Berita Semasa

Monday, July 30, 2012

Tazkirah Ramadhan ..


BERPUASA SEPENUHNYA

                Sebagaimana kita maklum,asas ibadat puasa ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun begitu,kehendak sebenar puasa ialah semua pancaindera turut berpuasa.Ulamak Arab ada berkata “Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan anggota badan seperti mata,telinga,hati dan fikiran turut berpuasa bersama-sama perut. Dengan itu, ia akan mengelakkannya daripada melakukan perkara yang sia-sia”.

                Bagi mendapat kesempurnaan ibadat puasa,kita perlu menjaga semua pancaindera kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadat puasa. Jabir bin Abdillah r.a pernah berkata “Jika kamu berpuasa,hendaklah berpuasa juga pendengaranmu,penglihatanmu dan lisanmu daripada dusta dan dosa.” Oleh itu,untuk mencapai kesempurnaan ibadat puasa kita perlulah menjaga kesemua pancaindera kita,iaitu ;

1). Kita hendaklah menjaga mata dan menahannya daripada melihat segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama.Contohnya melihat aurat seseorang yang bukan mahram kita.

2). Hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah dan tercela seperti menuturkan kata-kata yang kasar dan biadab.dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud “Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya,maka katakan kepada orang itu bahawasanya aku sedang berpuasa.”

3). Kita juga perlu memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci agama seperti mendengar muzik yang mengkhayalkan sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengari.Sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah,ayat 42 yang bermaksud “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram”.

4). Selain itu,kita hendaklah juga memelihara kaki dari melakukan perbuatan dosa seperti bergaduh dan berbalah. Jauhkan diri daripada berkunjung ke tempat-tempat maksiat dan tidak berfaedah.

5). Seterusnya juga,kita hendaklah memelihara tangan kita dari melakukan perbuatan yang tidak baik dan dosa seperti mencuri,menyentuh seseorang yang bukan mahram ,memukul dan mengambil hak orang lain tanpa izin tuannya.

6). Akhirnya,kita juga perlu menegah dan menahan perut kita daripada memakan makanan yang syubhah(diragui) ketika berbuka puasa seperti makanan yang diragui status halalnya.Sebaliknya berbukalah dengan makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w seperti kurma,kismis ,susu dan buah-buahan segar.

Oleh itu, berpuasalah sepenuhnya seperti puasa orang-orang yang soleh .Mudah-mudahan puasa kita diterima oleh Allah Taala dan bukannya hanya setakat lapar dan dahaga sahaja.                      (Dipetik daripada buku ‘Bingkisan Ramadhan’,BPI,KPM.


0 comments:

 
©  free template by Blogspot tutorial