Berita Semasa

Wednesday, July 18, 2012

Ramai menitis air mata pada bulan puasa

Oleh: AHMAD MUKMIN
KOTAK-kotak kurma memenuhi rak utama di pasar raya. Pelanggan yang masuk tidak dapat mengelak daripada melihatnya. Pelbagai jenis kurma diimport dari Iran, Arab Saudi, Mesir, India, Maghribi, Tunisia malah dari California, Amerika Syarikat.
Itulah tanda Ramadan tiba. Setiap keluarga akan membeli kurma walaupun mereka makan kurma tidak sebanyak mana. Membeli kurma sempena Ramadan semacam sudah menjadi tradisi wajib.
Di kampung-kampung sekitar tahun 1960-an, yang dijual hanya kurma dari India. Setiap kali berbuka puasa, kurma dihidang dan dimakan seulas dua sebagai melangsungkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. Yang disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah berbuka dengan buah segar. Jika tidak makan kurma, di Malaysia buah pisang adalah alternatif yang baik.
Tetapi umat Islam di seluruh dunia lebih selesa dengan kurma kerana Rasulullah tidak berbuka dengan pisang. Barangkali jika pisang mudah didapati di Madinah, Baginda pasti berbuka dengan pisang. Kalau tidak selalu, sekali-sekala.
Kehadiran banyak kurma di pasar raya merupakan keunikan Ramadan. Makanan yang melimpah-ruah juga membezakan Ramadan daripada bulan Islam yang lain. Yang disediakan percuma banyak, yang dibeli lagi banyak. Di pejabat ada kumpulan yang membuat bubur lambuk untuk dibawa pulang percuma oleh setiap petugas. Jika tidak cukup, boleh singgah ke masjid. Banyak masjid di Kuala Lumpur yang menyediakan bubur lambuk percuma.
Jika malas makan di rumah, banyak masjid di ibu negara menyediakan makanan percuma untuk berbuka puasa. Seseorang boleh datang seorang diri atau bawa seisi keluarga. Makanan sentiasa cukup untuk semua yang datang.
Selepas berbuka, anda boleh terus pulang atau berjemaah solat Maghrib, Isyak dan seterusnya sunat terawih. Pada zaman dulu, kesemua yang berbuka di masjid akan pulang selepas tarawih. Kini ramai juga yang terus keluar dari masjid selepas mengambil paket atau bungkusan makanan. Mereka adalah orang yang tidak berpuasa, kebanyakannya penagih dadah. Sambil beredar, mata mereka turut liar memerhati kalau-kalau ada kasut yang boleh ‘disambar’ di tepi pintu masjid.
Pada bulan puasa, ramai juga bertemu kebahagiaan. Hati tenang menunggu berbuka. Solat sunat, membaca al-Quran juga bertambah pada bulan puasa. Amal jariah dan sedekah cukup mudah pada bulan puasa. Pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. berlipat ganda.
Yang lama meninggalkan tikar sembahyang juga ramai kembali sujud lima waktu pada bulan puasa. Pintu taubat dan rahmat terbuka luas. Ramadan adalah juga bulan taubat. Ramai yang menitiskan air mata pada bulan puasa. Basah sejadah ketika sujud kerana mengenangkan betapa diri terlalu berdosa.
Ya Allah ampuni hamba-Mu ini. Dulu aku berzina dengan anak dara, janda, pelacur, isteri orang... dulu aku bakhil, susahkan orang lain, kepada ibu bapa pun tidak pernah kirim duit.
Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini. Sesungguhnya aku berasa malu menghadap-Mu yang Allah. Aku ini sangat kotor. Arak, hasil duit judi, duit tuntutan temberang di pejabat, duit curi, duit tipu, duit pinjam tidak pernah dipulang... semuanya ada dalam diri aku ini.
Ya Allah, Yang Maha Pengampun. Hamba-Mu bersyukur kerana Engkau tidak pernah melupai diri yang langsung tidak pernah mengingati-Mu selama ini. Jika tidak kerana kasih-Mu, sudah pasti aku tidak akan insaf terhadap segala kesalahan.
Ya Allah, terimalah taubat hamba-Mu pada bulan Ramadan yang Engkau muliakan untuk kami anak Adam ini. Ya Allah... tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan kekalkanlah kami di jalan ini selama-lamanya.
Ramadan datang lagi. Janganlah persiakan bulan paling istimewa ini.

0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial