Berita Semasa

Monday, June 22, 2009

Selamat Hari Bapa


Bapa penyayang tonggak kecemerlangan keluarga
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

TIDAK ramai sedar bahawa Hari Bapa yang disambut setiap tahun setiap Jun, diilhamkan oleh seorang wanita bernama Sonora Smart Dodd hampir 100 tahun lalu.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan Amerika Syarikat ketika itu untuk memperuntukkan satu hari khusus mengenang jasa dan pengorbanan bapa, khususnya untuk memperingati bapanya William Smart, yang menjadi ‘bapa tunggal’ memelihara Sonora dan lima adik beradiknya selepas kematian ibu pada usia mereka masih kecil.Pengorbanan dan payah jerih bapa diberikan pengiktirafan pada 1966 apabila Presiden Amerika ketika itu, Presiden Lyndon B.Johnson menandatangani satu proklamasi mengisytiharkan Ahad ketiga Jun setiap tahun disambut sebagai Hari Bapa.
Mungkin ada yang berpendapat, amalan meraikan Hari Bapa adalah sesuatu yang janggal dalam budaya kita. Namun, ia tetap dapat dimanfaatkan, terutama dalam menyorot keberkesanan dan kejayaan bapa memainkan peranannya dalam keluarga dan masyarakat. Tiada siapa dapat menafikan pengorbanan besar yang disumbangkan bapa selama ini. Namun, demi menjadikan profesion kebapaan lebih bersaing dan berkesan, wajar satu penilaian semula dibuat sebagai peringatan bersama dan muhasabah diri setiap bapa.
Islam meletakkan tanggungjawab berat di atas bahu bapa.Al-Quran banyak mengingatkan lelaki agar tidak lalai menjalankan peranan mereka. Firman Allah, yang bermaksud: “ lelaki adalah pemimpin bagi wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian daripada mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta mereka...” (Surah an-Nisaa, ayat 34) “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkannya.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).
Umat Islam juga dapat melihat contoh kebapaan yang hebat melalui cara hidup Rasulullah saw. Al-Quran memberikan satu lagi ‘role-model’ seorang bapa yang hebat dalam kisah Luqmanul Hakim mendidik akidah dan akhlak anaknya. Ini dapat dilihat melalui firman-Nya, dalam ayat 12 hingga 19, surah Lukman. Dalam masyarakat Melayu Islam, menjadi tradisi bapa dianggap sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan hal ehwal kewangan dan ekonomi dalam menyara setiap ahli keluarganya.
Justeru, bapa sentiasa perlu mempertingkatkan keupayaan menjana pendapatan bagi menampung keluarga yang semakin besar. Sering kali juga, kerana tuntutan mencari rezeki di luar rumah, bapa tidak dapat meluangkan masa yang banyak di rumah, sekalipun mereka amat prihatin dan peka terhadap keperluan serta tanggungjawab mendidik anak-anak.
Malah, ada di antara bapa yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan, siang dan malam untuk menampung perbelanjaan dan keperluan keluarga, terutama yang hidup di bandar.Dalam ketiadaan bapa di rumah, bapa sering dijadikan satu ‘lambang kuasa’ yang digeruni anak-anak. Menjadi satu kebiasaan bagi kita mendengar ibu yang sudah tidak terdaya mengawal anak-anak yang nakal, mengugut anak-anak dengan berkata : “Tunggu nanti ayah balik! Emak bagi tahu kat ayah - siap kau orang!” Pendekatan sebegini secara tidak langsung, menghasilkan satu jurang pemisah atau tembok yang menghalang terjalinnya satu hubungan mesra di antara bapa dan anak-anaknya.
Apatah lagi, sekiranya bapa pula hanya dapat berinteraksi dengan anak-anak dalam waktu yang terbatas. Mereka bertindak lebih sebagai ‘penguat kuasa disiplin’, dengan menunjukkan reaksi kepada aduan dan sungutan ibu, daripada mengambil hati anak-anak yang jarang ditemui kerana kesibukan kerja.Tidak hairanlah mengapa anak-anak sering tidak berasa selesa berkomunikasi dengan bapa.
Tambahan pula remaja lelaki, tidak ramai yang dapat duduk semeja berbual mesra dengan bapa mereka. Keadaan ini sebenarnya tidak sama sekali membantu bapa dalam menjalankan peranan mereka dengan lebih berkesan.Hari ini, masyarakat kita terpaksa berdepan dengan pelbagai gejala sosial yang menggambarkan secara langsung kepincangan institusi kekeluargaan. Perkara yang lebih membimbangkan adalah daripada statistik yang diperoleh, menunjukkan majoriti golongan yang tejebak dalam masalah sosial ialah remaja lelaki Melayu Islam.
Pelajar lelaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) begitu rendah, manakala dari segi pelajar IPT, sebahagian besarnya adalah wanita.Semua perkembangan ini sudah tentu akan mempengaruhi keseimbangan atau ‘equilibrium’ dalam kitaran sosialisasi masyarakat.Satu persoalan yang harus ditimbulkan adalah bagaimana institusi kekeluargaan yang diketuai oleh bapa dan ibu, tidak lagi dapat memainkan peranan penting dalam mendidik dan melatih generasi akan datang supaya lebih bertanggungjawab dan cemerlang. Satu perkara lagi, sekiranya prestasi kepemimpinan ibu bapa dalam keluarga dan masyarakat tidak dipertingkatkan serta dipaksikan kepada pegangan prinsip yang betul hari ini, kita mungkin terpaksa berhadapan dengan satu generasi akan datang yang hilang panduan dan arah. Ini kerana mereka tidak mendapat ‘role-model yang berwibawa.
Dalam soal ini, tentulah tidak adil untuk meletakkan segala kesalahan di atas bahu kedua ibu dan bapa jika anak-anak tidak berjaya menjadi insan berguna. Banyak faktor persekitaran dan suasana lain yang mempengaruhi anak-anak, terutama remaja. Namun tidak pula keterlaluan sekiranya dikatakan tidak banyak penekanan diberikan kepada peningkatan kemahiran bapa dalam memperbaiki gaya kebapaan mereka. Amat wajar sekiranya bapa dalam menghadapi cabaran yang hebat ini, diberikan keutamaan dan penekanan agar mereka dapat menimba ilmu pengetahuan dan berkongsi pengalaman dalam mendidik anak-anak untuk menjadi manusia berguna pada kemudian hari. Gaya kebapaan tradisional, yang lebih banyak menekankan soal penguatkuasan dan autoriti, harus diubah kepada fungsi ‘rakan dan teman’ kepada setiap ahli keluarganya, terutama anak-anak.
Mengikut satu kajian yang dihuraikan dalam buku' Seven Secrets of Effective Fathers' tulisan Ken Calfield, pengaruh bapa kepada anak-anak amat ketara dalam aspek berikut :i). Keupayaan intelektual anak-anak. ii). Perangai yang akan dicontohi. iii). Pilihan kerjaya anak-anak pada masa depan. iv). Sikap yang akan dibentuk oleh anak terhadap anak mereka sendiri pada kemudian hari.
Justeru, sempena Hari Bapa tahun ini, tanamkanlah keazaman untuk memperbaiki keadaan rumah tangga dengan menukar gaya kebapaan dan keibuan yang lebih berkesan.Kepada ibu, berikan penekanan sewajarnya dan peluang seluas-luasnya kepada bapa agar terbabit aktif dalam urusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak. Pastikan suami memperuntukkan sebahagian masa dan ruang untuk anak-anak berinteraksi bersama bapa mereka setiap hari. Biarkan anak-anak dan bapa mereka melakukan kerja rumah bersama-sama.
Akhir sekali, marilah kita berdoa agar suami dan bapa anak-anak kita akan dapat menjalankan tugas berat melindungi diri dan ahli keluarganya daripada api neraka sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran.

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial