Tuesday, December 11, 2012

XPDC DAKWAH orang asli 2012

 Kembara Dakwah ke Perkampungan Orang Asli Suku kaum Temiar pada 11 Nov.2012 di Perkampungan Perjek hingga ke Kg.Yong,Pos Legap,Sg.Siput(U),Perak..


Monday, July 30, 2012

Tazkirah Ramadhan ..


BERPUASA SEPENUHNYA

                Sebagaimana kita maklum,asas ibadat puasa ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun begitu,kehendak sebenar puasa ialah semua pancaindera turut berpuasa.Ulamak Arab ada berkata “Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan anggota badan seperti mata,telinga,hati dan fikiran turut berpuasa bersama-sama perut. Dengan itu, ia akan mengelakkannya daripada melakukan perkara yang sia-sia”.

                Bagi mendapat kesempurnaan ibadat puasa,kita perlu menjaga semua pancaindera kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadat puasa. Jabir bin Abdillah r.a pernah berkata “Jika kamu berpuasa,hendaklah berpuasa juga pendengaranmu,penglihatanmu dan lisanmu daripada dusta dan dosa.” Oleh itu,untuk mencapai kesempurnaan ibadat puasa kita perlulah menjaga kesemua pancaindera kita,iaitu ;

1). Kita hendaklah menjaga mata dan menahannya daripada melihat segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama.Contohnya melihat aurat seseorang yang bukan mahram kita.

2). Hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah dan tercela seperti menuturkan kata-kata yang kasar dan biadab.dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud “Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya,maka katakan kepada orang itu bahawasanya aku sedang berpuasa.”

3). Kita juga perlu memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci agama seperti mendengar muzik yang mengkhayalkan sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengari.Sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah,ayat 42 yang bermaksud “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram”.

4). Selain itu,kita hendaklah juga memelihara kaki dari melakukan perbuatan dosa seperti bergaduh dan berbalah. Jauhkan diri daripada berkunjung ke tempat-tempat maksiat dan tidak berfaedah.

5). Seterusnya juga,kita hendaklah memelihara tangan kita dari melakukan perbuatan yang tidak baik dan dosa seperti mencuri,menyentuh seseorang yang bukan mahram ,memukul dan mengambil hak orang lain tanpa izin tuannya.

6). Akhirnya,kita juga perlu menegah dan menahan perut kita daripada memakan makanan yang syubhah(diragui) ketika berbuka puasa seperti makanan yang diragui status halalnya.Sebaliknya berbukalah dengan makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w seperti kurma,kismis ,susu dan buah-buahan segar.

Oleh itu, berpuasalah sepenuhnya seperti puasa orang-orang yang soleh .Mudah-mudahan puasa kita diterima oleh Allah Taala dan bukannya hanya setakat lapar dan dahaga sahaja.                      (Dipetik daripada buku ‘Bingkisan Ramadhan’,BPI,KPM.


Wednesday, July 18, 2012

Ramai menitis air mata pada bulan puasa

Oleh: AHMAD MUKMIN
KOTAK-kotak kurma memenuhi rak utama di pasar raya. Pelanggan yang masuk tidak dapat mengelak daripada melihatnya. Pelbagai jenis kurma diimport dari Iran, Arab Saudi, Mesir, India, Maghribi, Tunisia malah dari California, Amerika Syarikat.
Itulah tanda Ramadan tiba. Setiap keluarga akan membeli kurma walaupun mereka makan kurma tidak sebanyak mana. Membeli kurma sempena Ramadan semacam sudah menjadi tradisi wajib.
Di kampung-kampung sekitar tahun 1960-an, yang dijual hanya kurma dari India. Setiap kali berbuka puasa, kurma dihidang dan dimakan seulas dua sebagai melangsungkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. Yang disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah berbuka dengan buah segar. Jika tidak makan kurma, di Malaysia buah pisang adalah alternatif yang baik.
Tetapi umat Islam di seluruh dunia lebih selesa dengan kurma kerana Rasulullah tidak berbuka dengan pisang. Barangkali jika pisang mudah didapati di Madinah, Baginda pasti berbuka dengan pisang. Kalau tidak selalu, sekali-sekala.
Kehadiran banyak kurma di pasar raya merupakan keunikan Ramadan. Makanan yang melimpah-ruah juga membezakan Ramadan daripada bulan Islam yang lain. Yang disediakan percuma banyak, yang dibeli lagi banyak. Di pejabat ada kumpulan yang membuat bubur lambuk untuk dibawa pulang percuma oleh setiap petugas. Jika tidak cukup, boleh singgah ke masjid. Banyak masjid di Kuala Lumpur yang menyediakan bubur lambuk percuma.
Jika malas makan di rumah, banyak masjid di ibu negara menyediakan makanan percuma untuk berbuka puasa. Seseorang boleh datang seorang diri atau bawa seisi keluarga. Makanan sentiasa cukup untuk semua yang datang.
Selepas berbuka, anda boleh terus pulang atau berjemaah solat Maghrib, Isyak dan seterusnya sunat terawih. Pada zaman dulu, kesemua yang berbuka di masjid akan pulang selepas tarawih. Kini ramai juga yang terus keluar dari masjid selepas mengambil paket atau bungkusan makanan. Mereka adalah orang yang tidak berpuasa, kebanyakannya penagih dadah. Sambil beredar, mata mereka turut liar memerhati kalau-kalau ada kasut yang boleh ‘disambar’ di tepi pintu masjid.
Pada bulan puasa, ramai juga bertemu kebahagiaan. Hati tenang menunggu berbuka. Solat sunat, membaca al-Quran juga bertambah pada bulan puasa. Amal jariah dan sedekah cukup mudah pada bulan puasa. Pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. berlipat ganda.
Yang lama meninggalkan tikar sembahyang juga ramai kembali sujud lima waktu pada bulan puasa. Pintu taubat dan rahmat terbuka luas. Ramadan adalah juga bulan taubat. Ramai yang menitiskan air mata pada bulan puasa. Basah sejadah ketika sujud kerana mengenangkan betapa diri terlalu berdosa.
Ya Allah ampuni hamba-Mu ini. Dulu aku berzina dengan anak dara, janda, pelacur, isteri orang... dulu aku bakhil, susahkan orang lain, kepada ibu bapa pun tidak pernah kirim duit.
Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini. Sesungguhnya aku berasa malu menghadap-Mu yang Allah. Aku ini sangat kotor. Arak, hasil duit judi, duit tuntutan temberang di pejabat, duit curi, duit tipu, duit pinjam tidak pernah dipulang... semuanya ada dalam diri aku ini.
Ya Allah, Yang Maha Pengampun. Hamba-Mu bersyukur kerana Engkau tidak pernah melupai diri yang langsung tidak pernah mengingati-Mu selama ini. Jika tidak kerana kasih-Mu, sudah pasti aku tidak akan insaf terhadap segala kesalahan.
Ya Allah, terimalah taubat hamba-Mu pada bulan Ramadan yang Engkau muliakan untuk kami anak Adam ini. Ya Allah... tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan kekalkanlah kami di jalan ini selama-lamanya.
Ramadan datang lagi. Janganlah persiakan bulan paling istimewa ini.

Tuesday, June 19, 2012

Info : Peristiwa Israk Mikraj

* Peristiwa Israk Mikraj merupakan kembara agung perjalanan Rasulullah s.a.w ke langit.

* Nabi Muhammad s.a.w menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Baitul Maqdis di Palestin.

* Baginda dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu Allah.Perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.Lazimnya,perjalanan dari Mekah,Madinah dan ke Palestin mengambil masa berbulan-bulan.

* Menerusi peristiwa Israk Mikraj ,terdapat banyak pengajaran tersurat dan tersirat pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah.

* Antaranya ialah ;

1). Beriman dengan perkara ghaib.
- Setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah.Di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud,tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.

2). Perintah mengerjakan solat.
- Solat lima waktu yang difardukan merupakan tiang agama.Ia wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.

3). Percaya dengan hari kiamat.
- Setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan hari kiamat bahkan diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.

4). Percaya azab Tuhan.
- Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam perjalanan Israk Mikraj tersebut. Ini membuktikan betapa Allah berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.

5). Wajib percaya dengan qada dan qadar.
- Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini ,manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa.Maka selayaknya umat Islam menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan.

(dipetik dari KOSMO 16hb.Jun 2012)

Wednesday, January 25, 2012

Lima Maksiat Yang Disegerakan Balasannya..

Sessi tazkirah minggu ini dimulakan dengan kupasan hadis akhir zaman iaitu ;

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata "Berhadap Rasulullah s.a.w kepada kami (pada suatu hari)kemudian Baginda bersabda ;"wahai kaum muhajirin ,lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya,maka tiada lagi kebaikan bagi kamu.Dan aku berlindung dengan Allah Taala semoga kamu tidak menemui masa itu.Perkara-perkara itu ialah ;

Pertama :Tiada terzahir perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya,kecuali mereka akan ditimpa penyakit Ta'un yang cepat merebak di kalangan mereka,dan mereka akan ditimpa penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.
Kedua : Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan ,kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
Ketiga : Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit.Jikalau tiada binatang (yang hidup di atas muka bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Taala.
Keempat : Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya ,kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka,maka musuh itu merampas sebahagian dari apa yang ada ditangan mereka.
Kelima : Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebnagai pilihan,maka (disaat itu) allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri".(riwayat Ibnu Majah).

Kupasan hadis ;

Hadis ini menerangkan tentang 5 maksiat yang disegerakan bala oleh Allah iaitu ;
1). Penyakit Ta'un dan Aids adalah berpunca dari banyak berlakunya perzinaan.
2). Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pemimpin adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3). Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat.
4). Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum muslimin adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah Taala.
5). Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum Allah dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.
(Dirujuk daripada buku 40 hadis Peristiwa Akhir Zaman,susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi)

 
©  free template by Blogspot tutorial