Berita Semasa

Wednesday, December 24, 2008

Bulan Muharam,Satu Penghayatan..











Peristiwa penting pada bulan Muharam

MUHARAM bukan saja bulan pertama dalam kalendar Islam, malah lebih daripada itu yang mengandungi kelebihan tersendiri. Bagaimanapun, ada dua peristiwa penting yang berlaku dalam Muharam yang mengandungi kelebihan dan fadilat besar.


Peristiwa itu adalah:
- 1 Muharam: Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.- 10 Muharam: Dinamakan juga hari `Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga berlaku:-
Nabi Adam bertaubat kepada Allah.- Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.- Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.- Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.- Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.- Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.- Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob yang kabur.- Nabi Isa diangkat ke langit- Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulitnya- Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.- Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.- Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.- Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

Pengertian lebih meluas di sebalik peristiwa hijrah
Oleh Mohd Shukri Hanapi

HIJRAH bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Ia juga bererti berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Maka, hijrah juga boleh difahamkan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud).Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Adapun hijrah yang kita sambut pada setiap tahun itu bermaksud memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Namun begitu, hijrah tidak wajar dilihat sebagai peristiwa berpindahnya kaum Muslimin dari Makkah ke Madinah, lantas menjadi detik permulaan tarikh baru takwim Islam saja. Kefahaman sempit begini hanya akan mendorong kita menyambut kedatangan tahun baru hijrah dengan rancangan bersamaan dengan peringatan tahun baru Masihi.

Dalam pada itu, ulama juga menolak hijrah sebagai satu ‘pelarian’ dan ‘arbitrasi’ seperti yang ditafsirkan oleh sesetengah orientalis yang sengaja mahu menenggelamkan pengertian suci daripada peristiwa hijrah yang berlaku. Sesungguhnya, penghijrahan Rasulullah dan sahabat itu adalah suatu peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam. Penghijrahan itu memberi ruang yang lebih luas kepada pelaksanaan ajaran Islam. Bukan saja dari aspek akidah dan hubungan manusia dengan Allah, malah merangkumi segala aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi, siasah dan pentadbiran.Penghijrahan itu adalah tuntutan agama yang perjalanannya diatur dengan strategi dan perancangan pembangunan umat lengkap. Lantas, menjadikannya satu amalan keagamaan yang agung. Ia juga langkah penting melalui perancangan dan strategi teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan dan kemajuan sebenarnya.

Dengan hijrah, umat manusia berpindah daripada belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, hidup berpuak-puak dan bersengketa kepada persaudaraan dan kesatuan.Begitu juga dari agama yang dianuti oleh sekumpulan manusia di padang pasir kepada agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk dunia.Peristiwa hijrah meninggalkan sejarah untuk dikenang oleh umat Islam hingga hari ini dan diperingati setiap tahun. Peristiwa itu juga membawa beberapa hikmat dan pengajaran yang terkandung di sebaliknya. Dalam peristiwa hijrah, setelah tiba di Madinah, Rasulullah mula melaksanakan ajaran Islam dengan lebih menyeluruh. Setiap Muslim sentiasa dididik supaya patuh, menyerah dan menyembah Allah serta taat kepada ajaran yang didasarkan kepada ajaran al-Quran dan sunnah.Berdasarkan keimanan itulah terbinanya sebuah masyarakat Islam yang mentaati semua perkara yang difardukan oleh Allah dalam ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji.


Masyarakat Islam itu juga patuh dalam menjauhi diri daripada setiap perbuatan keji yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan masyarakat seperti minum arak, berzina, riba dan rasuah.Masyarakat Islam di Madinah disatupadukan dalam ikatan ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam) yang dibina atas semangat perpaduan berorientasikan ajaran Islam. Di samping itu, persefahaman dan kerjasama dengan golongan bukan Islam juga diwujudkan untuk membuktikan bahawa Islam sentiasa mengutamakan keselamatan, persefahaman dan persahabatan serta antipermusuhan dan peperangan. Tegasnya, peristiwa hijrah membuktikan bahawa Islam bukan saja agama dalam pengertian sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus, malah agama syumul (menyeluruh). Islam menyentuh segala perkara berkaitan kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.

Justeru, konsep hijrah bukan saja perlu difahami daripada perspektif perpindahan tempat secara lahiriah, malah dengan pendekatan lebih luas yang boleh membawa kepada memahami segala hikmat pengajaran yang wujud di sebalik peristiwa itu.Kejayaan pembangunan Islam dan umatnya selepas peristiwa hijrah menjadi dokumen sejarah merakamkan kemenangan manusia yang dibangunkan potensi kemanusiaannya melawan godaan hawa nafsu. Begitu juga kejayaan membebaskan diri masing-masing daripada segala belenggu kepentingan peribadi.

Sekiranya ingin menjadi umat cemerlang, gemilang dan terbilang, maka semua umat Islam sewajarnya menyambut kedatangan hijrah 1430 ini dengan meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah dan mematuhi dengan suruhan-Nya.

**P/S : Jangan lupa untuk membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijrah ,semoga kita mendapat kerahmatan daripada Allah Taala.

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial