Berita Semasa

Saturday, July 30, 2011

Tazkirah Ramadhan (Siri 1)



Cara Menyambut Bulan Ramadhan


Allah Taala berfirman ;”Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu,mudah-mudahan kamu termasuk golongan yang bertaqwa.”(Surah Al-Baqarah :ayat 183)
Saudaraku,telah datang kepadamu bulan yang mulia dan tamu yang agung ! Oleh itu,marilah kita contohi sirah Nabi s.a.w dan marilah kita pelajari cara kehidupan Rasulullah s.a.w menyambut bulan yang mulia ini.Ini kerana dialah insan yang maksum ,yang mana seluruh perkataan dan perbuatannya dijadikan rujukan dan pedoman.
Alangkah beruntungnya orang yang mengikuti Sunnah Nabi s.a.w dalam kehidupan. Sesungguhnya Nabi s.a.w telah menyambut bulan Ramadhan ini dengan sambutan yang cukup meriah.
Dalam sebuah hadith,ketika Nabi s.a.w melihat anak bulan,baginda mengucapkan “Ya Allah, bulan Ramadhan telah mendatangi kami,sedangkan kami dalam keadaan aman dan beriman,serta dalam keadaan selamat dan Islam.Wahai anak bulan!Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.Dan sesungguhnya engkau adalah anak bulan yang baik dan telah memberi petunjuk kepada kami.”
Ramadhan merupakan kesempatan yang sangat berharga.Ketika memasuki bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w selalu memperbanyakkan kebaikan,bersedeqah,mengerjakan amal soleh,sentiasa tersenyum ketika bertemu kaum muslimin,menyambung tali silaturrahim,mengunjungi kaum kerabatnya,bersikap lemah lembut,senang memberi dan berkorban untuk orang lain.
Baginda adalah manusia terbaik.Rasulullah s.a.w telah mengkhususkan bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran.Kerana Al-Quran itu ubat,yang diturunkan pada malam Ramadhan untuk membangunkan semula manusia yang mundur,membimbing hati manusia yang tidak dapat melihat lagi,menaikkan darjat umat manusia yang sebelumnya bergelumang dengan kehinaan.
Rasulullah s.a.w bersabda “bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih baik daripada harumnya minyak kasturi”.
Setiap amal kebajikan akan dibalas dengan pahala yang berlipat kali ganda .Allah Taala menyediakan satu pintu khas di syurga untuk orang –orang yang berpuasa. Sahal bin Sa’ad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Di Syurga ada satu pintu yang diberi nama ‘Ar-Rayyan’.Orang-orang yang berpuasa akan masuk ke syurga melalui pintu itu.Jika mereka telah masuk,pintu itu akan ditutup semula ,sehingga tidak ada orang lain selain mereka yang masuk ke syurga melalui pintu itu”.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu,pergunakanlah kesempatan yang ada dengan baik agar Allah Taala membebaskan diri kita dari api Neraka.Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan adalah kesempatan bagi seseorang untuk bertaubat dan diterima amalnya oleh Allah.Perbanyakkanlah zikir,tahlil,tasbih dan tahmid serta membaca Al-Quran.Hidupkanlah rumah-rumah kita dengan membaca ayat-ayat Allah dan tinggalkanlah nyanyian-nyanyian yang didendangkan wanita-wanita yang tidak menutup auratnya serta penyanyi yang lalai.Sebab semua itu dapat menjauhkan hati manusia dari Tuhannya.
Pergunakanlah kesempatan ini untuk membebaskan diri dari api neraka dan beruntunglah perut-perut yang merasa kelaparan kerana Allah Taala demi mendapat keredhaan-Nya.Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari tahun sebelumnya.(Dipetik dari buku “Hikmah Berpuasa Di bulan Ramadhan,Oleh :Dr.’Aid Abdullah Al-Qarni)

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial