Berita Semasa

Wednesday, July 1, 2015

REBUTLAH PELUANG BERTARAWIH...


REBUTLAH PELUANG BERTARAWIH

Peluang untuk mengerjakan solat Tarawih bukan hadir sepanjang tahun namun hanya ada pada bulan Ramadhan. Itupun pada malam hari sahaja. Kadang-kadang kita  termampu untuk mengerjakannya hanya 29 malam sahaja jika kita berpuasa hanya 29 hari sahaja. Peluang ini sekiranya tidak direbut dengan sebaik-baiknya, kita akan keluar daripada Ramadan yang penuh berkat ini sebagai orang yang rugi. Oleh itu sesiapa yang mahu dosa-dosanya diampunkan oleh Allah,maka kerjakanlah solat Tarawih dengan penuh keimanan disamping mengharapkan keampunan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.

 

"Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan serta mengharap akan keredhaan Allah, nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu." (HR Muslim)

Solat sunat Tarawih merupakan salah satu syiar Ramadhan. Bahkan ia adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w dan  juga para sahabat. Rasulullah sendiri telah mengejutkan  kaum keluarga baginda untuk bangun mengerjakan ibadat pada malam-malam Ramadan termasuklah solat Tarawih dan ibadat yang lain.

Sesungguhnya banyak kelebihan solat sunat Terawih, antaranya:

1. Para malaikat akan menyeru kepada manusia yang sedang  mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada setiap malam dan memohon kepada Allah s.w.t supaya mengampunkan dosa hamba-hambaNya yang bertarawih.

2. Allah s.w.t akan mengurniakan ganjaran pahala seumpama pahala para malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur.

3. Para malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih dan Allah s.w.t tidak akan menyesatkan mereka.

4. Para malaikat juga akan turut serta mengerjakan solat Tarawih kerana malaikat tidak diperintahkan untuk mengerjakan solat Tarawih di arasy disebabkan solat Tarawih hanya dilakukan di bumi sahaja.

Seorang wanita juga tidak dihalang daripada menunaikan solat Tarawih di masjid atau di surau asalkan mereka dapat menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. Seorang wanita ketika ke masjid atau surau mestilah menjaga pakaiannya. Pastikan pakaian yang dipakai menutup aurat dan tidak menampakkan perhiasan. Demikian juga disyaratkan laluan atau perjalanan ke tempat solat itu selamat serta tidak menimbulkan fitnah kepada wanita itu dan juga tidak mendatangkan fitnah kepada jemaah lelaki.

Beruntunglah orang yang dapat mengerjakan solat Tarawih sepanjang Ramadan. Amat malang bagi orang yang hanya mengerjakan solat Tarawih hanya pada malam-malam awal Ramadan sahaja, sedangkan tawaran dan ganjaran Tarawih ditawarkan hingga ke akhir Ramadan. Rebutlah peluang bertarawih, mohonlah kekuatan daripada Allah untuk terus istiqamah mengerjakannya hingga ke malam terakhir Ramadan. Mudah-mudahan kita tidak dilekakan dengan godaan nafsu ataupun dengan persediaan menyambut Aidilfitri. (Dipetik daripada buku ‘Bingkisan Ramadhan’,BPI,KPM.@abialbesuti.blogspot.com


Monday, December 9, 2013


BANJIR : SABAR DI ATAS MUSIBAH YANG MENIMPA
Oleh : Mohd Zamri Bin A.Rashid

            Sekarang ini seluruh masyarakat di Malaysia sedang berduka cita apabila mengenangkan musibah yang melanda sebahagian daripada penduduk Malaysia yang mengalami banjir. Terdapat beberapa kawasan di  negeri yang terjejas teruk seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat,Datuk Rohani Abdul Karim menyatakan bahawa setakat jam 4.00 petang 8hb.December 2013,sebanyak 65,956 mangsa banjir sudah didaftarkan daripada 217 pusat pemindahan di seluruh Negara.

Sebagai umat islam yang beriman,pastinya kita akan menganggap bahawa semua ini merupakan ujian dan musibah daripada Allah Taala kepada hamba-Nya.Sebab itulah kita disarankan dalam Islam supaya memperbanyakkan sabar dan redha diatas musibah yang menimpa kita sebagaimana Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ,ayat 155 dan 156 yang bermaksud ;

“Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah,mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un(sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali”.

Kalimah ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ ini dinamakan kalimat Istirja’ iaitu pernyataan kembali kepada Allah. Kalimah ini disunnahkan kita untuk  menyebutnya pada waktu ditimpa musibah samada besar atau kecil.

Ayat ini menyatakan bahawa kesabaran mestilah berdasarkan iman Tauhid yang sungguh-sungguh kepada Allah dan mengerti dengan sebenarnya bahawa segala yang terjadi pada diri kita ini berupa musibah dan sebagainya hanyalah semata-mata dari Allah yang seharusnya kita redha menerima hukum Allah.

Sesungguhnya setiap kesabaran daripada mangsa-mangsa banjir pada ketika ini pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Taala sebagaimana Firman Allah dalam Surah Azzumar, ayat 10 yang bermaksud ; “ hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.”.

Kesabaran dalam menanggung musibah yang berlaku disamping tidak melupakan amal ibadat yang wajib kepada Allah Taala merupakan jaminan yang besar untuk mencapai cita-cita dan harapan kita mendapat ganjaran dari Allah. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Dalam satu hadis menyatakan bahawa “Abi Yahya Shuaib bin Sinan r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w ; sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin,sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin yang mana jika mendapat nikmat, ia bersyukur.Maka syukur itu lebih baik baginya, dan apabila menderita kesusahan , ia sabar.Maka kesabaran itu lebih baik baginya.”(riwayat Muslim).

Dalam hadis ini menjelaskan bahawa mensyukuri suatu nikmat yang diberikan dapat menimbulkan pahala yang lebih besar dari kenikmatan yang lain. Demikian pula jika mendapat musibah dan bala bencana,lalu ia bersabar,maka pahala kesabaran itu akan merubah suasana musibah menjadi suatu kenikmatan kerana pahala yang tersedia baginya, jauh lebih besar daripada penderitaan musibah yang dialaminya.

Kesabaran dan ketabahan hati dalam menanggung musibah ini perlulah dipahat dalam hati setiap orang mukmin yang benar-benar percaya kepada Allah Taala dan iman kita belum diakui benar oleh Allah sebelum kita diuji dan didatangkan musibah. Firman Allah Taala dalam Surah Muhammad,ayat 31 yang bermaksud ; “Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu,dan akan kami uji perihal kamu.”

Didalam keadaan yang seperti ini, setiap daripada kita perlulah memperbanyakkan doa kepada Allah kerana sudah menjadi lumrah insan yang mana dalam keadaan yang kritikal,hati kecilnya akan berbisik meminta ihsan dari Allah. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah,ayat 186 yang bermaksud ; “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku,sesungguhnya Aku dekat.Aku menyahut doa orang yang berdoa, tatkala dia berdoa kepada-Ku,jesteru sahutlah seruan-Ku.”

Dalam hadis Nabi daripada Abu Hurairah r.a,sabda Baginda yang bermaksud ; “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia bagi Allah melainkan berdoa.”(riwayat al-Tirmizi)

Sesungguhnya,setiap yang berlaku kepada kita ada hikmah Allah yang tersembunyi. Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin  menyebut bahawa Allah akan menentukan kebaikan dan Dia tentukan dengan ada musababnya.Demikian juga dengan keburukan (musibah) , Allah tetapkan untuk mengangkat keburukan itu dengan sebab-sebab tertentu.

Mudah-mudahan, kita berdoa agar semua mangsa-mangsa banjir dan  kita semua dilimpahi rahmat dan diperteguhkan jiwa dan hati dalam menghadapi musibah yang melanda  ini.

Monday, January 21, 2013

Salam Maulidur Rasul 1434H

 
SEJAUH MANAKAH KITA MENGENALI BAGINDA S.A.W?

LAU KANA BAINANA
(SEANDAINYA RASULULLLAH S.A.W  BERSAMA KITA..)
 
1). KELUARGA BESAR NABI MUHAMMMAD S.A.W

   Allah berfirman “Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri,dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.Orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi ) di dalam kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin,kecuali kalau kalian hendak berbuat baik kepada saudara-saudara kalian (seagama). Demikianlah telah tertulis di dalam kitab(Allah)”.(Surah Al-Ahzab:ayat 6).

-          Baginda s.a.w ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr(Quraisy)bin Malik bin An-Nadhar bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazar bin Ma’ad bin Adnan.Nasabnya berakhir sampai kepada Nabi Ismail a.s dan Nabi Ibrahim a.s.

-          Ibunda Rasulullah s.a.w adalah Aminah binti Wahhab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Qushai bin Kilab .Bertemu dengan nasab ayahnya pada Qushai bin Kilab.

-          Bapa Saudara Rasulullah s.a.w (dari sebelah ayah) ialah ;

-Al-Harith.                         -Hajl                                      -Al-Abbas
-Hamzah                            -Al-Muqawwim
-Abu Thalib                       -Dhirar
-Zubair                                -Abu Lahab

-          Bapa Saudara Rasulullah s.a.w(dari sebelah ibu) ialah ;
-Al-Aswad bin Abdul Yaghuts(saudara seayah,Aminah-ibu Nabi s.a.w)
-Abdullah bin Al-Arqam bin Abdul Yaghuts(pada masa pemerintahan Saidina Umar,
 beliau menjadi setiausaha di Baitul Mal).

-          Bibi (orang gaji) Rasulullah s.a.w ialah ;
-Shafiyyah                         -Burrah
-Umaimah                         -Arwa
-‘Atikah                            -Ummu Hakim

-          Ibu Susuan Rasulullah s.a.w ialah;
-Thuwaibah Al-Aslamiah(orang gaji Abu Lahab-Bapa Saudara Nabi s.a.w)
-Halimah binti Abi Dzu’aib as-Sa’diyah.

-          Isteri-isteri Nabi s.a.w ialah ;

1). Khadijah binti Khuwailid

               - Menikah ketika Nabi s.a.w berusia 25 tahun dan Khadijah 40 tahun.
               -Nabi s.a.w tidak menikahi wanita lain selama hidup bersama Khadijah.
               -Meninggal saat Nabi s.a.w masih hidup.
               -Dimakamkan di Ma’la.
               -Dikurniakan 6 orang cahayamata iaitu;
               i).Al-Qasim –meninggal dunia semasa kecil.
               ii).Abdullah –meninggal dunia semasa kecil.
               iii).Zainab – Suaminya Abu Al-‘Ash bin Ar-Rabi’.Dikurniakan 4 orang anak iaitu
                                   Ali,Umamah,Yahya dan Muhammad.
               iv).Fatimah –Suaminya Ali bin Abi Thalib.Dikurniakan 5 orang anak iaitu
                                      Hasan,Husin,Ruqayyah,Ummu Kultsum dan Zainab.
v). Ruqayyah – Suaminya Uthman bin Affan .Dikurniakan seorang anak iaitu 
                        Abdullah.
vi).Ummu Kultsum – menikah dengan Uthman bin Affan setelah kakaknya,Ruqayyah
                                  meninggal dunia.

                2). Saudah binti Zam’ah.

               -Dinikahi di bulan Syawal,tahun ke 10 kenabian,beberapa bulan setelah Khadijah
                 meninggal.
               -Meninggal dunia di Madinah pada tahun 54H.

3). ‘Aisyah binti Abi Bakar as-siddiq.

               -Dinikahi    di bulan Syawal tahun ke 11 kenabian.
               -Hanya ‘Aisyah yang dinikahi masih gadis.
               -Tergolong dalam orang yang paling dicintai Rasulullah s.a.w dan wanita yang paling
                banyak ilmunya di kalangan umat.
               -Meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 58H.
               -Dimakamkan di Baqi’.

4). Hafshah binti Umar Al-Khattab.

               - Suaminya yang terdahulu iaitu Khunais bin Hudzafah as-Sahmi  meninggal dunia
                 sewaktu antara Perang Badar dan Uhud.
               -Dinikahi selepas iddahnya di bulan Syaban pada tahun 5H.
               -Meninggal dunia pada usia 60 tahun di Madinah,bulan Syaaban tahun 45H.
               -Dimakamkan di Baqi’.

5). Zainab binti Khuzaimah dari Bani Hilal bin Amir bin Sha’sha’ah.

               -Digelar ‘Ummul Masakin’(Ibu bagi orang miskin) kerana kasih sayang dan
                kemurahan hati kepada mereka.
               -Suaminya yang terdahulu iaitu Abdullah bin Jahsy yang mati syahid dalam Perang
                Uhud.
               -Dinikahi Rasulullah s.a.w pada tahun 4H.
               -Meninggal dunia setelah 3 bulan menikah dengan Nabi s.a.w pada Rabiul Akhir
                Tahun 4H.
               -Dimakamkan di Baqi’.

6). Ummu Salamah Hindun binti Abi Umayyah.

               -Suaminya yang terdahulu iaitu Abu Salamah meninggal dunia pada bulan Jamadil
                Akhir tahun 4H.
               -Dinikahi Rasulullah s.a.w pada akhir bulan Syawal tahun yang sama.
               -Meninggal dunia tahun 59H,ada pendapat tahun 62H dalam usia 82 tahun.
               -Dimakamkan di Baqi’. 

7). Zainab binti Jahsy bin Rayyab

               -Berasal dari Bani ‘Asad bin Khuzaimah dan anak orang gaji Nabi s.a.w.
               -Bekas isteri Zaid bin Harithah,yang merupakan anak angkat Nabi s.a.w.
               -Dinikahi Rasulullah s.a.w pada bulan Zulkaedah tahun ke 4 atau ke 5 H.
               -Wanita yang rajin beribadah dan paling banyak mengeluarkan sedeqah.
               -Meninggal dunia pada tahun ke 20 H dalam usia 35 tahun.
               -Wanita pertama dari Ummahatul Mukminin yang meninggal dunia setelah
               wafatnya Nabi s.a.w.
               -Saidina Umar r.a. yang mensolatkan jenazahnya dan dimakamkan di Baqi’.

8). Juwairiyah binti al-Harits.

               - Bapanya adalah pemimpin Bani Mustaliq dari Khuzaah.
               -Sebenarnya Juwairiyah adalah antara para tawanan Bani Mustaliq,yang kemudian
                 menjadi bagian Thabit bin Qais bin Syammas,lalu Rasulullah s.a.w menebus dirinya
                 dan menikahinya pada bulan Sya’ban 6H atau tahun ke 5H.
                -Wanita yang paling banyak memberikan berkat kepada kaumnya kerana 100
                  tawanan Bani Mustaliq dibebaskan setelah ia dinikahi Rasulullah s.a.w.
               -Meninggal dunia pada Rabiul Awwal tahun 65H atau 56H dalam usia 65 tahun.

 
9).Ummu Habibah Ramlah binti Abi Sufyan.

               -Merupakan bekas isteri Ubaidillah bin Jahsy yang berhijrah ke Habsyah,Ubaidillah
                murtad dan masuk Nasrani serta meninggal di sana.   
               -Rasulullah s.a.w mengutuskan ‘Amr bin Umayyah ad-Dhamri untuk menyerahkan
                 surat Baginda s.a.w kepada raja Najasyi pada bulan Muharam tahun 7H,Baginda
                juga menyampaikan lamaran kepadanya.
               -Rasulullah s.a.w memberi mas kahwin sebanyak 400 dinar dan bersama dengannya
                setelah pulang dari Perang Khaibar.
               -Meninggal pada tahun 42 atau 44 atau 50H.

 
10). Shafiyyah binti Huyai bin Akhthab.

               -Ayahnya adalah pemimpin Bani Nadhir dari Bani Israel.Huyai juga termasuk dal
               tawanan Perang Khaibar.
               -Dibebaskan dan dinikahi setelah penaklukan Khaibar pada tahun 7H dan bersama
                dengan Rasulullah s.a.w di Shabha’(tempat yang berjarak sekitar 12 km dari Khaibar
               menuju Madinah).
               -Meninggal dunia pada tahun 36H atau 50H atau 52H.
               -Dimakamkan di Baqi’.

11). Maimunah binti Al-Hariths.

               -Saudari Ummu Fadhl Lubabah binti al-Hariths.
               -Dinikahi pada bulan Zulkaedah tahun 7H(saat umrah Qadha’ setelah habis masa
                Iddah)dan bersama dengan Nabi s.a.w di Saraf (jarak 9km dari Mekah).
               -Meninggal dunia dan dimakamkan di Saraf pada tahun 38H atau 61H atau 63H.

12). Mariyah al-Qibtiyah.

               -Hadiah daripada raja Al-Maqauqis.
               -Melahirkan seorang putera bernama Ibrahim ,namun meninggal dunia pada waktu
                kecil.

13). Raihanah binti Zaid an-Nadhiriyah.

               -Merupakan tawanan perang Quraizah.
               -Dinikahi bukan sebagai wanita merdeka.

 
(sumber :

1).Buku “The Great Story of Muhammad S.A.W ,penyusun :Ahmad Hatta,2011, Maghfirah Pustaka,Jakarta     
2).Buku “Atlas Sejarah Para Nabi dan Rasul,Sami bin Abdullah bin Ahmad al-Maghluts,  edit.Abdur Rosyid Masykur,cet.2 .2009,Penerbit Al Mahira,Jakarta.

 

 

 

Tuesday, December 11, 2012

XPDC DAKWAH orang asli 2012

 Kembara Dakwah ke Perkampungan Orang Asli Suku kaum Temiar pada 11 Nov.2012 di Perkampungan Perjek hingga ke Kg.Yong,Pos Legap,Sg.Siput(U),Perak..


Monday, July 30, 2012

Tazkirah Ramadhan ..


BERPUASA SEPENUHNYA

                Sebagaimana kita maklum,asas ibadat puasa ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun begitu,kehendak sebenar puasa ialah semua pancaindera turut berpuasa.Ulamak Arab ada berkata “Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan anggota badan seperti mata,telinga,hati dan fikiran turut berpuasa bersama-sama perut. Dengan itu, ia akan mengelakkannya daripada melakukan perkara yang sia-sia”.

                Bagi mendapat kesempurnaan ibadat puasa,kita perlu menjaga semua pancaindera kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadat puasa. Jabir bin Abdillah r.a pernah berkata “Jika kamu berpuasa,hendaklah berpuasa juga pendengaranmu,penglihatanmu dan lisanmu daripada dusta dan dosa.” Oleh itu,untuk mencapai kesempurnaan ibadat puasa kita perlulah menjaga kesemua pancaindera kita,iaitu ;

1). Kita hendaklah menjaga mata dan menahannya daripada melihat segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama.Contohnya melihat aurat seseorang yang bukan mahram kita.

2). Hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah dan tercela seperti menuturkan kata-kata yang kasar dan biadab.dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud “Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya,maka katakan kepada orang itu bahawasanya aku sedang berpuasa.”

3). Kita juga perlu memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci agama seperti mendengar muzik yang mengkhayalkan sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengari.Sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah,ayat 42 yang bermaksud “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram”.

4). Selain itu,kita hendaklah juga memelihara kaki dari melakukan perbuatan dosa seperti bergaduh dan berbalah. Jauhkan diri daripada berkunjung ke tempat-tempat maksiat dan tidak berfaedah.

5). Seterusnya juga,kita hendaklah memelihara tangan kita dari melakukan perbuatan yang tidak baik dan dosa seperti mencuri,menyentuh seseorang yang bukan mahram ,memukul dan mengambil hak orang lain tanpa izin tuannya.

6). Akhirnya,kita juga perlu menegah dan menahan perut kita daripada memakan makanan yang syubhah(diragui) ketika berbuka puasa seperti makanan yang diragui status halalnya.Sebaliknya berbukalah dengan makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w seperti kurma,kismis ,susu dan buah-buahan segar.

Oleh itu, berpuasalah sepenuhnya seperti puasa orang-orang yang soleh .Mudah-mudahan puasa kita diterima oleh Allah Taala dan bukannya hanya setakat lapar dan dahaga sahaja.                      (Dipetik daripada buku ‘Bingkisan Ramadhan’,BPI,KPM.


Wednesday, July 18, 2012

Ramai menitis air mata pada bulan puasa

Oleh: AHMAD MUKMIN
KOTAK-kotak kurma memenuhi rak utama di pasar raya. Pelanggan yang masuk tidak dapat mengelak daripada melihatnya. Pelbagai jenis kurma diimport dari Iran, Arab Saudi, Mesir, India, Maghribi, Tunisia malah dari California, Amerika Syarikat.
Itulah tanda Ramadan tiba. Setiap keluarga akan membeli kurma walaupun mereka makan kurma tidak sebanyak mana. Membeli kurma sempena Ramadan semacam sudah menjadi tradisi wajib.
Di kampung-kampung sekitar tahun 1960-an, yang dijual hanya kurma dari India. Setiap kali berbuka puasa, kurma dihidang dan dimakan seulas dua sebagai melangsungkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. Yang disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah berbuka dengan buah segar. Jika tidak makan kurma, di Malaysia buah pisang adalah alternatif yang baik.
Tetapi umat Islam di seluruh dunia lebih selesa dengan kurma kerana Rasulullah tidak berbuka dengan pisang. Barangkali jika pisang mudah didapati di Madinah, Baginda pasti berbuka dengan pisang. Kalau tidak selalu, sekali-sekala.
Kehadiran banyak kurma di pasar raya merupakan keunikan Ramadan. Makanan yang melimpah-ruah juga membezakan Ramadan daripada bulan Islam yang lain. Yang disediakan percuma banyak, yang dibeli lagi banyak. Di pejabat ada kumpulan yang membuat bubur lambuk untuk dibawa pulang percuma oleh setiap petugas. Jika tidak cukup, boleh singgah ke masjid. Banyak masjid di Kuala Lumpur yang menyediakan bubur lambuk percuma.
Jika malas makan di rumah, banyak masjid di ibu negara menyediakan makanan percuma untuk berbuka puasa. Seseorang boleh datang seorang diri atau bawa seisi keluarga. Makanan sentiasa cukup untuk semua yang datang.
Selepas berbuka, anda boleh terus pulang atau berjemaah solat Maghrib, Isyak dan seterusnya sunat terawih. Pada zaman dulu, kesemua yang berbuka di masjid akan pulang selepas tarawih. Kini ramai juga yang terus keluar dari masjid selepas mengambil paket atau bungkusan makanan. Mereka adalah orang yang tidak berpuasa, kebanyakannya penagih dadah. Sambil beredar, mata mereka turut liar memerhati kalau-kalau ada kasut yang boleh ‘disambar’ di tepi pintu masjid.
Pada bulan puasa, ramai juga bertemu kebahagiaan. Hati tenang menunggu berbuka. Solat sunat, membaca al-Quran juga bertambah pada bulan puasa. Amal jariah dan sedekah cukup mudah pada bulan puasa. Pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. berlipat ganda.
Yang lama meninggalkan tikar sembahyang juga ramai kembali sujud lima waktu pada bulan puasa. Pintu taubat dan rahmat terbuka luas. Ramadan adalah juga bulan taubat. Ramai yang menitiskan air mata pada bulan puasa. Basah sejadah ketika sujud kerana mengenangkan betapa diri terlalu berdosa.
Ya Allah ampuni hamba-Mu ini. Dulu aku berzina dengan anak dara, janda, pelacur, isteri orang... dulu aku bakhil, susahkan orang lain, kepada ibu bapa pun tidak pernah kirim duit.
Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini. Sesungguhnya aku berasa malu menghadap-Mu yang Allah. Aku ini sangat kotor. Arak, hasil duit judi, duit tuntutan temberang di pejabat, duit curi, duit tipu, duit pinjam tidak pernah dipulang... semuanya ada dalam diri aku ini.
Ya Allah, Yang Maha Pengampun. Hamba-Mu bersyukur kerana Engkau tidak pernah melupai diri yang langsung tidak pernah mengingati-Mu selama ini. Jika tidak kerana kasih-Mu, sudah pasti aku tidak akan insaf terhadap segala kesalahan.
Ya Allah, terimalah taubat hamba-Mu pada bulan Ramadan yang Engkau muliakan untuk kami anak Adam ini. Ya Allah... tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan kekalkanlah kami di jalan ini selama-lamanya.
Ramadan datang lagi. Janganlah persiakan bulan paling istimewa ini.

Tuesday, June 19, 2012

Info : Peristiwa Israk Mikraj

* Peristiwa Israk Mikraj merupakan kembara agung perjalanan Rasulullah s.a.w ke langit.

* Nabi Muhammad s.a.w menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Baitul Maqdis di Palestin.

* Baginda dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu Allah.Perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.Lazimnya,perjalanan dari Mekah,Madinah dan ke Palestin mengambil masa berbulan-bulan.

* Menerusi peristiwa Israk Mikraj ,terdapat banyak pengajaran tersurat dan tersirat pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah.

* Antaranya ialah ;

1). Beriman dengan perkara ghaib.
- Setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah.Di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud,tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.

2). Perintah mengerjakan solat.
- Solat lima waktu yang difardukan merupakan tiang agama.Ia wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.

3). Percaya dengan hari kiamat.
- Setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan hari kiamat bahkan diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.

4). Percaya azab Tuhan.
- Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam perjalanan Israk Mikraj tersebut. Ini membuktikan betapa Allah berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.

5). Wajib percaya dengan qada dan qadar.
- Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini ,manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa.Maka selayaknya umat Islam menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan.

(dipetik dari KOSMO 16hb.Jun 2012)

Wednesday, January 25, 2012

Lima Maksiat Yang Disegerakan Balasannya..

Sessi tazkirah minggu ini dimulakan dengan kupasan hadis akhir zaman iaitu ;

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata "Berhadap Rasulullah s.a.w kepada kami (pada suatu hari)kemudian Baginda bersabda ;"wahai kaum muhajirin ,lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya,maka tiada lagi kebaikan bagi kamu.Dan aku berlindung dengan Allah Taala semoga kamu tidak menemui masa itu.Perkara-perkara itu ialah ;

Pertama :Tiada terzahir perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya,kecuali mereka akan ditimpa penyakit Ta'un yang cepat merebak di kalangan mereka,dan mereka akan ditimpa penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang terdahulu.
Kedua : Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan ,kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
Ketiga : Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit.Jikalau tiada binatang (yang hidup di atas muka bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Taala.
Keempat : Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya ,kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka,maka musuh itu merampas sebahagian dari apa yang ada ditangan mereka.
Kelima : Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebnagai pilihan,maka (disaat itu) allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri".(riwayat Ibnu Majah).

Kupasan hadis ;

Hadis ini menerangkan tentang 5 maksiat yang disegerakan bala oleh Allah iaitu ;
1). Penyakit Ta'un dan Aids adalah berpunca dari banyak berlakunya perzinaan.
2). Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pemimpin adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.
3). Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat.
4). Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum muslimin adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah Taala.
5). Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum Allah dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.
(Dirujuk daripada buku 40 hadis Peristiwa Akhir Zaman,susunan Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi)

Friday, November 25, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H

Setiap kali datangnya bulan Muharram bermakna kita mengalu-alukan kedatangan tahun baru Hijrah.Ini bererti setahun lagi hidup kita berlalu pergi.Tahun hijrah yang lepas tentu banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit yang telah kita tempuhi. Mungkin dalam tahun yang lepas,kita banyak mengalami keuntungan atau kerugian samada dari segi dunia atau akhirat.
Sempena menyambut kedatangan tahun baru Islam yang berkat ini,marilah kita sama-sama memperbaharui azam dan tekad kita untuk mematuhi pesanan junjungan agong kita Nabi Muhammad s.a.w dengan melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hendaklah kita insaf bahawa masa yang berlalu pergi tidak akan kembali lagi..
Setahun yang berlalu bererti setahun juga umur kita berkurangan..Ini bermakna semakin dekat kita dengan kematian dan apabila umur kita telah habis..pada waktu itu,tiada lagi peluang untuk kita mencari amal pahala dan bekalan taqwa untuk dibawa ke Akhirat.
Jesteru itulah..gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya..mudah-mudahan tahun baru ini akan dipenuhi dengan amal kebajikan yang berguna buat kita semua..ingatlah masa yang berlalu itu akan hilang ditelan waktu.
Ingatlah dan insaflah ...sediakan bekalan yang cukup untuk kita bawa ke alam sana yang kekal abadi..Firman Allah Taala dalam surah Al-Qasas ,ayat 77 bermaksud "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat,dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu)dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) ,sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ,sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

Salam Maal Hijrah 1433..

Monday, September 19, 2011

Agar Doa Dimakbulkan..(Sempena Musim Peperiksaan)




Pada suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul doanya." Rasulullah menjawab, "Hai Saad, makanlah yang baik, (halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad, sesungguhnya seorang yang pernah melemparkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya (perutnya), maka tidaklah akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Siapa saja manusia yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah yang berhak untuk orang itu." (HR. Alhafiz Abu Bakar bin Mardawih dikutip oleh Alhafiz Ibnu Kathir dalam tafsirnya).
Sudah lelah rasanya berdoa dan bermunajat, namun mengapa Allah tidak pula memperkenankan. Permohonan dan permintaan tidak pula Dia kabulkan. Kadang kecewa dan putus asa bila demikian adanya. Bahkan timbul penilaian, Allah telah ingkar janji dengan perkataan-Nya sendiri. Padahal Dia telah menyatakan, "Ud'uunii astajiblakum", “berdoalah kepada-Ku, niscaya Ku-kabulkan.” Tapi mana buktinya!
Inilah ucapan orang-orang yang tidak pernah mempelajari Al-Qur'an dan Al Hadits. Mereka tidak mengerti bahawa berdoa itu tidak boleh dikerjakan secara sembarangan, tetapi perlu adab-adab dan syarat-syarat tertentu. Mereka menganggap berdoa itu pekerjaan yang remeh temeh. Sehingga mereka sering meremehkan dan akibatnya doa tak pernah dimakbulkan. Kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah.
Jadi, apa yang menyebabkan doa tidak dikabulkan? Banyak hal yang menyebabkan permohonan dan permintaan tidak dikabulkan? Banyak hal yang menyebabkan permohonan dan permintaan tidak diperkenankan Allah. Sudahkah kita menghindari perut kita dari makanan dan minuman yang diharamkan Allah? Bila masih tatap saja perut kita terisi dengan hal-hal yang haram, tentulah doa yang kita panjatkan tak pernah Allah kabulkan.
Sesuap makanan saja, akan mengakibatkan doa kita selama 40 hari tidak terkabul, apabila makanan haram yang masuk ke perut kita lebih dari sesuap bahkan berkali-kali sehingga tak terhitung lagi, sudah tentu sampai matipun kita berdoa, Allah tak akan mengabulkannya.
Untuk itu agar doa dikabulkan Allah, perlu pengetahuan dalam tata cara berdoa yang diberitakan Rasulullah. Bagaimana sunnahnya agar permohonan dan permintaan diperkenankan.
Langkah pertama, hindari perut dari kemasukan barang-barang haram. Jangan sampai sesuap pun makanan haram yang kita telan. Jangan setegukpun minuman haram yang kita minum. Selektiflah dalam memilih makanan, yang meragukan sebaiknya ditinggalkan. Pilih saja makanan atau minuman yang benar-benar halal dan baik. Allah berfirman, "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (QS. al-Baqarah : 168)
Memakan makanan yang halal dan baik merupakan salah satu bentuk dari ketaatan kita kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Bila kita selalu taat kepada Allah dan dalam mengharungi kehidupan ini senantiasa berada dalam kebenaran, tentulah segala apa yang kita mohon, kita panjatkan, dan kita minta pastilah Allah akan mengabulkannya.
"Aku mengabulkan permohonan orang yang mendoa apabila ia berdoa kepadaku maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka berikan kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (QS. al-Baqarah :186)
Langkah kedua, Karena doa ini pekerjaan yang agung dan sangat utama, sebagai inti ibadah, maka dalam pelaksanaannya harus khusyu' dan serius tidak dengan main-main. Usahakan dalam berdoa ini dengan penuh keyakinan, penuh harap dan rasa takut. Merendahkan diri dengan suara yang lirih, tenang, tidak tergesa-gesa, dengan keimanan, dan tahu akan hakikat yang diminta. Allah telah menyatakan,
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut .." (QS. al-A'raf : 55)
Langkah ketiga, mengetahui waktu-waktu doa dikabulkan. Walaupun berdoa ini boleh dilakukan bila-bila waktu, namun ada waktu-waktu yang memang disunnahkan. Insya Allah pada waktu-waktu ini segala doa akan diperkenankan dan dikabulkan.
Ditengah malam yang sunyi dimana orang-orang terlelap dengan tidurnya, ditemani mimpi-mimpi, kita terjaga, berdiri, ruku', sujud, dan bermunajat kepada-Nya dengan penuh kekhusyukan dan penuh harap, tentulah Allah akan mendengar dan memperkenankan ratapan, permintaan, dan permohonan kita.
Di akhir-akhir solat fardhu, di waktu sebelum tahayyat akhir , adalah waktu-waktu yang sangat tepat untuk berdoa. Doa apa saja, yang mengarah pada kebaikan, tentu Allah akan mengabulkannya. Rasulullah SAW ditanya, "Pada waktu apa doa manusia lebih didengar Allah?" Lalu Rasulullah menjawab, "Pada tengah malam, pada akhir tiap solat fardhu." (Mashabih Assunah).
Selain tengah malam dan akhir solat fardhu, ada juga waktu-waktu yang dimakbulkan doanya sudah tidak diragukan lagi, dan ini pun merupakan sunnah-sunnah Rasulullah SAW. seperti di sepertiga malam sampai fajar, diantara azan dan iqamat, di waktu sujud, di bulan Ramadhan, dan di malam lailatul qadar.
Langkah keempat, orang-orang tertentu yang dikabulkan doanya. Walaupun setiap orang yang berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh dan memenuhi persyaratan-persyaratannya akan dikabulkan, namun ada orang yang doanya dijamin diperkenankan Allah. Setiap ratapan doanya didengar dan dikabulkan. Segala permintaan dan permohonannya mesti diberikan tanpa terkecuali. Allah ridha kepada mereka dan begitu menaruh perhatian yang sangat. Allah istimewakan mereka, karena pengorbanan dan pengabdiannya yang tiada tara, akhlak yang mulia dan juga ketabahannya dalam menyusuri kebenaran.
Allah istimewakan kedua orang tua yang mengasuh, mendidik, dan menafkahi anaknya dengan penuh kasih sayang. Mereka bimbing anaknya menuju jalan yang diridhai Allah, sampai usia anak dewasa. Orang tua seperti inilah yang segala permintaan dan permohonannya dikabulkan.
Musafir yang berpergian untuk maksud baik dan tujuan mulia, orang yang menolong orang lain yang dalam kesempitan, seorang muslim yang mendoakan teman-temannya yang tidak hadir, dan orang shalih, doanya akan diperkenankan dan dikabulkan Allah SWT. Seperti halnya orang tua yang mangasuh anaknya tadi.
Di samping orang-orang yang telah disebut di atas yang dikabulkan doanya, ada juga doa orang-orang yang diangkat Allah ke atas awan, dibukakan pintu langit, dan Allah tidak menolak doanya, iaitu orang yang berpuasa sampai dia berbuka, penguasa yang adil dan orang yang teraniaya.
"Ada tiga orang yang tidak ditolak doa mereka: orang yang berpuasa sampai dia berbuka, seorang penguasa yang adil, dan doa orang yang teraniaya. Doa mereka diangkat Allah ke atas awan dan dibukakan baginya pintu langit dan Allah bertitah, 'Demi keperkasaan-Ku, Aku akan memenangkanmu (menolongmu) meskipun tidak segera." (HR. Attirmidzi)
Dari rangkaian ulasan tentang doa di atas, nyatalah bahwa berdoa itu tidak sembarangan dan main-main, tapi memerlukan syarat-syarat yang harus dipenuhi, sehingga janji-janji Allah yang akan mengabulkan doa-doa hamba-Nya akan menjadi kenyataan. namun harus diingat bahwa Allah dalam mengabulkan doa seseorang hamba, ada yang langsung terkabul di dunia, ada yang disimpan sampai di akhirat, dan ada pula diganti dengan mencegahnya dari bencana.
"Tiada seorang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu dari tiga hal, yaitu dipercepat terkabulnya baginya di dunia, disimpan (ditabung) untuknya sampai di akhirat, atau diganti dengan mencegahnya dari musibah (bencana) yang serupa." (HR. Atthabrani).
(Rujukan :Kitab “Tanbihul Ghafilin-Peringatan bagi Yang Lupa”Jilid 1 dan 2:Abu Laits As-Samarqandi,Pustaka Jiwa).

 
©  free template by Blogspot tutorial