban bertindak sebagai wahana pembersihan harta dan juga jiwa sanubari diri individu Muslim. Mudah-mudahan ibadat korban yang dilakukan oleh setiap Muslim kali ini diterima Allah.

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial